Editorial
29 Okt 2022
Ia satu tindakan yang akan mengalahkan batalian tentera di kubu pertahanan apabila Leftenan Jeneral yang dipercayai telah lari meninggalkan kubu pertahanan sebelum menembak dada Jeneral tepat di dada.
Demikianlah analogi yang boleh digambarkan apabila Naib Presiden PPBM (Bersatu) Dtk Mohd Rafiq Naizamohideen telah mencanangkan bahawa dia akan keluar meninggalkan parti.
Pastinya ia adalah satu musibah kepada TS Muhyiddin Yassin pada saat parti sedang berbalas-balas tembakan dengan tentera musuhnya yang amat kuat serta mendapat sokongan rakyat.

Satu sidang akhbar tergempar yang dijadualkan berlangsung petang esok akan mengesahkan tindakan keluar parti oleh bekas ADUN Paya Rumput itu daripada parti Bersatu.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada keputusan Perikatan Nasional (PN) yang memutuskan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin akan ditandingi calon PAS pada PRU15 ini.
Keputusan PRN Melaka dan Johor telah membuktikan bahawa kemenangan PH pada PRU14 adalah kerana pengundi termakan dengan fitnah dan propaganda politik PH yang penuh dengan janji palsu dan pembohngan.
PPBM (Bersatu) adalah komponen PH yang telah keluar meninggalkan gabungan itu tetapi ditolak oleh BN sebagai rakan kerjasama pada PRU15 ini.
Sebelum ini pun, ARMADA Bersatu Bahagian Jasin telah menuntut pucuk pimpinan tertinggi PN meletakkan calon parti Bersatu dan bukannya PAS di kerusi Parlimen Jasin untuk PRU15 Nov ini.
“Saya akan buat sidang media petang esok. Apa intipatinya saya tak bolehlah beritahu, kena tunggu esok,” kata Mohd Rafiq ringkas.
PAS Melaka telah mengesahkan bertanding di Parlimen Jasin dan Tangga Batu mewakili PN pada PRU-15, 19 November ini.
Timbalan Pengerusi PN Bahagian Jasin, Datuk Kamarudin Sidek menjelaskan bahawa keputusan itu sudah dibuat secara muktamad pada Mesyuarat Presiden PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lalu.
Sebelum ini, Mohd. Rafiq yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu merupakan antara nama yang disebut-sebut bakal mewakili PN di kerusi berkenaan, sebelum pucuk pimpinan gabungan itu menyerahkan Parlimen tersebut kepada PAS.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Mohd. Rafiq yang berpindah dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput ke Telok Mas tewas dalam persaingan empat penjuru kepada calon BN, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undian.

Tiga hari lalu, Ketua Armada Jasin, Muhammad Jefri Safry bertegas calon Bersatu lebih layak bertanding di situ walaupun kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi Pas.
Pada PRU14, Parlimen Jasin telah dimenangi oleh calon BN dengan jumlah undi 26,560 diikuti oleh calon Bersatu (guna logo PKR) iaitu Khairuddin Abu Hassan 26,341, manakala calon PAS hanya mendapat 8860 undi.

Dengan keputusan itu, kedudukan Bersatu adalah jauh lebih kukuh berbanding dengan calon PAS yang hanya memperoleh 8860 undi.
Justeru amatlah tidak wajar untuk meletakkan calon PAS di Parlimen Jasin berbanding dengan calon Bersatu.
Lantas Armada Bersatu mempunyai alasan kukuh untuk membantah PN meletakkan calon PAS yang tidak kompeten jika merujuk kepada keputusan PRU14.
Inilah masalahnya apabila Bersatu bergabung dengan PAS sedangkan antara mereka terdapat pihak yang mementingkan diri sendiri, oportunis dan tidak mahu bertolak ansur apatah lagi merujuk pada fakta.
Bayangkanlah apa akan terjadi sekiranya BN-UMNO juga bergabung dengan PAS, maka banyaklah tuntutan mereka yang terpaksa dipenuhi tetapi akan lebih merugikan UMNO kerana PAS sering berlagak tidak sedar diri dan penuh dengan ego yang lewah menunggang agama.
****
Tinggalkan Jawapan