BENARKAH DIA MENTADBIR NEGARA DENGAN JAYANYA?

Editorial

21 Ogos 2022

Pihak sekongkol TS Muhyiddin Yassin tidak mahu menerima hakikat bahawa Perikatan Nasional (PN) telah gagal membela nasib dan ekonomi rakyat kerana perhitungan mereka yang lebih ghairah mementingkan kuasa dan kedudukan.

Malahan ada penganalisis yang berani mengatakan bahawa PN di bawah Muhyiddin telah menipu rakyat dan DYMM Agong dalam isu pelaksanaan Ordinan Darurat.

Lantas tiada alasan yang signifikan untuk UMNO bekerjasama dengan PN bagi mengembalikan kuasa Muhyiddin dalam menerajui kepimpinan negara.

Malahan kubu kuat Muhyiddin di Pagoh sendiri telah nazak manakala banyak Bahagian dan Cawangan Bersatu di seluruh negara telah dibubarkan.

Antara lain, kegagalan PN adalah seperti berikut:

Pertamanya, PN telah dengan gelojohnya menambah hutang negara sedia ada semasa pemerintahan PH sebanyak 46% dalam masa 17 bulan; suatu masa yang amat singkat. Bukan itu sahaja kadar hutang negara berbanding KDNK telah dinaikkan kepada dua tahap iaitu daripada 55% kepada 60% dan 65% sebelum PN tumbang.

Kedua, pertumbuhan ekonomi negara tidak meningkat, sebaliknya merudum manakala pendapatan rakyat terkesan dan hasil kerajaan melalui cukai korporat serta cukai peribadi turut merosot.

Ketiga, pertumbuhan KDNK negara dan jumlah pelaburan asing jatuh antara paling rendah dalam sejarah negara. Pasaran saham Malaysia menjunam dan menjadi pasaran saham dengan prestasi antara paling corot dalam dunia, menyambung status yang terhasil pada era PH.

Keempat, dividen-dividen untuk rakyat jatuh teruk berbanding sebelum PRU14 dan memberi tekanan lebih besar kepada pendapatan tahunan rakyat Malaysia.

Kelima, rizab tunai Petronas dijarah dalam masa 4 tahun termasuk semasa PN dan Muhyiddin menjadi anggota Kabinet kerajaan PH.

Kegagalan PN menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.

Sejumlah 12,784 nyawa telah diragut Covid19, manakala kes jangkitan melonjak kepada 1.42 juta dan 249,277 kes aktif sebelum Muhyiddin terpaksa meletak jawatan sebagai PM

Perkara yang paling memalukan dan tidak bermoral ialah PN telah menyalahgunakan Ordinan Darurat untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara.

Pelaksanaan Ordinan Darurat telah menyekat sidang Parlimen dan pemantauan belanjawan PN yang amat boros sehingga menyebabkan RM600 bilion wang negara digunakan tanpa soal.

Ordinan Darurat juga ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat dalam keadaan mereka terbeban dengan isu kelangsungan hidup yang digasak oleh pandemik Covid19.

Sistem demokrasi dimandulkan apabila Parlimen dibekukan yang memberi dampak kepada pelaksanaan ‘semak dan imbang’ yang amat penting untuk menjamin hak dan suara rakyat dalam sistem demokrasi.

PN juga telah gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori dan ini termasuk isu tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah terakru.

Pelaksanaan moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir serta terpaksa melalui karenah birokrasi membebankan.

PN juga gagal memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri, kemurungan dan jenayah akibat tekanan psikologi kerana desakan ekonomi.

Pelaksanaan PKP separuh masak untuk mengekang pandemik Covid19 adalah antara tempoh paling lama di dunia sehingga rakyat hilang mata pencarian, berlaku kes bunuh diri dan rakyat terpaksa naikkan bendera putih merayu sumbangan makanan.

Kestabilan politik dan ekonomi pada era PN tergugat teruk, sehingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian Covid19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan Malaysia di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

PN telah memperkotak-katikkan titah DYMM Agong sehingga Baginda terpaksa bertitah berulang-kali supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan Darurat, Belanjawan Negara serta Pelan Pemulihan Negara.

PN juga seperti bertindak menyekat rakyat sebagai pencarum KWSP daripada mengeluarkan caruman mereka ketika waktu kesesakan ekonomi mereka sendiri akibat pandemik Covid19.

Muhyiddin akhirnya membenarkan pengeluaran caruman setelah didesak berkali-kali oleh BN-UMNO melalui pelbagai alasan dan sindiran. Namun amat memalukan apabila Muhyiddin cuba ‘masuk bakul dan angkat sendiri’ setelah pengeluaran dilaksanakan untuk memberi kredit pada dirinya sendiri.

Lebih 17,500 kes muflis dilaporkan sejak 2020 setelah PH tumbang dan PN memerintah. Kaum Melayu paling banyak terlibat dalam kes muflis iaitu sebanyak 10,267 dan diikuti Cina sebanyak 4,447, kaum India 1,516 serta kaum lain 1,321.

Adakah wajar rakyat memilih PN, yang sebelum ini diangkat menerajui kerajaan melalui ‘rampasan kuasa’ dalam komplot ‘Langkah Sheraton’?

Malahan adakah relevan untuk rakyat memilih PH yang telah memerintah selama 22 bulan yang penuh porak-peranda, lintang-pukang dan huru-hara, serta penindasan terhadap kaum Melayu-Bumiputera?

Fikir-kifirkanlah secara waras.

****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: