DAP BUAT LAPORAN RASUAH TERHADAP HADI AWANG, ADAKAH INI YANG DESAK PAS PATUH PADA MUHYIDDIN?

Editorial

9 Sept 2022

ADUN DAP di DUN Seri Delima PP, Syerlina Rashid hari ini telah menggemparkan lanskap politik PAS apabila membuat laporan kepada SPRM terhadap Presiden PAS TS Abdul Hadi Awang atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Tindakan Syerlina adalah susulan video Sarawak Report yang mengesahkan dakwaan bahawa UMNO telah memberi rasuah RM90 juta kepada PAS untuk mendapatkan sokongan pada PRU14 yang lalu.

Sebelum ini, pada Ogos 2016, Editor Sarawak Report Claire Rewcastle Brown telah disaman fitnah oleh Hadi tetapi kes tersebut telah diselesaikan di luar mahkamah, dengan Hadi dilaporkan membayar Rewcastle Brown RM1.4 juta pada 2019.

Syerleena menggesa Hadi disiasat setelah Rewcastle Brown ‘mengesahkan’ dakwaannya.

Syerleena diminta tidak mendedahkan merit aduan itu, dan telah disoal siasat oleh SPRM selama tiga jam ketika membuat laporan.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Lim Guan Eng juga telah menggesa Hadi supaya menjelaskan pengesahan Rewcastle Brown yang kononnya UMNO telah membayar PAS RM90 juta sebagai rasuah.

Ahli Parlimen Bagan itu juga memberi amaran bahawa laporan SPRM akan dibuat terhadap Hadi jika beliau tidak memberikan penjelasan berhubung dakwaan editor Sarawak Report itu.

Kini terbangkit pelbagai spekulasi, antaranya adakah inilah yang menjadi alasan utama kenapa Hadi terpaksa menjalin hubungan akrab dengan Muhyiddin dan patuh padanya sehingga terpaksa menolak Muafakat Nasional (MN) yang telah dijalin dengan UMNO, dan menerima Perikatan Nasional (PN) yang menjamin kesinambungan hayat politik Muhyiddin.

Perkara ini pernah dibangkitkan oleh DS Lokman Noor Adam untuk menjelaskan mengapa Hadi terpaksa mengabaikan MN dan menerima PN sedangkan akar umbi PAS sendiri menolak PN dan melabelkan Muhyiddin sebagai ‘pengkhianat’ bukan sahaja kepada PH, tetapi juga terhadap PAS dan UMNO.

Muhyiddin dipersepsikan mempunyai jaringan ‘orang dia’ baik di PDRM, dan SPRM manakala legasi Mahathir yang kini mendapat sokongan Muhyiddin, sedang mengawal badan perundangan dan kehakiman sebagaimana menjadi buah mulut orang ramai.

Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli pernah mencatatkan dalam afidavitnya dalam kes yang masih dalam perbicaraan, bahawa orang Muhyiddin dan SPRM telah mengugutnya supaya melompat parti (dari Warisan ke PPBM) jika tidak mahu didakwa.

Spekulasi lain yang disandarkan sebagai ‘konspirasi’ pihak pembangkang adalah kerana kenyataan Hadi yang mendakwa bahawa ‘kaum Cina’ adalah kaum yang paling lewah memberi rasuah, yang telah membangkitkan kemarahan pemimpin DAP.

Dakwaan Hadi itu telah disokong oleh satu kajian bertajuk Size And Cost Of Bribe Given And Solicited: Analyses Based On Convicted Offenders In Malaysia” oleh Christine Chong Siew Pyng dari Universiti Sains Malaysia dan telah diterbitkan dalam sebuah jurnal antarabangsa yang berwibawa di Amerika Syarikat.

Dalam kes pemberi rasuah, kajian berkenaan telah mendapati 58% kaum Cina, 30% kaum India dan kaum bukan-Melayu lain, manakala 12 % kaum Melayu menjadi komposisi pemberi rasuah di Malaysia.

Walau apapun sandaran Hadi, kenyataannya itu telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan pemimpin DAP, terutamanya Lim Guan Eng, sedangkan beliau sendiri kini terlibat sebagai pemimpin DAP yang sedang dibicarakan kerana kes rasuah ‘Terowong Bawah Laut PP’.

Adakah nanti Muhyiddin akan dapat menyelamatkan Hadi, sebagaimana PH selamatkan orang-orang mereka melalui Peguam Negara, Tommy Thomas?

Peguam Negara, Idris Harun adalah lantikan Muhyiddin, dan setakat ini beberapa pemimpin UMNO sedang diserang oleh pandemik ‘dakwaan terpilih’, seperti DS Ahmad Zahid Hamidi, TS Sharir Samad, DS Azeez Abdul Rahim, manakala 18 kes pemimpin PH telah digugurkan oleh Tommy Thomas.

Sedihnya DS Najib Tun Razak telahpun diheret ke penjara Kajang.

*****

Tinggalkan komen

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑