Editorial
19 Sept 2022
Tun Mahathir bangkitkan semula isu kafir-mengkafir antara PAS-UMNO kerana dia fikir isu tersebut boleh mendesak pengundi Melayu-Islam untuk bertindak menolak PAS dan UMNO, setelah melihat PRU15 bakal diumumkan tidak lama lagi.

Mahathir mendakwa PAS kini sudah menjadi parti ‘kafir’ kerana bekerjasama dengan UMNO, parti yang pernah dikafirkan PAS lebih-lebih lagi setelah berlakunya Tragedi Memali pada tahun 1985.
Mahathir membangkitkan isu PAS telah mengkafirkan UMNO dalam ‘Amanat Haji Hadi’, dan dengan itu, pengundi janganlah memilih PAS dan UMNO kerana kedua-duanya adalah ‘kafir’.
Oleh kerana PAS kini dikatakan sedang bersama UMNO maka dia mahu rakyat memberikan persepsi bahawa PAS sedang bersekongkol dengan ‘kafir’ seakan-akan kredibiliti PAS sebagai parti yang bertunjangkan Islam adalah meleset.

Itulah yang berlegar dalam fikiran politikus veteran yang pernah dilabelkan oleh media sebagai ‘nyanyok’.
Sekiranya direnung kembali, pada tahun 1980-an Amanat Haji Hadi, telah menjadi modal politik untuk menolak UMNO, lebih-lebih lagi setelah meletusnya tragedi pembunuhan penduduk Kampung Memali yang tidak berdosa, oleh oleh pihak berkuasa.

Mahathir dan media yang menjadi keldainya, sanggup membohongi rakyat dengan laporan berita bahawa dia tidak berada di tanah air ketika tragedi Memali itu, kerana dia mahu segala kesalahan diletakkan pada bahu Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam.
Ramai yang melihat arahan PM ke-4 ketika itu adalah sesuatu yang ekstrem atau keterlaluan kerana orang-orang kampung Memali bukan pengganas sebagaimana tindakan KDN terhadap kumpulan Al-Maunah.
Malahan pendekatan yang dikenakan oleh kerajaan Mahathir ketika PH berkuasa terhadap pengganas antarabangsa LTTE juga tidak sezalim tindakannya terhadap kaum Melayu-Islam Memali.
Namun rakyat hari ini harus ingat bahawa segala perbalahan PAS-UMNO ketika itu adalah berpunca daripada Mahathir yang jelas menunjukkan DNA dalam dirinya bukanlah DNA Melayu jati yang lebih bertimbang rasa, berbudi bahasa, bertolak ansur, tetapi sebaliknya penuh dengan dendam kesumat yang amat lewah.

Hakikatnya Mahathir amat terdesak kerana parti Pejuang Tanah Air (PETAI) yang diasaskannya hanya mempunyai 4 Ahli Parlimen sahaja, itupun termasuk dirinya dan anak manjanya Mukhris.
Dia cuba bereksperimen dengan keyakinan bahawa rakyat Johor semasa PRN Johor amat lewah menyokongnya kerana kononnya dialah pemimpin ulung yang hebat tetapi semua 42 calon PETAI hilang wang deposit.
Tanggapan Mahathir itu amat salah kerana rakyat Melayu-Islam kini amat sedar siapakah dia yang telah dijadikan keldai DAP semasa 22 bulan PH berkuasa.
Malahan sejarah pentadbiran Mahathir hanya memperlihatkan falsafah kepimpinannya yang tebal dengan kronisme, nepotisme yang mengkayakan kapitalis, sedangkan orang Melayu dihina dan dikeji sebagai pemalas.
Dia memusuhi kesemua PM Malaysia kecuali Tun Abdul Razak yang telah terlebih dahulu meninggal dunia sebelum dia sempat mengatur strategi menjatuhkan Almarhum.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin membidas Mahathir sebagai kehabisan modal kerana membangkitkan isu yang telahpun selesai.

Apa tidaknya UMNO yang menjadi isu dalam dakwaan Mahathir itu adalah UMNO lama, dan UMNO lama tidak lagi wujud kerana yang ada sekarang adalah UMNO baharu.
Presiden PKR yang juga merupakan Pengerusi Majlis Presiden PH, Anwar Ibrahim membidas kenyataan Mahathir itu yang disifatkannya sebagai naratif yang merosakkan dan wajar dihentikan kerana boleh membawa kepada perbalahan dalam kalangan umat Islam.

Namun itulah yang Mahathir mahu, kerana sekiranya berlaku perbalahan antara ahli UMNO dan PAS, maka ia akan menjadi kejayaan besar kepada propaganda dan hasutan Mahathir yang telah dikategorikan sebagai antara diktator terkenal dunia.
Setakat ini UMNO tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap kenyataan Mahathir itu, sebagai petanda bahawa UMNO tidak mahu melayani kenyataan pemimpin yang hiopkrit seperti Mahathir.
Semasa 22 bulan berkuasa, dialah yang menjadi keldai ‘kafir harbi’ sehingga dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah ‘boneka DAP.’

Dia menentang rasuah, tetapi dia membiarkan Tommy Thomas, Peguam Negara yang dilantiknya menggugurkan kes Lim Guan Eng, malahan membiarkan Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Presiden PAN, Mat Sabu nampaknya bersetuju dengan Mahathir, sedangkan dialah yang memberi gelaran kepada Mahathir sebagai ‘Bapa Perompak Negara’.
Tidak hairanlah kerana Mat Sabu amat memusuhi PAS dan dia pernah dilabelkan sebagai Menteri Pertahanan Terbodoh Dunia dari aspek latar ketenteraan mahupun akademik.
****
Tinggalkan Jawapan