Editorial
8 Sept 2022
Dalam satu temu bualnya dengan Malaysiakini, Tommy Thomas dengan secara tidak langsung telah mendedahkan tindakan dwi-standard (pilih kasih@pilih bulu) pihak mahkamah terhadap DS Najib Tun Razak sebagai pihak tertuduh.
Tommy Thomas adalah Peguam Negara ketika kes SRC dibuka iaitu setelah PH berkuasa selepas PRU14.
Selain kes Najib, Tommy Thomas telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan berat sebelah dan ‘dakwaan terpilih’ terhadap kes-kes kroni PH-DAP.
Antaranya ialah apabila kes rasuah pembelian banglow yang melibatkan Lim Guan Eng telah digugurkan, dan mengejutkan banyak pihak termasuk SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes.

Kini, Guan Eng terlibat dengan kes rasuah ‘Terowong Bawah Laut’ yang masih berlangsung, namun rakyat sedang memerhati dan menilai apakah tindakan Peguam Negara lantikan PN dalam kes tersebut.
Walau bagaimanapun kes wang sogokan RM1.03 juta terhadap Hakim Nazlan Ghazali, dan kes rasuah terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara telah membangkitkan persoalan terhadap rakyat apabila didiamkan begitu sahaja oleh Idris Harun.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Thomas berkata kes SRC International yang dikaitkan dengan Najib dipilih sebagai kes berkaitan 1MDB pertama untuk didakwa kerana ia “mudah dibuktikan”.

Ironinya Thomas juga mengatakan bahawa kes tersebut adalah ‘rumit’ kerana terdapat banyak dokumen dan transaksi yang perlu disemak.
Dalam temu bual itu, Thomas menyifatkan dokumentasi kes itu sebagai “banyak”.
Namun sekiranya ia ‘rumit dan melibatkan dokumentasi yang banyak’ kenapakah mahkamah Persekutuan seperti tergesa-gesa mahu menjatuhkan hukuman terhadap Najib, sedangkan bukti baharu ditolak.
Pihak pembela DS Najib telah cuba meyakinkan mahkamah tentang perkara ‘rumit dan melibatkan dokumentasi yang banyak’, dan lebih banyak masa diperlukan, tetapi pihak mahkamah nampaknya menolak hakikat tersebut.
Ketika perbicaraan bermula, peguambela utama Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa pasukannya diberikan rekod perbicaraan yang banyak dan memerlukan “masa yang mencukupi untuk bersedia” dan berhujah dalam kapasiti membela pihak tertuduh.
Namun Permintaan Hisyam dalam rayuan penangguhan telah ditolak oleh pihak mahkamah.
Ketika kes dibuka, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kepada kerajaan PH, telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia “bertekad untuk mendapatkan peguam yang terbaik dan paling bijak untuk mendakwa Najib tidak kira dari mana peguam itu berasal.”
Pihak pendakwaan akhirnya menggunakan peguam daripada firma swasta seperti bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram dan peguam kanan V Sithambaram.
Hakikatnya Gopal Sri Ram pernah mendesak Apandi Ali supaya menangkap DS Najib hanya kerana alasan ia diarahkan oleh Tun Mahathir tanpa ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh Najib.
Kini apabila Najib cuba mendapatkan khidmat peguam terbaik ‘tidak kira daripada mana peguam itu berasal’ seperti Queen Counsel Jonathan Laidlaw, Mahkamah Persekutuan menolak pemohonan itu dengan alasan bahawa kepakaran asing tidak diperlukan kerana peguam Malaysia mampu mengendalikan kes melibatkan pengubahan wang haram dan pertuduhan rasuah di bawah undang-undang tempatan.
Ini adalah tindakan ‘dwi standard atau pilih kasih’ dan hipokrasi yang menjejaskan penghakiman dalam kes SRC, sebagaimana dibangkitkan oleh peguam bela Zaid Ibrahim.
Zaid turut mempersoalkan mengapa ‘hakim khas’ digunakan dalam kes SRC dan bukannya hakim yang biasanya mengetuai kes jenayah.
Walaupun Zaid tidak menyebut siapa yang dimaksudkannya, namun pemerhati dan rakyat jelata tahu bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Ghazali adalah ‘hakim khas’ yang dimaksudkan apabila sebelum ini dia adalah hakim di bahagian komersial sebelum mengambil alih kes DS Najib di Mahkamah Jenayah ketika perbicaraan bermula pada Ogos 2018.
Hakikatnya pihak Mahkamah Persekutuan hanya memekakkan telinga apabila mengetahui Hakim Nazlan Ghazali adalah adalah General Counsel dan juga Ketua Bahagian Korporat dan Perundangan kepada Maybank.

Majlis Peguam telah menggesa hakim terdahulu, Sophian Abd Razak, diberhentikan kerja selepas diketahui abangnya adalah ahli politik UMNO dan anggota Exco kerajaan negeri Pahang.
Amat disangsikan, dalam surat kepada peguambela Najib, Shafee & Co. bertarikh 8 Ogos 2018, Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim ketika itu menyifatkan pertukaran hakim itu sebagai sebahagian daripada rombakan pentadbiran biasa.
Lebih memusykilkan lagi apabila suami Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut menjadi panel hakim dalam kes SRC, iaitu Zamani Ibrahim adalah penyokong tegar Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengesahkan sabitan Najib terhadap kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Adakah keadilan telah ditegakkan dan dilihat ditegakkan?
*****
Tinggalkan Jawapan