Editorial
8 Ogos 2022
Nampaknya pengampu Mahathir sudah mula mahu mengangkat Mukhriz Mahathir sebagai ikon bagi membina dinasti Mahathir dengan legasi kronisme, dan authoritarianisme setelah sedar usia yang menjangkau 100 tahun hanya akan membawa rakyat ke kubur.
Seorang pemimpin Pejuang cuba beretorik bahawa Mukhriz akan menjadi seorang pemimpin yang mampu mengikut jejak langkah bapanya.
Apa yang dia tidak nampak ialah legasi membina musuh dalam dan luar negara amat tebal dalam DNA manusia yang berpuara-pura membela nasib Melayu.
Mukhriz tidak perlu menjadi penyambung hayat kepada legasi bapanya yang kini amat melukai hati dan sanubari kaum Melayu.
Dialah bapa penswastaan dalam strateginya mengkayakan kroni-kroni.

Banyaklah kes yang terlalu terhad bagi ruang ini untuk diluahkan, tetapi cubalah lihat bagaimana dia menswastakan universiti dan kolej, menswastakan hospital sehingga ‘orang miskin janganlah jatuh sakit’, dia menswastakan lebuh raya yang menjadi lalu pengangkutan rakyat untuk memakmurkan ekonomi negara, dia menswastakan LLN menjadi TNB yang mencekik leher rakyat, dia menswastakan pihak bekalan air, malah dialah yang dikatakan mahu menswastakan FELDA dan banyak lagi.
Apa yang dia telah buat untuk rakyat Melayu? Lihatlah Institut Teknologi MARA, yang memberi ilmu kepada rakyat Melayu-Bumiputera, hanya setelah berpuluh tahun institut pendidikan lain dinaik taraf seperti UTM dan UPM, hanya pada tahun 1999 baharu ITM diberikan taraf universiti, walaupun telah ditubuhkan sejak 1956, jauh terdahulu berbanding UTM dan UPM.
Lihatlah bagaimana tokoh-tokoh dunia melihat dia sebagai manusia bebal yang sombong dan angkuh.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah moden politik antarabangsa, apabila seseorang pemimpin asing yang menjadi tetamu China dimalukan secara terbuka oleh tuan rumah sambil disaksikan pihak media seluruh dunia!
Lebih aib, ia mendapat liputan luas oleh pelbagai agensi berita dunia apabila Perdana Menteri China, Li Keqiang tampak ‘hilang sabar’ dalam nada sinis menegur keras Dr. Mahathir pada sidang akhbar di Beijing pada Ogos 2018, tidak lama setelah Mahathir diangkat sebagai PM Malaysia ke-7.

Komentar disiarkan stesen penyiaran kerajaan China, CGTN yang liputan siarannya dapat disaksikan di seluruh dunia yang mengaibkan imej dan reputasi Mahathir yang kononnya ‘hebat.’
Dia juga telah membuat dakwaan tanpa bukti kononnya kerajaan BN sebelum tewas PRU14 lalu meminta rasuah sehingga 30 peratus daripada China untuk beberapa projek mega seperti Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).
Selain itu Mahathir juga telah dikutuk oleh Ahli Parlimen (MP) India, Shri Ravindra Kishore Sinha sebagai pemimpin yang ‘mentalnya tidak lagi berfungsi’ yang membenarkan kenyataan media bahawa dia ‘nyanyok’.

Tulisan Ravindra dalam ‘The Capital Post’ melontarkan kritikannya terhadap Mahathir yang telah berulang kali menabur retorik ke atas India, sebagai membuktikan bahawa Mahathir tidak lagi berfungsi dalam keadaan mental yang normal.

Pada September 2018, Mahathir telah dimalukan apabila dia dengan angkuh mengumumkan bahawa pengasas syarikat teknologi tinggi British, Sir James Dyson bersetuju mendirikan kilang kereta elektrik di Malaysia.
Hakikatnya Dyson lebih suka bekerjasama dengan Singapura dan melabur di negara tersebut dan bukannya Malaysia.

Sebelum ini, Mahathir pernah mengutuk George Soros sebagai bertanggunjawab ke atas krisis mata wang 1998.
Namun sabahat baik Mahathir itu, membidas dan mencacinya sebagai ‘Corrupt Moron’ atau ‘moron yang kaki rasuah’.
Soros juga telah mengeluarkan kenyataan yang sungguh memalukan Malaysia di Bangkok Post, “Kamu berani menitiskan air mata buaya semasa Perhimpunan Agung UMNO, sedih kononnya dengan gejala rasuah. Namun kamulah perasuah paling hebat. Seorang pencuri melaung-laung ‘pencuri’ dan berharap orang ramai memandang ke arah lain, sedangkan dialah pencuri sebenarnya.”
Meskipun pada zaman Tunku Abdul Rahman, kedudukan Mahathir dalam dunia politik masih baru, dia sudahpun menaburkan fitnah ke atas Tunku melalui surat yang memaki-hamun Tunku dan disebarkan salinannya ke seluruh pelosok negara, khususnya kepada pemimpin Melayu-UMNO. Hal ini boleh ditonton melalui pengakuan Allahyarham Tunku dalam video berikut.
Pada Sidang Kemuncak KL 2019 (KL Summit), 53 daripada 56 pemimpin negara Islam dunia telah boikot persidangan tersebut yang dilihat sebagai usaha Mahathir yang cuba ‘menggantikan OIC’.
Di Kigali Rwanda, dalam satu Forum Ekonomi yang turut dihadiri oleh Mahathir, Pengerusi Yayasan MO Ibrahim, Mohammed Ibrahim. telah mengkritik golongan muda kerana membenarkan pemimpin tua menerajui negara.
Forum itu turut dihadiri oleh Presiden Ruwanda, Paul Kagame, juga pemimpin Afrika yang lain seperti Olusegun Obasanjo, Nkosazana Dlamini-Zuma and William Ruto serta Mahathir.
Kata MO Ibrahim, “Ke manakah pemimpin tua berusia lebih 90 tahun mahu membawa kita? Ke kubur?”
Mahathir juga turut mencipta pergaduhan dengan Singapura tentang isu air dan jambatan bengkok tetapi anehnya dia jugalah yang telah melepaskan ‘Pulau Batu Puteh’ milik negara kepada Singapura!
Sikap ‘kaki gaduh’ Mahathir, sememangnya sudah popular dalam kalangan ahli politik Malaysia, dan kini ia sudah menjadi pandemik yang menjalar kepada dunia geopolitik pula. Malahan Mahathir terkenal sebagai ‘Diktator Dunia yang Popular’ mengikut senarai Ranker.

Persoalannya adakah Mukhriz layak menjadi diktator seperti bapanya atau ‘harimau Asia’ atau harimau kertas yang tiada bertaring tetapi hanya pandai mengaum?
Mukhriz juga telah dibuktikan gagal sebagai Menteri Besar Kedah apabila dua kali tersungkur. Itupun belum lagi diangkat sebagai menteri utama dalam kabinet.

Kini dengan tertubuhnya GTA, Muhriz kononnya akan diangkat sebagai tokoh Pejuang yang akan meneruskan legasi dan ‘kehebatan’ bapanya yang hampir mencecah umur 100 tahun.
Sedangkan apa yang dilihat GTA hanyalah suatu drama yang menggambarkan bertapa bebal dan gelabahnya bapanya setelah kalah 42-0 dalam pertarungan di PRN Johor.
Adakah kaum Melayu kisah tentang ‘harimau Malaya’ yang mengutuk kaum Melayu sebagai pemalas meskipun dalam kongres yang dinamakan ‘Kongres Maruah Melayu.’
Benarlah apabila Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika itu menyindir sinis bahawa ia adalah ‘Kongres Barua Melayu.’
****
Tinggalkan Jawapan