Editorial
30 Okt 2022
Apabila pemimpin kanan dan orang kuat lari keluar parti atas apa juga alasan, maka jelaslah bahawa parti tidak kompetens (layak dan mampu) membela rakyat dan akan tersungkur pada PRU15 nanti.
Sekiranya mereka terpilih, maka besar kemungkinan akan berlaku perbalahan yang akan memporak-perandakan kerajaan.
Inilah yang amaran yang ditunjukkan oleh orang-orang kanan parti dalam PPBM (Bersatu) sebagaimana tindakan Ketua Bersatu Dtk Syed Sobri Syed Hashim di Padang Terap, serta Naib Presiden Dtk Mohd Rafiq Naizamohideen di Tangga Batu Melaka.

Pelbagai rasional yang diberikan, namun perkara asas ialah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan parti, sebagaimana diujarkan oleh Syed Sobri.
Manakala Rafiq pula mendedahkan bagaimana Bersatu tunduk kepada PAS yang hakikatnya tiada potensi langsung untuk bertapak di Melaka.
Perbalahan dalam isu pilihan calon PKR juga menonjol apabila Naib Presiden PKR, Tian Chua menterjemahkan pilihan calon PKR dibuat sebagaimana mereka mengocok daun terup. Pastinya maksud Tian Chua, pemilihan calon tidak dibuat dengan teliti dan bijaksana sebagaimana mereka berjudi.
Adakah PKR akan memperjudikan nasib rakyat.
Tian Chua tidak terpilih di Parlimen Batu, namun dia pesimis bahawa kepimpinan PKR telah memilih calon yang mampu menang dan menarik kepercayaan pengundi bukan sahaja di Batu tetapi juga di seluruh negara.

Kemudian khalayak media juga tergamam apabila nama pemimpin PKR, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dtk Johari Abdul Ghani, digugurkan.
Nama Maria Chin untuk Parlimen PJ juga digugurkan, selain nama penyandang Ahli Parlimen Sungai Buloh R.Sivarasa juga disingkirkan.
Sekiranya PKR mengubah haluan untuk meletakkan calon muda, maka tidakkah mereka sedar Anwar Ibrahim sudah berusia 75 tahun?
Kemudian khalayak media juga dikejutkan dengan kemelut pilihan calon DAP sebagaimana Charles Santiago disingkirkan namanya dari Parlimen Kelang.
Charles baru-baru ini menjadi bahan serangan warganet kerana diterjemahkan sebagai menderhaka kepada DYMM Agong kerana membantah pembubaran parlimen.

Sebelum ini Charles telah menunjukkan bahawa dia adalah penyokong LGBT. Adakah DAP cuba menutup ‘kemaluan’ mereka dengan menyingkirkan nama Charles, sedangkan Presiden PKR juga adalah penyokong tegar LGBT?
Dari sudut lain, agenda tersembunyi DAP ‘use Malays to screw the Malays,’ telah meletakkan calon wanita Melayu, penyandang DUN Ketari Young Syefura Othman di Bentong dan mengetepikan penyandang Parlimen Bentong Wong Tack. Wong Tack akan tetap bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Bentong.

Pengerusi Amanah Kedah, dan juga penyandang ADUN Alor Mengkudu, Dtk Phahrolrazi Mohd Zawawi juga telah menggemparkan sfera politik negara apabila dia dipecat dari parti Amanah kerana dikatakan membantah pencalonan wakil DAP di Jerai.
Nampak sangat Amanah menjadi keldai DAP kerana tanpa rasional yang kukuh dan signifikan telah meletakkan calon DAP di kawasan majoriti Melayu.

Pada PRU14, Parlimen Jerai dimenangi oleh calon PAS dengan majoriti hanya 539 undi mengatasi calon BN. manakala calon Amanah (guna logo PKR) hanya ketinggalan 122 undi di belakang calon BN.

Manakala Presiden parti Malaysian United Democratic Alliance atau MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula dilihat sebagai tidak layak untuk bertanding kerana kes rasuahnya yang amat signifikan menunjukkan dia bersalah dan akan mengheretnya ke penjara.
Adakah Saddiq akan rela pencalonannya di Parlimen Muar ditukar?

Walau apapun rasionalnya, sekiranya senarai calon yang dipilih akan mengakibatkan permusuhan dalam parti, sebagaimana sentimen yang dibangkitkan oleh Tian Chua, dan juga penyokong Charles Santiago di Kelang, manakala penyandang parlimen dari Bersatu pula terus keluar parti, ia tidak lain memberi signal atau amaran bahawa mereka akan kecundang.
Jika tidak pun pastinya mereka akan membangkitkan perbalahan sesama ahli parti yang akan memporak-perandakan negara lagi sekali sekiranya mereka terpilih sebagaimana berlaku di Melaka dan Johor sebelum PRN tempoh hari.
******
Tinggalkan Jawapan