Editorial
16 Sept 2022
Majlis Peguam Malaysia nampaknya telah mengeluarkan kenyataan membantah keras pemohonan pengampunan DS Najib Tun Razak yang akan dipersembahkan kepada DYMM SPB YDP Agong.
Majlis Peguam mengatakan tiada presedens dalam prosedur pengampunan DiRaja untuk DS Najib, sedangkan ada rahsia yang mereka sembunyikan, melainkan mereka tidak tahu apa yang telah dilakukan dalam perjanjian Mahathir-DAP-PH ketika PH berkuasa.

Majlis Peguam telah mencabar atau cuba mengajar DYMM Agong, kononnya mereka dan para peguam akan menentang sekiranya baginda memperkenankan pengampunan kepada DS Najib sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Raja Petra Kamaruddin.
Nampaknya mereka bertindak seakan-akan mereka adalah parti politik yang menjadi komponen PH-DAP yang menentang UMNO dari segala arah.
Semasa Dtk Harun Idris dan Dtk Mokhtar Hashim mendapat perkenan pengampunan DYMM Agong, Majlis Peguam hanya mendiamkan diri sahaja.
Atau adakah pendirian Majlis Peguam hanya tunduk kepada Mahathir dan tunduk kepada parti yang Mahathir sokong?
Semasa DS Anwar Ibrahim mendapat pengampunan, Majlis Peguam juga mendiamkan diri walaupun pengampunan terhadap Anwar bukan kes pertama sebaliknya adalah kes ke-3.
Anwar telah memohon rayuan dan ‘judicial review’ tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, namun anehnya Anwar mendapat pengampunan melalui usaha sendirian Mahathir.
Pengampunan Anwar ini adalah ibarat ‘horse trading’ iaitu sekiranya Anwar setuju memberi jalan kepada Mahathir untuk menjadi PM ke-7, maka Anwar akan dibantu untuk mendapatkan pengampunan DYMM Agong.
Jadi anwar terima tawaran tersebut dengan persetujuan agar Mahathir diangkat menjadi PM. Ini adalah satu pencabulan kuasa.
Ada yang mendakwa tindakan Mahathir itu telah melanggar prosedur pengampunan kerana ia tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

Dalam satu pakej yang sama, pengampunan Anwar itu juga termasuk pengampunan oleh PH-DAP terhadap Mahathir dan Daim Zainuddin.
Sebelum itu, DAP mendakwa bahawa mereka mempunyai bukti lengkap bahawasanya Mahathir dan Daim telah mempergunakan dan menyeleweng wang negara sejumlah RM200 billion sejak 1980-an sehingga Mahathir meletakkan jawatan pada 2002.
Hari ini nilai RM200 bilion itu adalah kira-kira RM500-600 bilion.

DAP mendakwa jika UMNO kalah pada PRU dan DAP- PH berkuasa, maka Mahathir dan Daim akan ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan kerana salah guna kuasa menyeleweng duit rakyat, rasuah dan sebagainya.
Tapi oleh kerana Mahathir telah memberi jalan kepada PH untuk membentuk kerajaan, maka DAP telah mengubah pendirian, malahan memberi pengampunan kepada Mahathir-Daim atas kesalahan jenayah mereka.
Apabila PH telah menang pada PRU14, maka ‘reward’ kepada Mahathir-Daim ialah memberikan pengampunan kepada mereka berdua.
Kes pengampunan Mahathir itu lebih buruk daripada pengampunan ke atas DS Najib kerana dia dan Daim belum lagi diheret ke mahkamah untuk dibicarakan, belum lagi ditangkap, dan belum lagi didakwa atas jenayah yang mereka lakukan, tetapi sudah mendapat pengampunan PH- DAP.
PH telah mengampunkan Mahathir dan Daim kerana Mahathir sanggup menyokong PH dan berjanji memberikan kuasa PM kepada Anwar dalam tempoh 2 tahun, serta menguruskan pengampunan DYMM Agong terhadap Anwar.
Hakikatnya Mahathir tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar setelah berkuasa 22 bulan yang menghampiri 24 bulan (2 tahun) seperti yang dijanjikannya, dan dia telah meletakkan jawatan.
Mahathir tidak rugi apa-apa kerana matlamatnya untuk mendapatkan pengampunan dan menyelamatkan dirinya telah terlaksana.
Hakikatnya DAP telah mengesahkan dan bersedia dengan peguam-peguam mereka termasuk dalam Majlis Peguam untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir dan Daim sebelum PH berkuasa.
DAP mempunyai bukti yang kukuh bahawa Mahathir adalah korup, sehingga Mahathir sendiri terpaksa tunduk kepada DAP walaupun dia adalah PM.
Dia pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah PM boneka DAP.

Dia sanggup membantu DAP untuk membentuk kerajaan, maka terus Mahathir dan Daim diberikan pengampunan oleh kerajaan PH.
Tapi mengapa Mahathir sanggup mengubah paradigmanya terhadap DAP sedangkan rakyat tahu DAP adalah musuh dunia-akhirat Mahathir.
Rakyat tidak nampak hal ini semua, kerana ia seakan-akan menjadi rahsia kerajaan DAP-PH dan pihak media termasuk Majlis Peguam.
Lantas Mahathir dengan gahnya berani mengatakan dia tidak bersalah, meskipun MSN telah mendedahkan kekayaannya yang bernilai USD45 bilion atau RM204 bilion mengikut kadar hari ini (USD1 = RM4.53).

Majlis Peguam tidak langsung bersuara dalam hal ini. Apakah sebabnya?
Sebabnya tidak lain dan tidak bukan mereka berlagak seperti mereka adalah sebahagian daripada parti komponen PH-DAP.
Mereka bersikap ‘dwi-standard’ kerana sentiasa berkokok, berkompang dan menjaja tentang isu pengampunan DS Najib, tetapi dalam konteks pengampunan Mahathir-Daim, Harun Idris, Mokhtar Hashim dan Anwar Ibrahim mereka diam seribu bahasa, bagaikan ‘Majlis Peguam Bisu’.
*****
Tinggalkan Jawapan