Editorial
7 Sept 2022
Memang mengejutkan apabila bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, TS Abdul Rashid Abdul Rahman mendedahkan bahawa kerajaan PN yang ditubuhkan setelah Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana peletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad pada 2020, TIDAK DIIKTIRAF dunia.
Peletakan jawatan Mahathir adalah kerana tindakan TS Muhyiddin Yassin bermuafakat dengan konco-konconya meninggalkan parti PPBM (Bersatu) melalui komplot ‘Langkah Sheraton’.
Dengan itu Mahathir melihat bahawa kerajaan PH yang melantiknya sebagai Perdana Menteri tiada lagi keabsahan kerana telah hilang sokongan majoriti ahli parlimen.

Tindakan Muhyiddin tidaklah mengejutkan kerana kerajaan PH telah gagal menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat apabila manifesto PH dalam kempen PRU14 hanyalah janji kosong dan pembohongan.
Bukan itu sahaja, pentadbiran kerajaan PH penuh dengan huru-hara dan porak peranda, apabila banyak berhutang dan menjual aset GLC milik kaum Melayu-Bumiputera seperti Tabung Haji dan Khazanah, di samping menjarah dana Petronas. Malahan Mahathir mengakui bahawa dia adalah ‘PM Boneka’.
TS Abdul Rashid bertanya, adakah mana-mana negara mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin setelah dia ditabalkan oleh DYMM Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8?

Beliau menegaskan tiada, mana-mana negara maju yang mengucapkan tahniah, malahan pemimpin negara jiran juga tidak mengucapkan tahniah seakan-akan tidak merestui pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Setelah 17 bulan berkuasa, Muhyiddin pula jatuh tersungkur setelah membangkitkan kemelut penggunaan Ordinan Darurat untuk mengelak daripada usul ‘Undi Tidak Percaya’ kerana Bersatu tidak mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi, melainkan terpaksa membentuk ‘Perikatan Nasional’ secara adhoc.
Muhyiddin juga gagal melaksanakan program PKP untuk membendung pandemik Covid19 malah dikritik kerana program ‘PKP Separuh Masak’ yang telah mengangkat Malaysia sebagai antara 10 negara paling kritikal di dunia diserang pandemik tersebut.

Malahan PKP juga telah memusnahkan ekonomi rakyat, sedangkan golongan kapitalis dibenarkan menjalankan aktiviti perkilangan yang membuka ruang penularan virus Covid19 yang dibawa oleh pekerja asing.
TS Abdul Rashid menegaskan, pemimpin luar sememangnya akan memberi sambutan apabila Perdana Menteri, baik Muhyiddin mahupun DS Ismail Sabri ketika membuat lawatan walaupun mereka tidak mengiktiraf, kerana mereka tidak mahu bermusuhan.
Kerajaan PN tidak diiktiraf kerana ia bukan ditegakkan oleh pemilihan rakyat secara demokrasi, tetapi sebaliknya ditegakkan secara adhoc oleh pihak istana untuk mengatasi kecelaruan politik Malaysia.
Bayangkanlah dalam sepenggal sahaja, tiga Perdana Menteri dilantik silih-berganti yang menjadi sejarah suram dalam kancah politik Malaysia.
Bukan isu itu sahaja, kerajaan sedia ada juga tidak stabil kerana didirikan daripada campuran pelbagai parti yang mendukung pelbagai ideologi, tidak sehaluan, dan sering bercakaran.
Perdana Menteri terpaksa ‘bermain politik’ dengan memberikan jawatan dan pelantikan dalam GLC sebagai gula-gula kepada ahli parlimen untuk mengekalkan kuasa yang dilihat goyah kerana pelbagai ideologi politik.
Bagi TS Abdul Rashid, tiada jalan lain yang lebih baik, kecuali mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 secepat mungkin.
Malahan PRU15 sepatutnya sudah lama diadakan, sejak Mahathir kecundang melalui komplot ‘Langkah Sheraton.’
*****
Tinggalkan Jawapan