Editorial
5 Sept 2022
Setiausaha Agung PAS pusat, Takiyuddin Hassan nampaknya cuba membangkitkan polemik lagi sekali setelah menjadi popular sebagai kaki putar-belit dalam sidang parlimen mengenai isu pembatalan Ordinan Darurat pada Ogos tahun lalu. Dia dan Muhyiddin bukan sahaja telah membohongi Dewan Rakyat, malahan DYMM Agong serta rakyat jelata.
Isu berkenaan amatlah mengejutkan ahli parlimen baik blok kerajaan mahupun pembangkang dan rakyat keseluruhannya, apabila melihat (bekas) Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hassan sekonyong-konyong memaklumkan bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat 2021 yang telah diperkenankan oleh DYMM Agong, dengan cara yang amat memusykilkan setelah pembatalan tersebut dibuat oleh kabinet pada 21 Julai 2021, sedangkan pemakluman yang tidak diwartakan dibuat pada 26 Julai 2021.


Beberapa ahli parlimen melabelkan Takiyuddin dan juga Muhyiddin Yassin sebagai pembohong besar kepada DYMM Agong dan rakyat apabila Ordinan Darurat dijadikan senjata oleh PN untuk menjarah RM600 billion wang negara dalam program pemulihan dengan menyekat sebarang perdebatan kelulusannya di parlimen.
Baru-baru ini, dia juga yang mengaku menjadi orang kuat PN yang merekacipta ‘Perjanjian sulit antara Muhyiddin dan Ismail Sabri’ yang antara lain mahu perbicaraan kes SRC yang dikaitkan dengan DS Najib Tun Abdul Razak disegerakan di samping mengekalkan jawatan Peguam Negara, serta jawatan beberapa menteri PAS yang lain.
Kali ini, mungkin kerana terdesak untuk mensucikan semula Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO, Takiyuddin mencanangkan bahawa dia telah menjemput UMNO untuk turut menghadiri Muktamar PAS yang diadakan di Alor Setar.

Namun, UMNO negeri menafikan ada menerima jemputan daripada PAS untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu yang bermula dua hari lalu pada Sabtu 3 Sept 2022.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri telah menafikan jemputan Takiyuddin itu, yang sekali gus menunjukkan bahawa Takiyuddin adalah pembohong besar.
Hakikatnya, sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, UMNO tidak pernah sekalipun dijemput ke mana-mana Muktamar Tahunan PAS, mahupun mesyuarat di peringkat PAS kawasan mahupun Negeri Kedah.
Peliknya, pada tahun 2022 ini, kecoh pula tentang kononnya tidak seorang pun kepimpinan UMNO hadir pada Muktamar PAS? Bagaimana kepimpinan UMNO hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti? Apakah kerana kekecohan tersebut sengaja PAS cetuskan gara-gara Pilihan Raya Umum (PRU)15 yang hampir tiba.
Selain DS Jamil Khir, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob juga menafikan jemputan Takiyuddin itu dan menasihatkan PAS agar lebih ikhlas dan tidak berbohong kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan UMNO ke Muktamar PAS 2022.
Suraya menegaskan agar Takiyuddin usah putar-belit, berlagak suci atau ‘play victim’ dalam soal ini, dan mengelirukan orang ramai mengenai hal sebenar yang berlaku dengan menyalahkan kepimpinan UMNO.

Malah, sebagaimana dijelaskan oleh Suraya, ketika berbual dengan Takiyuddin di Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan pada 1 September lalu, dia langsung tidak menyebut tentang sebarang jemputan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat mahupun Negeri Kedah ke Muktamar berkenaan.

Takiyuddin adalah antara parasit dalam PAS yang tidak tahu menghormati perjanjian MN apabila lebih cenderung menjaga hubungan PAS-Bersatu kerana kedudukan dan jawatan yang disogokkan pada pemimpin PAS, sedangkan mereka sedar siapakah Muhyiddin Yassin yang telah dilabelkan sebagai ‘pengkhianat ulung’ dalam sejarah politik negara yang dikaitkan dengan ‘Langkah Sheraton’.
Takiyuddin juga buta dengan pengkhianatan Muhyiddin terhadap PAS yang berkali-kali cuba mengikat kerjasama dengan PH-DAP sedangkan dia sedar PAS amat membenci DAP dan Amanah sama seperti UMNO membenci Bersatu.
Nampak sangat SUA PAS ini adalah pembohong besar dan hipokrit, yang PAS istilahkan sebagai munafik.
****
Tinggalkan Jawapan