Editorial
3 Oktober 2022
PRU15 sewajarnya diadakan segera kerana pentadbiran negara dikendalikan oleh kabinet berkecamuk dengan parti utama yang tidak sekata dan mendukung ideologi politik berbeza.
Malahan menteri kabinet terdiri daripada puak politik yang memusuhi antara satu sama lain.
Dari aspek demokrasi pun, kerajaan sedia ada adalah kerajaan ‘tebuk atap’ yang tidak diiktiraf dunia, kerana ia bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Tanpa mahu mempertikaikan usaha dan pengorbanan DYMM SPB YD Agong, setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan kerana tiada sokongan daripada gagasan PH serta kemelut rebut kuasa antaranya dengan DS Anwar Ibrahim, negara terpaksa diselamatkan dengan kadar segera.

Namun sebagaimana yang disarankan oleh beberapa penganalisis, pemerhati politik serta rakyat sendiri, PRU sepatutnya diadakan seelok-elok kerajaan PH tumbang.
Lihatlah akibatnya, bagaimana Ordinan Darurat dipergunakan oleh TS Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan survival politiknya serta mempertahankan kuasanya, sedangkan dia tidak mempunyai sokongan daripada ahli parlimen.
Ketidakstabilan kerajaan dan negara dibuktikan oleh pelantikan 3 Perdana Menteri dalam penggal parlimen yang amat genjot.

Sebagaimana dilaporkan oleh media, serta perakuan pemimpin-pemimpin politik, bahawa mereka sudah bersedia, maka wajarlah PRU15 diadakan dengan kadar segera kecuali ada antara ahli parlimen yang mahu mempertahankan gaji lumayan mereka.
Realitinya, parti pembangkang sememangnya sudah lama bersedia untuk berdepan dengan PRU15 seelok-elok berlakunya komplot ‘Langkah Sheraton’ yang diterajui oleh Muhyiddin yang menendang keluar rakan sekongkolnya Mahathir daripada PPBM.

Parti Amanah Negara misalnya memperakui bahawa mereka sudah lama bersedia sejak Mahathir meletakkan jawatannya sebagai PM, dan mereka sering melalak menuntut agar mandat rakyat yang mereka peroleh pada PRU14 dikembalikan.
Di samping itu pemimpin-pemimpin politik pelbagai parti juga yang sering mengecam kerajaan sedia ada sebagai kerajaan ‘tebuk atap’, ‘pintu belakang’ dan kerajaan ‘gagal’ maka mengapakah pula PRU15 mahu ditangguhkan?

Dalam percaturan politik, janganlah dipedulikan jerit-pekik parti PPBM (Bersatu) kerana parti ini adalah parti yang dipenuhi dengan katak-katak politik yang kini telah terperangkap dengan Akta Anti-Lompat Parti 2022 yang baharu sahaja digubal.
Manakala gagasan adhoc seperti GTA dan parti Pejuang Tanah Air (PETAI) janganlah dilayan kerana GTA sedang gelabah dan kelam kabut apabila mereka belum lagi berdaftar dengan RoS.
Kepincangan dan campurtangan dalam badan perundangan dan kehakiman negara yang dipelopori oleh PH dengan pelantikan politik Peguam Negara (Tommy Thomas), Ketua SPRM (Latheefa Koya) serta Ketua Polis Negara daripada pegawai yang sudah pencen, hendaklah dipulihkan.
Malahan Tommy Thomas mengakui bahawa dialah orang menyarankan pelantikan Ketua Hakim Negara dengan muslihat tertentu yang pastinya kerana mahu kes-kes jenayah konco-konco DAP diselamatkan tanpa sebarang tentangan.
Alasan banjir dan musim Tengkujuh hanyalah retorik politik, kerana hujan di negara khatulistiwa seperti Malaysia sememangnya berlaku sepanjang tahun.
Hujan beberapa jam sahaja telah menjadi kebiasaan apabila berlaku banjir kilat di sana-sini, dan lebih memalukan apabila berlaku di ibu negara.
PRU sememangnya pernah diadakan pada bulan November, tanpa sebarang rungutan dan cemuhan sebagaimana PRU10 pada tahun 1999.

Apakah ada yang mati kerana PRU10 itu?
Lantas, usahlah menjaja dengan alasan dan propaganda dangkal untuk menyelamatkan kluster mahkamah yang diakibatkan dakwaan terpilih dan kepincangan badan kehakiman, tetapi fikirkanlah tentang kestabilan politik dan ekonomi negara yang menjadi faktor utama untuk menyelamatkan ekonomi rakyat.
*******
Tinggalkan Jawapan