PENGGAL SUDAH HAMPIR TAMAT, MEREKA MASIH SIBUK TUNTUT JAWATAN TPM, BAIKLAH TEKAN ‘BUTANG’ SAHAJA

Editorial

8 Ogos 2022

Isu BERSATU (PPBM) menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya menunjukkan sikap bebal pemimpin ‘katak’ yang dijangkakan akan menjadi gelandangan politik semasa PRU15 nanti.

Mereka mengugut mahu bersemuka dengan PM Ismail Sabri, tetapi tidak dilayan kerana jawatan itu tidak lagi relevan dengan tempoh penggal Parlimen ke-14 menuju hujungnya tidak lama lagi.

Apakah muslihat golongan ‘gila kuasa’ ini, sedangkan rakyat sedang menggelabah melawan arus resensi ekonomi di tengah-tengah pandemik Covid19, yang masih berbisa.

Tuntutan mereka kononnya kerana wujudnya perjanjian, sedangkan SUA PAS mengatakan tidak wujud perjanjian sedemikian, sebaliknya hanya suatu ‘MOA’ yang longgar atau mungkin tidak perlu dilayan.

Syarat perlantikan DS Ismail Sabri sebagaimana surat akuan kepada Yang DiPertua Dewan adalah berdasarkan persefahaman bahawa ‘tiada syarat’ ke atas pelantikan beliau.

Jika PM Ismail Sabri tidak dapat menunaikan ‘janji rahsia’ itu mengapakah BERSATU tidak sahaja bertindak mengusulkan ‘undi tidak percaya’ kepada PM?

Bukankah ‘pengkhianatan’ sudah menjadi strategi dan modus operandi Presiden PPBM dalam isu ‘Langkah Sheraton’, serta usaha di belakang tabir yang mahu menubuhkan ‘khemah besar’ dengan PH-DAP?

Malangnya bagi Muhyiddin Yassin semua pihak yang ditemui menolak ‘pengkhianat politik’ serta penaja ‘kerajaan katak’.

PN atau PPBM boleh bertindak supaya kerajaan sedia ada dibubarkan sahaja dan sekali gus mengisytiharkan PRU15 yang kini sudah menjadi kehendak dan permintaan rakyat.

Bukan masanya lagi, kerana sudah terlalu lewat untuk menuntut jawatan jawatan timbalan perdana menteri, mahupun jawatan lain.

Malah inilah masa terbaik bagi PPBM terutamanya Menteri KDN, Hamzah Zainuddin menekan butang sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri.

Hamzah, telah mendakwa bahawa PN melihat Ismail Sabri tidak bersungguh untuk memenuhi persefahaman yang dicapai sebelum ini dan ia dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dihadiri para pemimpin kanan parti komponen gabungan itu.

Khabarnya beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan Muhyiddin-Ismail Sabri berlandaskan kandungan perjanjian lantikan TPM dan jawatan menteri.

Kenapa PN-PPBM sedang mengatur strategi untuk melengahkan PRU15, kerana masakan wajar melantik TPM bagi tempoh sebulan dua sahaja?

Lantas PPBM lebih diterjemahkan sebagai pengecut untuk menghadapi PRU15, kerana dengan termaktubnya RUU Anti-Lompat Parti, tiada lagi harapan sebahagian besar Ahli Parlimen PPBM untuk bergantung.

PRU-15 adalah pentas terbaik untuk rakyat tentukan secara mutlak siapakah selayaknya diberikan mandat yang akan menentukan kestabilan ekonomi, politik, menangani inflasi, pemacuan pembangunan negara serta memperbaiki kecelaruan sistem kehakiman negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil telah mempersoalkan mengapakah Hamzah masih mahu menuntut jawatan TPM sedangkan rakyat mahu PRU15 diadakan segera.

Isham menyarankan agar Ismail Sabri tidak sekali-kali melayan kehendak PPBM atau Bersatu.

Katanya jika Bersatu terus memberi tekanan dan mengugut UMNO, UMNO dan tiga juta ahlinya terpaksalah melawan mereka.

Dengan gejala inflasi yang kian ketara di seluruh dunia serta resensi ekonomi yang masih ditekan oleh pandemik Covid19, ditekan kerajaan yang goyah dan tidak stabil kerana komponen parti yang tidak sehaluan, baiklah PRU15 diadakan segera.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: