Editorial
22 Ogos 2022
Sebagaimana dituntut oleh akar umbi serta MKT UMNO, PRU15 sewajarnya diadakan pada tahun ini juga, atas faktor-faktor semasa yang amat mendesak.
Pertama, sekiranya PM DS Ismail Sabri memberikan alasan bahawa menyegerakan PRU15 tidak memberi jaminan kemenangan kepada BN-UMNO, malah akan membunuh BN-UMNO.
Namun, kontradiknya apakah jaminan kemenangan BN-UMNO sekiranya PRU15 ditangguhkan, sedangkan konco-konco pembangkang sedang giat dengan strategi fitnah dan pembohongan supaya rakyat membenci BN?

Kedua, tindakan Pengerusi PN, TS Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan sulit dengan PH dan pemimpin pembangkang yang lain, adalah faktor konkrit yang mewajarkan PRU15 diadakan segera kerana ia menunjukkan pengkhianatan terhadap BN, UMNO dan PAS yang tidak menjamin kestabilan politik.
Muhyiddin bukan sahaja mengadakan pertemuan sulit dengan PH, malah dengan Presiden Warisan dan juga Pengerusi PETAI (Pejuang Tanah Air).
Meskipun DS Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mat Sabu, Shafie Apdal dan Mahathir, menolak kerjasama dengan Muhyiddin namun, ia boleh sahaja menjadi muslihat politik, sebagaimana sebelumnya Mahathir yang amat membenci DAP, boleh sahaja menjadi rakan ‘tidur sebantal’.
Dengan kata-kata lain, ia mewujudkan ketidakstabilan politik kerajaan PN sedia ada dan dengan itu PRU15 wajar diadakan segera.
Ketiga, setelah Muhyiddin sedar bahawa saranannya untuk membina khemah besar dengan tujuan semata-mata untuk mengalahkan BN-UMNO gagal, dia dengan terbuka mengakui bahawa dia terpaksa bersara selepas PRU15 kerana optimis bahawa dia akan kalah, yang bermakna PN akan kalah.
Tiada lain lagi yang berlegar pada pemikiran pelabur, selain merumuskan bahawa kerajaan sedia ada, adalah kerajaan yang amat tidak stabil, kecuali dengan faktor bahawa PM Ismail Sabri adalah pemimpin UMNO yang masih disokong oleh majoriti kaum Melayu yang merupakan komposisi terbesar rakyat negara ini.
Keempat, komplot konspirasi untuk menjatuhkan DS Najib dengan perbicaraan kes SRC yang amat genjot, apabila bukti ditolak, pelantikan Queen Counsel ditolak (sedangkan sudah ada presedens sebelum ini), peguambela menarik diri, manakala kertas siasatan ke atas Hakim Nazlan pula dipermain-mainkan.



SPRM telah mengesahkan bahawa kertas siasatan yang ada ‘prima facie’ yang kukuh untuk menolak Nazlan sebagai Hakim serta keputusannya terhadap DS Najib di Mahkamah Tinggi, telah disiapkan dan diserahkan kepada Peguam Negara.
Aneh dan ironi sekali apabila Peguam Negara pula mengesahkan bahawa kertas siasatan itu tiada padanya dan juga di Pejabat Peguam Negara.
Tidakkah ini dipersepsikan oleh pemerhati ‘kedaulatan undang-undang negara’ sebagai satu konspirasi yang juga membangkitkan ketakutan pelabur tehadap negara?

Gejala yang mengangkat ‘undang-undang rimba’ sejak PH berkuasa dan menjadi legasi mereka dalam badan perundangan dan kehakiman negara, hendaklah dibersihkan dengan menukarkan kerajaan sedia ada.
Hanya mandat segera daripada rakyat sahaja yang dapat merobah semuanya ini.
Kelima, gelagat konco-konco DAP-PH yang menggunakan anak-anak muda untuk berdemonstrasi dengan isu LCS yang menjadi model ‘1MDB-02’ adalah dampak yang akan menyerlahkan strategi fitnah, pembohongan dan janji palsu PH, sebagaimana kempen PRU14 dahulu.
Jika dibiarkan beberapa bulan lagi, nescaya pelbagai lagi fitnah dan pembohongan yang diterajui oleh ‘pakar fitnah negara’ akan menerobos masuk ke minda dan persepsi pengundi.
Oleh itu amatlah wajar, demi mandat rakyat yang bosan melihat perubahan TIGA kerajaan dalam penggal ini sahaja, dengan TIGA Perdana Menteri yang silih berganti dalam garis masa yang singkat, maka wajarlah PRU15 diadakan segera.

Dr Mahathir, pakar dan bapa ‘hipokrasi negara’ juga telah mengakui bahawa BN akan menang sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini.
Lantas, tunggu apa lagi PM Ismail Sabri?
*****
Tinggalkan Jawapan