Editorial
5 Oktober 2022
Hari ini sebagaimana dilaporkan oleh media, pegawai-pegawai di Purtajaya yang dilantik atas kapasiti politik di beberapa kemeterian telah dilihat mengosongkan pejabat masing-masing.

Malah pihak Jabatan Pendidikan Negeri juga telah memaklumkan secara tidak rasmi bahawa, langkah-langkah persediaan PRU15 telah mula digerakkan, kerana pihak sekolah yang terpilih menjadi pusat mengundi, harus menyediakan keperluan dewan mengundi, serta segala fasiliti yang diperlukan serta menyusun arahan SPR.
Senario tersebut itu dipercayai berkaitan dengan spekulasi bahawa pembubaran parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.
Pengumuman rasmi sememangnya belum dibuat kerana ia harus mengikut prosedur yang melibatkan Pejabat Perdana Menteri dan kemudiannya diperkenankan oleh DYMM SPB YDP Agong.
Ia sudah menjadi tindak balas biasa pegawai-pegawai kementerian apabila PRU sudah menjelang tiba, kerana jika sudah diumumkan dan tarikh telah ditentukan keadaan mungkin sedikit kelam-kabut selain mengosongkan pejabat pegawai-pegawai kementerian mungkin diperlukan untuk tugas-tugas lain bagi membantu bekas menteri atau calon PRU berkempen.
Sebelum ini pembangkang menjangkakan Perdana Menteri, DS Ismail Sabri Yaakob akan menghadap DYMM SPB YDP Agong bagi memohon pembubaran Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.
Presiden Bersatu, TS Muhyiddin Yassin seperti berlagak mahu menunjukkan bahawa dia mempunyai kuasa mengawal setiap tindak-tanduk PM, dan telah mengeluarkan arahan supaya PM terlebih dahulu mendapatkan persetujuan Dewan Rakyat sebelum membubarkan parlimen.
Dia telah mengingatkan Perdana Menteri DS Ismail Sabri Yaakob supaya berunding dengan PN sekiranya hendak membubar Parlimen atas alasan bahawa PN mempunyai 72 ahli parlimen sedangkan BN hanya mempunyai 42.

Muhyiddin berkata salah satu perkara yang dipersetujui apabila Perdana Menteri hendak membuat keputusan bagi membubarkan Parlimen ialah beliau perlu berunding dahulu dengan pemimpin tertinggi PN.
Apa yang tersirat pada kenyataan Muhyiddin ialah, dia cuba mencanangkan kepada dunia bahawa sebagai Pengerusi PN, dia mempunyai kuasa yang lebih besar daripada Ismail Sabri, samalah hakikatnya ketika Tun Mahathir yang hanya mempunyai 13 ahli parlimen dalam Bersatu tetapi terpaksa tunduk kepada PH yang lebih besar jumlah ahli parlimennya.
Akhirnya kerana tertekan dengan kehendak komponen utama PH (DAP, PKR dan Amanah), Mahathir terpaksa meluahkan tekanan yang dia rasai apabila dia mengaku bahawa dia hanyalah ‘PM boneka DAP’.
Semalam YAB PM DS Ismail Sabri Yaakob terpaksa membidas kenyataan Muhyiddin bahawa PM mempunyai kuasa untuk mencadangkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada (PRU15) diadakan.
Lantas Muhyiddin atau sesiapa juga dari parti pembangkang tidak perlu sibuk untuk menekan dan mengajar PM tentang kuasa prerogatif yang ada pada beliau.

Sebelum ini, pembubaran parlimen tidak pernah dibincangkan secara terbuka dan apabila PM mengumumkan bahawa Parlimen akan dibubarkan maka ia menjadi keputusan mutlak untuk dibubarkan.
Tegas PM Ismail Sabri bukan setakat perundingan dengan parti lain, dengan parti sendiri pun PM tidak perlu berbincang.
Dengan itu, tidak pernah ada presendens parti politik lain memberikan pandangan mereka atau cuba campur tangan keputusan PM.
Kenyataan YAB PM itu adalah satu libasan pada wajah Muhyiddin yang masih tidak sedar diri, apabila sebelum ini Ismail Sabri telah menolak tuntutan jawatan TPM, meskipun Muhyiddin cuba menekan dan mengugut dengan pelbagai naratif.

PRU ke-10, 1999, pernah diadakan pada hujung November (29 Nov) tanpa sebarang tentangan atau momok-momok banjir, ribut dan taufan yang hakikatnya boleh berlaku tanpa perlu menunggu musim tengkujuh.
Adakah banjir besar yang melanda Sri Muda Selangor menunggu musim tengkujuh, adakah banjir yang melanda Baling juga tidak sabar menunggu musim tengkujuh, dan adakah banjir yang melanda bandar raya Kuala Lumpur juga menunggu musim tengkujuh?
Sedarlah sikit bahawa ini adalah negara khatulistiwa yang menerima hujan sepanjang tahun, meskipun tidak setiap hari.
*****
Tinggalkan Jawapan