Editorial
10 Ogos 2022
Menghasut adalah tugas hakiki Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, tetapi menghasut dengan fitnah adalah periuk nasi dia, ibarat pinggan dan makanan yang terhidang penuh bergaul najis.
Kali ini Rafizi menghasut sekaligus memfitnah BN-UMNO dengan tuduhan bahawa dalam projek Kapal Kombat Pesisir Pantai@Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM telah diseleweng dalam pengendalian projek tersebut yang bermula sejak 2011.
Dia memfitnah bahawa melalui siasatan dalaman PAC ke atas projek tersebut, setakat tahun ini (2022) telah menelan belanja RM6 bilion meskipun tidak ada satu kapal perang berjaya disiapkan.

Amatlah mudah untuk Rafizi memfitnah berdasarkan laporan PAC, kerana ia melibatkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang majoritinya dianggotai pemimpin PH dan Perikatan Nasional (PN).
PAC dipengerusikan Ahli Parlimen DAP PH, Wong Kah Woh, manakala Naib Pengerusinya merupakan Ahli Parlimen Bersatu PN, Datuk Seri Azizah Mohd Dun. PAC turut dianggotai Nurul Izzah Anwar.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh adalah ahli parlimen yang juga ketua pemuda DAP.
Pihak BN tak pernah dipanggil untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat-mesyuarat mereka.
Kerajaan Persekutuan juga menandatangani kontrak akhir berjumlah RM9 bilion bersama BNS pada 17 Julai 2014 dengan Hishamuddin sebagai Menteri Pertahanan ketika itu merupakan pihak yang merundingkan perkara tersebut.
Rafizi berkata, Perdana Menteri pada ketika LOA (Surat Penerimaan@Letter of Acceptance) dan kontrak projek itu diselesaikan ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dengan angkuhnya tanpa menyelidik dan mendapatkan fakta daripada Menteri Pertahanan PH, Mat Sabu dia menuduh, “Skandal kapal perang terbengkalai ini berlaku di bawah pengawasan dan pengurusan BN, wajiblah mereka tampil menjelaskan kepada rakyat.”
Tetapi Rafizi cuba padamkan apakah tindakan ‘jahat’ yang telah dilakukan oleh PH ke atas projek berkenaan sehingga menyebabkan kerugian yang dia dakwa itu.
Rafizi tidak pula mendapatkan fakta kenapakah projek berkenaan tiada perkembangan dan peningkatan fasanya ketika PH berkuasa?
Permulaan pembinaan kapal tersebut adalah pada 2014 dan tergendala pada Mei 2018 ketika PH mengambil kuasa dan Kementerian Pertahanan berada di bawah pentadbiran Mat Sabu, Menteri Pertahanan yang lebih suka membincangkan isu masakan dapur dalam forum pertahanan antarabangsa.

Apa yang Rafizi abaikan ialah bahawa projek pembinaan kapal perang berkenaan telah dihentikan oleh Kementerian Pertahanan PH dan kerajaan PH pada Mei 2018 hingga 2019.
Perlu ingat juga bahawa kapal pertama hanya dijadualkan untuk diserah kepada TLDM pada tahun 2019 – iaitu apabila kerajaan bertukar tangan selepas PRU14 dan bukan sebelumnya ketika BN berkuasa.
Pengerusi PAC yang bertanggungjawab dalam siasatan projek tersebut sepatutnya mengesahkan bahawa tahap kemajuan projek ketika penamaan dan pelancaran kapal pertama pada Ogos 2017 adalah hanya sekitar 44%.
Dalam jawapan parlimen pada Oktober 2019 semasa projek dibekukan kerajaan PH, Mat Sabu kata tahap kemajuan projek adalah 55.7%.
Ini bermakna semasa BN berkuasa dan ketika projek dimulakan pada 2014 sehingga 2018, perkembangan projek adalah 44%, dan ketika PH berkuasa perkembangan projek adalah 11.7%.
Sebagaimana dijelaskan, dalam tempoh 32 bulan sejak pembinaan bermula pada akhir tahun 2014 sehingga Julai 2017, tahap kemajuan projek ialah 44%, sebaliknya menjadi lembab ketika PH berkuasa dan menjadikan perkembangan hanya 11% apabila dalam tempoh 26 bulan (termasuk 16 bulan bawah PH dan kemudiannya PN) projek berkenaan telah dibekukan.
Itulah gejala bebal kerajaan PH yang Rafizi cuba tutup, semua projek terdahulu dibekukan dengan strategi untuk mengalihkan projek kepada kroni-kroni mereka, malah ada yang dibatalkan terus.
Projek LCS telah diberi kepada syarikat Boustead milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)- bukan diberi kepada syarikat swasta kroni PH-PN.
Projek diberikan kepada LTAT supaya kepakaran tempatan untuk membina kapal perang dapat dibina.
Berbeza dengan projek kapal OPV terdahulu yang diberi kepada syarikat swasta PSC Naval Dockyard bernilai sehingga RM30 bilion semasa Mahathir berkuasa. Tetapi akhirnya projek kroni Mahathir itu terpaksa ‘dibail-out’ kerajaan dan amat merugikan.
Pada setiap masa, projek LCS ini adalah bawah kawalan Boustead, LTAT atau TLDM – bukan di bawah kroni atau pihak swasta.
Kenyataan yang menjadi kontroversi hari ini adalah maklumat yang dikeluarkan oleh pengerusi PAC tersebut.
Ada fakta yang tidak tepat atau tidak diberi dalam kenyataan Rafizi serta laporan media.
Sejurus selepas PRU14, pengerusi LTAT, pengerusi serta CEO Boustead dan Panglima Tentera turut ditukarkan oleh kerajaan PH untuk memasukkan kroni-kroni mereka.
Boustead rugi, pekerja Boustead dibuang kerja, vendor-vendor tempatan rugi, kepakaran tidak dapat dibina, LTAT rugi, TLDM juga rugi sebab tiada kapal baharu dan kerajaan rugi sebab telah belanja RM6 bilion tanpa sebarang hasil.
Siapakah yang ‘menang’ jika projek dibatalkan? PH yang menang sebab boleh samakan projek ini dengan dongeng projek terowong mereka untuk dijadikan “skandal BN”.
Inilah perbuatan jahat PH, dan segala masalah perkembangan projek akan didakwa sebagai rasuah dan penyelewengan BN.
Setelah PH tumbang, dan diambil alih oleh PN dan kemudiannya kerajaan di bawah pimpinan DS Ismail Sabri, projek LCS akhirnya dibenarkan untuk sambung semula pada bulan April 2022 oleh kerjaan hari ini.
Jelaslah bahawa projek LCS masih dimajukan masa BN tetapi telah diperlambatkan kerajaan PH selepas PRU14 pada tahun 2018 dan dibekukan sepenuhnya pada tahun 2019 apabila kapal pertama dijadualkan untuk diserah.
Jadi, bagaimana pula kapal-kapal boleh siap mengikut garis masa yang telah ditetapkan?
PH lewatkan projek pada tahun 2018, bekukan projek pada tahun 2019, anehnya kaki fitnah ini bertanya pula kenapa tiada sebarang kapal diserahkan pada tahun 2022?

Lantas kenapakah BN-UMNO menjadi sasaran untuk melemparkan fitnah, sedangkan projek LCS itu telah disiasat berkali-kali oleh PH, manakla DS Najib tidak pernah dituduh sebagai suspek atau pernah disuruh untuk menghadap PAC?
Sebagaimana didedahkan oleh PAC yang menjalankan siasatan, perlulah didedahkan berapakah daripada jumlah pembayaran RM6 bilion setakat ini telah dibayar semasa kerajaan PH berkuasa?
******
Tinggalkan Jawapan