Editorial
4 Ogos 2022
Peguambela DS Najib Tun Razak yang baharu dilantik, Datuk Zaid Ibrahim, yang juga merupakan bekas Menteri Undang-Undang, mengemukakan hujahnya bahawa terdapat dua faktor utama, mengapa Mahkamah Persekutuan harus gugurkan kes SRC, yang telah membangkitkan keraguan ke atas pendakwaan serta hukuman yang telah dijatuhi ke atas tertuduh oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
Menurut Zaid, kedua-dua faktor itu adalah kukuh dan telah menimbulkan keraguan terhadap hakim yang mengadili perbicaraan di Mahkamah Tinggi iaitu Nazlan Ghazali.
Hakim Nazlan telah menjatuhi hukuman bersalah ke atas DS Najib.
Faktor pertama menurut Zaid, daripada perbicaraan sebelum ini, pihak peguambela telah berjaya menunjukkan bahawa hakim Nazlan mempunyai ‘kepentingan peribadi’ dan ‘konflik kepentingan’ dalam kes SRC.

Ini berdasarkan jawatan Nazlan sebagai Setiausaha dan Penasihat Undang Undang Maybank, yang beliau pegang sebelum dilantik menjawat jawatan hakim.
Daripada minit mesyuarat yang mahu dimasukkan sebagai bukti baharu tetapi ditolak, jelas menunjukkan penglibatan hakim Nazlan dengan Maybank Investment yang terbabit secara langsung.
Malah, hakim Nazlan semasa menjadi Penasihat Undang-Undang Maybank juga terbukti mempunyai penglibatan secara langsung dengan cadangan penubuhan syarikat SRC.
Sejarah penglibatan hakim Nazlan dengan Maybank Investment boleh mewujudkan ‘conflict of interest’ dan seterusnya kredibiliti dan integriti beliau berlaku adil dipersoalkan.

Faktor kedua menurut Zaid ialah mengenai dakwaan dan siasatan SPRM ke atas hakim Nazlan yang dikatakan menerima lebih RM1 juta daripada sumber yang tidak diketahui.
Penyiasatan SPRM juga mendedahkan bagaimana hakim Nazlan direkodkan tidak berkata benar semasa kenyataan beliau dirakamkan.
Sikap Nazlan yang berdolak-dalik semasa disoal-siasat oleh SPRM, jelas telah menimbulkan keraguan ke atas integritinya sebagai hakim yang mengadili kes.
Sebagai seorang hakim, dia sepatutnya memberikan kerjasama sepenuhnya tanpa cuba menyembunyikan apa-apa fakta ketika disoal-siasat oleh SPRM.
Kes SRC telah menarik perhatian umum, dan ia membangkitkan persoalan integriti, kedaulatan undang-undang, keadilan dan kesaksamaan.

Isu pelantikan Nazlan yang tidak semena-mena menggantikan Hakim sebelumnya telah menimbulkan persoalan rakyat yang mahu melihat keadilan.
Kemudiannya rakyat serta masyarakat yang mengikuti kes SRC tertanya-tanya mengapakah pihak Majlis Peguam begitu prihatin membela Nazlan sedangkan sebelum ini sudah ada presidens kes hakim dikenakan tindakan undang-undang kerana rasuah.

Rakyat mahu pihak mahkamah benar-benar menjadi sandaran kehakiman yang tiada kemusykilan dan keraguan supaya kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan.
*****
Tinggalkan Jawapan