Editorial
14 Sept 2022
Amat melucukan apabila PN menggesa UMNO kekalkan pengkhianat parti di kerusi yang mereka menang pada PRU14, meskipun mereka telah mengkhianati serta meninggalkan UMNO, dan kini bersama Bersatu-PN.
Ia samalah dengan hakikat menggesa Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi Azmin Ali di Gombak, atau meminta Tun Mahathir mengekalkan kerusi Maszlee Malik di Simpang Renggam dan Syed Saddiq di Muar.
Nampaklah jelas bahawa katak-katak politik seperti Hamzah Zainuddin, Mas Ermieyati Samsudin, Shabudin Yahaya dan Dr Abdul Latiff Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama), kini sedang kepanasan kerana tiada akar umbi dan jentera parti yang mantap untuk membantu mereka pada PRU15 nanti sebagaimana mereka telah dibantu pada PRU14.
Terlalu ramai yang melompat ke Bersatu, manakala ada antara mereka telah diugut dengan ‘dakwaan terpilih’ sehingga kerajaan PN-Bersatu ditanggapi sebagai kerajaan katak.

Terdapat 39 ahli parlimen yang telah melompat parti dengan kadar 17.56% daripada keseluruhan 222 ahli parlimen dan sekaligus menjadikan kerajaan PN sebagai kerajaan yang amat tidak stabil dan goyah dari aspek sosio-politik.
Kebanyakan katak-katak politik ini sebelumnya adalah keldai-keldai Mahathir, yang meninggalkannya untuk bersama TS Muhyiddin Yassin, setelah mereka sedar rakyat membenci PH serta Perdana Menteri yang hanya kekal selama 22 bulan sahaja.
Mereka sanggup membiarkan Mahathir terkial-kial dengan hanya 4 ahli parlimen daripada 222 untuk kekal bersamanya, bagaikan ‘zombie’ atau bangkai hidup yang sedang mencari mangsa untuk kesinambungan hayat.
Menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, inilah antara pelbagai rasional mengapa UMNO tidak berminat untuk bersama dengan Bersatu dan PN, di samping sikap ‘khianat’ Muhyiddin yang jelas melobi dan merayu PH untuk bersamanya menentang UMNO pada PRU15 nanti dengan agenda mengangkatnya sebagai PM ke-10.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim juga turut menggesa UMNO agar penyandang yang telah menang kerusi parlimen pada PRU14 dikekalkan atas tiket Bersatu dan tidak diganggu.
Lantas adakah PAS akan membiarkan dan tidak akan mengganggu ahli parlimen atau ADUN Amanah yang telah menang pada PRU13 atas tiket PAS?
Pada PRU13 Mahfuz Omar menang di Pokok Sena atas tiket PAS, Mujahid Yusof Rawa menang di Parit Buntar atas tiket PAS, YB Khalid Samad dan YB Hanipa Maidin juga telah menang atas tiket PAS, mengapa PAS tidak terus membiarkan mereka?
Rakyat lihat pada 2015 mereka keluar parti PAS untuk bersama dengan Amanah tetapi terus juga‘dilanggar’ PAS semasa PRU14 (2018) di tempat yang sama.
Tiada siapa yang tuduh PAS pentingkan diri atau gila kuasa atau memaksa PAS beri laluan demi ‘kemaslahatan’ lebih besar.

Nampak sangat kenyataan Tuan Ibrahim sebagai suatu hipokrasi kerana kepentingannya dalam Bersatu, dan kini TS Hadi Awang akan bergelut dengan tuduhan rasuah yang diadukan oleh DAP.
PAS pandai mendesak UMNO untuk menerima Bersatu yang lewah dan tegar dengan pemimpin mereka yang khianat termasuk mengkhianati PAS, tetapi PAS sendiri tidak pernah mahu bekerjasama dengan Amanah demi ‘perpaduan ummah’ kononnya.
Falsafah utama di sini ialah, sebagaimana termaktud dalam ‘Akta Anti-Lompat Parti’ yang baharu diluluskan, katak-katak politik adalah pengkhianat kepada mandat pengundi kerana mereka dipilih atas tiket parti yang mendukung mereka.
Selain itu jentera parti UMNO misalnya telah bertungkus-lumus dan bermati-matian untuk memastikan kemenangan mereka, tetapi dengan begitu mudah mereka meninggalkan parti tanpa memikirkan nasib mereka pada PRU berikutnya.
Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada parti, tetapi mereka juga telah mengkhianati mandat rakyat.
****
Tinggalkan Jawapan