Editorial
16 Ogos 2022
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan masih tidak puas hati dengan pendirian PM DS Ismail Sabri yang tidak memberikan respons yang serius terhadap tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan jawatan Menteri yang lain.
Sungguh aneh ketika penghujung penggal Parlimen ke-14, apatah lagi sewaktu rakyat sedang riuh di sana-sini membicarakan tentang relevannya PRU15 diadakan segera, Wan Saiful masih merengek-rengek dengan isu menuntut jawatan TPM dan jawatan Menteri yang lain.
Ia seakan-akan jawatan TPM itu adalah untuk dirinya, atau dia mahu diangkat menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menggantikan Datok Zuraida Kamaruddin yang telah meninggalkan Bersatu.
Hakikatnya PM DS Ismail Sabri telah mengekalkan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu kepada Zuraida Kamaruddin meskipun beliau telah meninggalkan Bersatu.
Ia bagaikan satu pelempang ke muka Wan Saiful yang perasan bagaikan lebih sudu dari kuah.

Kempunanlah ‘perekacipta manifesto kertas tisu tandas PH’ yang telah dilantik oleh PN sebagai Pengerusi PTPTN, tetapi kemudiannya dikritik oleh bekas Lembaga Pengarah PTPTN, Johan Jaafar, sebagai ‘gendang kosong’.
Bukan itu sahaja, Wan Saiful juga dilihat sebagai angkuh kerana telah menamatkan perkhidmatan sebahagian besar ahli Lembaga Pengarah PTPTN, termasuk pengerusinya, DS Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Dia dikatakan tidak meneruskan kontraknya sebagai Pengerusi PTPTN kerana dia menjangka akan dilantik sebagai menteri menggantikan Zuraida Kamaruddin.
Dalam isu tuntutan jawatan TPM oleh pemimpin Bersatu yang cuba menggunakan topeng PN, Ismail Sabri sudahpun menyatakan bahawa pertemuan dengan PN telahpun diadakan.

Pertemuan yang berlangsung pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen telah dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan.
Isu perjanjian jawatan TPM untuk Bersatu telah menjadi hangat apabila Presiden PAS, TS Hadi Awang mendakwa tiada perjanjian sedemikian manakala SUA PAS mengatakan bahawa ia bukan perjanjian, tetapi ia menjadi tuntutan TS Muhyiddin Yassin.
Presiden dan AMT UMNO juga tidak dimaklumkan bahawa wujudnya perjanjian sedemikian.
Lantas sekiranya Saiful tidak puas hati, kerana melihat dirinya terlepas jawatan tinggi dalam kerajaan, maka mengapakah dia tidak sahaja mendesak TS Muhyiddin Yassin agar menarik sokongan terhadap Ismail Sabri, sebagaimana ugutan ‘tekan butang’ yang dibuatnya terhadap DUN Johor sebelum PRN Johor dahulu.

Hakikatnya di tengah-tengah kemelut ekonomi dan kenaikan harga barang, amatlah relevan sekiranya DS Ismail Sabri tidak melayan kehendak golongan gila kuasa yang bagaikan anjing dubuk yang pelahap tidak kira waktu.
Sedarlah diri sikit Saiful, sekiranya kamu yang hendak diangkat menjadi menteri, mengapakah pula Hamzah Zainuddin, Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri dan Azmin Ali yang dipilih menjadi wakil delegasi pertemuan PN dengan PM Ismail Sabri?
Sebagaimana tegas PM Ismail Sabri isu jawatan TPM atau apa jua jawatan Menteri untuk PN tidak perlu dibangkitkan kerana tumpuan yang lebih utama dan mendesak ialah menyelesaikan isu rakyat.
*****
Tinggalkan Jawapan