BUATLAH PRU15 MASA BANJIR ATAU SELEPAS BANJIR, BN TETAP MENJADI PILIHAN MAJORITI RAKYAT

Oleh Dr Mamat Desa

29 Sept 2022

Agak ironi apabila boleh dikatakan semua parti politik mencanangkan bahawa mereka telah bersedia menghadapai PRU15, tetapi anehnya mereka juga yang cuba menekan PM DS Ismail Sabri supaya menundanya sehingga tamatnya musim tengkujuh.

Mereka seperti lupa bahawa Malaysia, sebuah negara khatulistiwa, yang menerima hujan sepanjang tahun, meskipun tidak tekal setiap hari.

Mereka juga lupa bahawa sekiranya hujan dua hari tanpa henti, pasti KL akan banjir, kerana isu ‘global warming’, malah jika berlaku air pasang besar, banyak daerah penempatan di pinggir pantai akan banjir.

Dahulunya parti pembangkang riuh dengan kerajaan ‘tebuk atap’ istilah yang direka PAS, tetapi setelah kerajaan tebuk atap itu menarik ahli-ahli parlimen PAS untuk mengisi jawatan menteri dalam kabinet TS Muhyiddin, malah jawatan bertaraf menteri yang sebelumnya tidak pernah wujud, maka label ‘tebuk atap’ itu pun pudar lenyap.

Kemudian heboh pula kerajaan ‘katak’ yang harus ditentang, lantas wujudlah saranan Akta Anti-Lompat Parti 2022, dan telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Apa-apa pun, baik kerajaan ‘tebuk atap’, ‘kerajaan katak’ atau ‘kerajaan gagal’ tidakkah mesej yang cuba disampaikan ialah supaya kerajaan ini dibubarkan dan kerajaan yang dibina oleh prinsip dan doktrin demokrasi ditegakkan dengan segera?

Sebagaimana kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, TS Abdul Rashid Abdul Rahman, kerajaan ‘tebuk atap’ yang didirikan oleh TS Muhyiddin Yassin melalui komplot Langkah Sheraton, tidak diiktiraf dunia kerana ia bukan ditegakkan melalui amalan demokrasi iaitu kerajaan pilihan rakyat.

Lantas memang wajarlah baik dalam hujan ribut atau dalam banjir besar, kerajaan ‘tebuk atap’ ini harus dibubarkan.

Walau bagaimanapun isu yang mahu dibangkitkan dalam wacana ini ialah sama ada PRU-15 diadakan sebelum, selepas atau ketika banjir, parti yang dilihat masih menjadi pilihan majoriti rakyat ialah BN-UMNO, serta parti-parti mesra BN-UMNO di Sabah dan Sarawak.

Jika direntasi karektor PH, pastinya rakyat lihat banyak kegenjotan, terutamanya apabila mereka merujuk kepada kuasa PH selama 22 bulan dengan Tun Mahathir, pemimpin berusia yang dijadikan keldai dan kuda tunggangan sebagaimana prinsip DAP ‘use Malay to screw the Malays’.

Membenarkan persepsi sedemikian, Tun Mahathir sendiri telah mengaku bahawa dia adalah PM boneka DAP.

Malahan rakyat tidak akan lupa fitnah, pembohongan dan janji palsu PH dalam kempen PRU-14, manakala manifesto pilihan raya diterjemahkan sebagai ‘bukan kitab suci’. Jika bukan kitab suci adakah ia layak digolongkan sebagai kertas tisu tandas sahaja?

Majoriti rakyat negara ini adalah kaum Melayu yang amat anti-DAP kerana DAP dipersepsikan sebagai ‘kafir harbi’ yang harus ditentang, meskipun bukan melalui senjata, tetapi melalui apa jua tentangan, seperti tentangan siber, perang saraf, media apatah lagi melalui PRU-15.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagaimana karektor biasa DAP ketika menjelangnya PRU telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP akan menjaga institusi DiRaja serta hak keistimewaan kaum Melayu-Bumiputera sebagaimana diukir dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kontradiknya Lim Kit Siang masih melalak dengan isu ratifikasi ICERD dan Statut Rom, yang tidak sesuai dengan negara yang hanya memiliki 65% sahaja kaum pribuminya.

Di samping itu DAP yang mendominasi PH menjadi amat jijik dengan isu pelantikan Tommy Thomas dan Lateefa Koya atas kapasiti politik, serta Ketua Hakim Negara yang dilantik atas saranan Tommy Thomas juga.

Sistem kehakiman negara jadi punah-ranah, dengan pelantikan politik Peguam Negara PH, yang sebelum lantikannya, adalah peguambela Lim Guan Eng dalam kes ‘pembelian banglow murah’.

Lihatlah bagaimana berlakunya dakwaan terpilih yang penuh dengan hipokrasi, sebagaimana kerajaan authoritarian German dalam gerakan rahsia Gestapo.

Bagaimanakah boleh SPRM terkejut dengan pembebasan Lim Guan Eng, lantas rakyat percaya sebab itulah Tommy Thomas yang terdahulunya merupakan peguambela Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng, diangkat menjadi Peguam Negara.

Kini kes rasuah Terowong Bawah Laut Pulau Pinang menjadi isu panas bagi masyarakat Cina Pulau Pinang dan juga seluruh negara.

Adakah saksi pendakwaan iaitu mendiang Ewe Swee Kheng terpaksa membunuh diri, dibunuh atau rela mati, untuk melindungi perasuah seperti Lim Guan Eng?

Isu ini telah sedikit sebanyak menghantui populariti DAP bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat Cina.

PKR pula masih berlumuran dengan kehinaan kes liwat yang menyebabkan Anwar Ibrahim disumbat ke penjara. Rakyat cuba menolak semua persepsi itu, tetapi Anwar terus dilanda dengan kes Saiful Bukhari dan Yusoff Rawther pula.

Sebelum itu rakyat dihambur dengan skandal Azmin Ali yang merupakan tokoh kesayangan Anwar, tetapi malangnya bungkah-bungkah kebenaran meletup apabila terdeda skandal seks Sandakan.

Rakyat tidak mahu percaya, tetapi cubalah tanya Ummi Hafilda, adik kandung Azmin sendiri yang telah mendedahkan peristiwa buntut berdarah yang amat mengejutkan.

Amanah pula diselimuti oleh pemimpin Syiah yang dikaitkan dengan Mohamad Sabu, sedangkan anutan Syiah ditanggapi sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Malaysia meskipun ada gerakan yang cuba menghalalkannya.

Mohamad Sabu yang pernah dilabelkan sebagai ‘Menteri Pertahanan Terbodoh Dunia’ juga menjadi liabiliti terhadap Amanah kecualilah tokoh seperti DS Salahuddin Ayub diangkat, dan menendang keluar Mohamad Sabu.

Namun tanggapan bahawa Amanah ditubuhkan atas saranan DAP untuk menghakis pengaruh PAS, juga menjadi satu tembok besar yang menyekat sebilangan kaum Melayu Islam daripada memilih Amanah.

Bersatu@PPBM bukanlah parti pilihan rakyat kerana ia merupakan parti katak-katak politik yang tidak lagi mempunyai akar umbi kerana sebahagian besarnya telah menang pada PRU-14 atas tiket UMNO dan PKR.

Mereka ini adalah golongan kabinet ‘gagal’ pimpinan TS Muhyiddin Yassin yang kini terkapai-kapai kerana banyak bahagian dan cawangan PPBM di seluruh negara telah dibubarkan.

PAS pula kian hari kian hilang taringnya setelah pelbagai kenyataan pemimpinnya dipersepsikan bertentangan dengan karektor keislamannya, kecuali pakaian serban, kopiah dan jubah.

Ketidakjujuran PAS dalam hal mempertahankan Muafakat Nasional menjadi perbualan rakyat dan akar umbinya sendiri, malahan sebagaimana ditunjukkan di Melaka, akar umbi PAS telah menentang kerjasama PAS dan Bersatu.

Pemerintahan PAS di Kelantan telah dikejutkan dengan air kotor meskipun sudah berpuluh tahun PAS berkuasa, yang kini menjadi fenomena ‘tidak apa’ atau perkara biasa kepada rakyat Kelantan.

Ini bermakna fahaman utama yang dikendong oleh PAS ialah ‘ketaksuban’ yang pastinya menakutkan rakyat di seluruh negara, dan menonjolkan kegagalan PAS. Malangnya PAS Kelantan mengheret bersamanya nama suci Islam.

Parti Pejuang mungkin harus ditolak dalam parameter perbincangan ini, kerana itulah satu-satunya parti yang tidak relevan, meskipun kini bertaut atas nama Gerakan Tanah Air untuk mendapatkan sokongan ‘golongan katak politik yang telah disingkirkan oleh UMNO dan PKR’. Tidaklah diketahui sejauhmana relevannya pandangan sedemikian. Namun kekalahan teruk 42 kerusi DUN Johor telah menyokong kecenderungan pandangan sedemikian.

Kenyataan MO Ibrahim, tokoh ekonomi Afrika dalam satu forum yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir sewajarnya menjadi rujukan rakyat Malaysia.

Kata MO Ibrahim, “Kemanakah pemimpin berusia 90 tahun hendak membawa rakyat? Ke kubur?”

Kini Mahathir mula bercakap tentang memperjuangkan nasib kaum Melayu, sedangkan semasa 22 tahun 22 bulan dia berkuasa, rakyat lebih melihat perjuangannya membela kroni kapitalis yang kebanyakannya adalah berbangsa Cina.

Berbeza denga pendekatan yang dibawa oleh DS Najib iaitu menggunakan dana negara untuk membantu golongan berpendapatan rendah, dan melaksanakan GST untuk menyekat pembelotan cukai oleh golongan kapitalis.

Perkara asas bagi DS Najib ialah kekayaan negara harus dikembalikan kepada rakyat, jika tidak apa gunanya rakyat memilih kerajaan melalui PRU.

Sedangkan apa yang dilakukan oleh Mahathir ialah menggunakan kekayaan rakyat untuk membela syarikat mega kroni melalui ‘bailout’, dan apabila untung, rakyat tidak pula dipedulikan.

Bagi UMNO-BN, meskipun ikon hebat seperti DS Najib Tun Razak telahpun berjaya disumbat ke penjara oleh tangan-ghaib pro-PH-DAP-PN namun rakyat telah memberikan persepsi berbeza.

Apa yang menjadi rungutan rakyat ialah ketidakadilan dalam prosiding mahkamah terhadap DS Najib. Masakan keputusan hakim yang mempunyai ‘konflik kepentingan kes’ dijadikan asas untuk menghukum DS Najib tanpa membenarkan ruang pembelaan yang adil dan saksama.

Mengapakah pemohon khidmat Queen Counsel ditolak dengan alasan dia tidak fasih berbahasa Melayu sedangkan Peguam Negara PH juga buta Bahasa Melayu?

Hakikatnya sudah ada presedens apabila Mahathir menggunakan khidmat Queen Counsel semasa dia mahu menyingkirkan Ketua Hakim Negara suatu ketika dahulu.

Prosiding perbicaraan DS Ahmad Zahid Hamidi telah dengan nyata membuka mata rakyat tentang ‘dakwaan terpilih’ yang dipelopori oleh ‘tangan ghaib’.

Selain itu banyaklah yang mahu disingkapkan dalam ruang kecil ini, tetapi rakyat sendiri tahu bagaimana pemerintahan 22 bulan PH yang didominasi oleh DAP telah merosakkan sistem kehakiman dan perundangan negara ini.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: