Editorial
14 Ogos 2022
Bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke parti PPBM setelah BN tewas pada PRU14, kini terpinga-pinga memikirkan kedudukan mereka pada PRU15 nanti.
Terdapat lima bekas ahli parlimen UMNO yang telah disahkan tidak akan bertanding pada PRU15, sebagaimana dilaporkan oleh portal media MYKMU, dan pasti ramai lagi daripada 16 ‘katak’ UMNO itu yang terpaksa mengambil keputusan yang sama.
Masakan mereka boleh menempuh medan perang jika tiada senjata dan tentera sokongan di kubu masing-masing, melainkan mengisytiharkan kalah tanpa bertanding.
Logiknya mereka telah memenangi kerusi parlimen pada PRU13 sebelumnya kerana sokongan akar umbi UMNO yang bertungkus-lumus siang malam, berkempen dan membantu kedudukan dan pengaruh mereka.
Tetapi kini, mereka tidak lagi mempunyai akar umbi kecuali serpihan-serpihan penyokong PPBM (Bersatu) yang telah serik setelah dipermainkan oleh kerajaan PH yang telah memerintah dengan penuh huru-hara, lintang-pukang dan porak-peranda.
Meskipun TS Muhyiddin Yassin telah mengkhianati PH melalui ‘Langkah Sheraton’, namun pentadbiran Muhyiddin juga telah dilihat menganiaya ekonomi rakyat, dan kononnya terpaksa menggunakan Ordinan Darurat berserta PKP ‘separuh masak’ untuk menangani Covid19, tetapi sebaliknya telah berlaku.

Malaysia telah dicatatkan sebagai antara 10 negara paling teruk di dunia yang gagal mengekang pandemik Covid19 sedangkan RM600 bilion telah digunakan oleh kerajaan untuk perbelanjaan yang tidak nyata dan tidak dapat dipersoalkan.
Lima Ahli Parlimen yang telah disahkan tidak bertanding adalah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Muslimin Yahaya; Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Fasiah Fakeh; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Dun dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, sebagaimana dilaporkan oleh media.
Persoalan mengapakah mereka melompat masuk ke PPBM untuk menyokong Dr Mahathir dan kemudiannya mengikut gerabak yang menyokong Muhyiddin Yassin, sudah kerap kali didebatkan dalam medsos.
Adakah mereka diugut oleh Muhyiddin sebagaimana YB Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli diugut oleh orang-orang Muhyiddin dan SPRM?

Adakah mereka suka menyambut tawaran laba yang lumayan daripada Muhyiddin atau Mahathir ketika mereka melompat masuk ke PPBM?
Atau adakah mereka benci pada UMNO yang ramai pemimpinnya menjadi mangsa ‘dakwaan terpilih’ pihak SPRM yang dikuasai oleh PH dan Peguam Negara lantikan politik PH yang memilih bulu mengikut parti?
Jawapannya hanya Allah yang tahu, tetapi sebagaimana dilihat oleh mata kasar dan pemikiran yang waras, memang terdapat ‘dakwaan terpilih’ yang telah merosakkan imej badan perundangan dan kehakiman negara.

Persoalannya sekarang mengapakah mereka tidak yakin untuk bertanding?
Jawapan yang paling asas ialah mereka tidak yakin dengan kekuatan PPBM yang telah menyebabkan UMNO-BN ‘menang teruk’ di PRN Melaka dan PRN Johor serta kemenangan UMNO-BN pada 7 siri PRK yang boleh dikatakan meliputi seluruh negara termasuk Sabah, semasa PH masih lagi berkuasa.
Lantas, apabila mereka tidak bertanding, maka dampaknya menikam Muhyiddin Yassin, sehingga Muhyiddin sendiri mengaku bahawa dia tiada harapan untuk terus ‘survive’ atau untuk terus bernafas selepas PRU15 nanti.
Meskipun sebelum ini Muhyiddin amat angkuh dengan mitos kekuatan PPBM, tetapi kini segalanya terbongkar, apatah lagi dia tidak mempunyai ruang untuk ‘mengugut’ katak-katak politik supaya melompat ke PPBM setelah RUU Anti-Lompat Parti telah dimaktubkan.
Jika masih ada Ahli Parlimen UMNO seperti Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, yang berkeras untuk tetap bertanding, namun mereka akan berdepan dengan laluan yang amat sukar untuk mempertahankan kerusi mereka kerana rakyat sendiri tidak yakin kepada PPBM, apatah lagi PN yang didominasi oleh Muhyiddin.
Jika Pengerusi PN sendiri tidak yakin kepada kudratnya, bagaimanakah bidak-bidak kecil akan mempertahankannya.
Walau apapun, rakyatlah yang membuat keputusan untuk memilih antara permata dan kaca.
*****
Tinggalkan Jawapan