Editorial
7 Ogos 2022
Pada 4 Ogos lalu, tanpa apa-apa kejutan, sebuah gagasan baharu ditubuhkan oleh pemimpin tertua dunia yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA), dengan tujuan utama membela kaum Melayu-Islam khususnya pada PRU15 nanti, tetapi anehnya mereka mahu menentang UMNO sebuah parti Melayu-Islam.
Gerakan Tanah Air (GTA) adalah sebuah gagasan empat (4) buah parti politik Melayu (PEJUANG, PUTERA, BERJASA dan IMAN) berserta beberapa buah NGO yang membuktikan bahawa Pejuang tidak dapat bertahan jika berjuang sendirian.

Lantas GTA ternyata lebih mendukung hipokrasi pemimpin tertua dunia yang kadangkala dilihat nyanyuk dan pelupa, kerana matlamatnya adalah menentang parti Melayu-Islam UMNO dan juga secara tidak langsung PAS sedangkan ia ditubuhkan untuk membela Melayu-Islam.
Dengan termaktubnya ‘RUU Anti-Lompat Parti’ maka GTA lebih dilihat sebagai satu platform yang bakal menjadi dahan bertenggek bagi ‘katak-katak’ yang akan menjadi gelandangan politik.
Awal-awal lagi GTA telah mengumumkan akan bertanding 120 kerusi Parlimen pada PRU-15 sedangkan ia tiada akar umbi dan jentera parti, selain daripada sokongan daripada pengikut ‘katak-katak’ yang tersingkir itu.
Pemimpin utama GTA itu lupa hipokrasi yang didukungnya ketika bersama dengan gagasan PH yang didominasi oleh parti cauvinis Cina DAP.
Rakyat melihat bagaimana rakusnya golongan cauvinis Cina itu merosakkan pelbagai institusi Melayu-Islam dan dalam diam-diam mereka menyusun agenda untuk menjadikan negara ini sebuah ‘republik Kristian-Zionis’ sebagaimana dicatatkan dalam buku ‘The Armies of God-A Study in Militant Christinity’ oleh Buchanan.

Lantas dengan itu, Perdana Menteri yang mengepalai gagasan yang didominasi DAP itu, dengan segera bersilat dan dengan bebal dan gelabahnya mengatakan bahawa dia hanyalah “Perdana Menteri Boneka’.
Maksud tersiratnya ialah, dia tidak mahu dirinya dipersalahkan apabila kaum Melayu-Islam melihat bagaimana dia menjadi nakhoda kepada gagasan Anti-Melayu-Islam.

Hari ini dia berdiri megah, walaupun tidak lagi kukuh-utuh kerana usia tua, untuk menyatakan kepada kaum Melayu-Islam bahawa dia yang bukan Melayu tulen dari keturunan datoknya yang berasal dari Kerala India, adalah ‘pejuang’ yang membela Melayu-Islam konon.
Tidak usahlah dihuraikan tingkah-laku hipokrasinya apabila dalam Kongres Maruah Melayu, dia sendiri berdiri angkuh dan sombong di atas pentas mengutuk kaum Melayu sebagai ‘malas’.
Patutlah Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa bahawa ia adalah ‘Kongres Barua Melayu’ dan bukannya ‘Kongres Maruah Melayu’, apabila kaum Melayu hanya diterjemahkan sebagai berstatus ‘barua’.
Dia mengatakan Melayu malas kerana majoriti tidak sekaya kaum lain, terutamanya kaum Cina yang dipujanya sebagaimana kroni-kroninya yang ‘bilionaire’, sedangkan matlamat kaum Melayu-Islam dalam hidup bukannya kekayaan, tetapi keredaan Allah, malah orang Inggeris pun sedar bahawa ‘money is the root of all evils’.
Apatah lagi sekiranya wang dan kekayaan dunia yang diperoleh adalah daripada ‘kronisme, nepotisme dan korupsi’ yang pandai disembunyikan selama 22 tahun 22 bulan.
Rakyat Melayu yang naif mungkin tidak nampak, tetapi rakan baiknya seperti George Soros, serta penganalisis politik seperti Barry Wain yang telah melontarkan kritikannya dalam Malaysian Maverick, telah mengkritik pemimpin yang membina warisan kekayaan melalui authoritarianisme, kronisme, nepotisme dan politik wang.

George Soros mendedahkan hipokrasi ‘air mata buayanya’ pada Perhimpunan Agung UMNO, sebagaimana seorang ‘pencuri menjerit melaung seluruh desa tentang berlakunya kecurian’ tetapi hakikatnya dialah pencuri yang sebenarnya.

Lihatlah sahaja, setelah memperolehi kuasa, dia terus menjerut leher rakyat dengan dasar penswastaan negara, untuk mengkayakan kroni-kroninya, dan lihatlah bagaimana kes BMF sehingga membawa kepada pembunuhan akauntan Jalil Ibrahim.
Pembela Melayu-Islam konon apabila orang kampung Memali di Baling yang semua Melayu Islam tulen dan bukannya darah kacukan India-Melayu, diserang seperti pengganas, malah lebih teruk daripada gerombolan komunis yang bersenjata api.
Lihatlah bagaimana RM100 bilion (nilai semasa) dana negara yang lesap dalam mainan dagangan mata wang asing ketika dia berkuasa. Tetapi dia pandai menggunakan proksi dalam kalangan balaci-balaci kleptokrat di sekelilingnya untuk menyelamatkan dirinya.

Dalam usia 97 tahun, sebagaimana persoalan yang dibangkitkan oleh MO Ibrahim dalam satu forum di Kigali, Rwanda yang dia juga turut hadir bersama pemimpin-pemimpin utama Afrika, “Kemanakah kamu hendak membawa rakyat dalam usia tua sedemikian? Ke kubur?”
Lantas, kepada rakyat Melayu-Islam yang sedar yang manakah kaca dan yang manakah permata, berhati-hatilah dengan hipokasi manusia sebegini, yang telah menghina dan mencaci pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Badawi, DS Najib Razak, juga TS Muhyiddin Yassin, serta ramai lagi pemimpin utama seperti Tun Musa Hitam, dan Tun Hamid Muhamad.
Takdir Allah telah mengambil Tun Abdul Razak dahulu sebelum manusia hipkrit itu berkuasa. Jika tidak pastinya Tun Abdul Razak juga menjadi mangsa penganiayaannya.
******
Tinggalkan Jawapan