Editorial
30 Julai 2022
Apabila parti Pejuang Tanah Air (PETAI) kalah di PRN Johor, Presidennya Mukhriz Mahathir memberikan alasan bahawa PETAI@Pejuang masih baru dan tidak dikenali oleh pengundi FELDA.
Mukhriz mendakwa partinya tidak dikenali, sedangkan Pengerusi PETAI@Pejuang yang telah memerintah selama 22 tahun dan 22 bulan, mensasarkan tumpuan kempen mereka di kawasan FELDA.
Apakah ada peneroka FELDA yang tidak mengenali Mahathir, lantas tidak mengenali parti PETAI@Pejuang yang baharu ditubuhkan?
Parti MUDA yang baru empat bulan didaftarkan berbanding PETAI@Pejuang, telah memenangi satu kerusi walaupun hanya bertanding tujuh kerusi DUN, masakan pula Pejuang yang jauh lebih tua dengan pemimpin tertua dunia tidak memenangi satu pun kerusi daripada 42 yang ditandingi?
Hakikatnya pengundi dan peneroka FELDA amat kenal siapa PETAI@Pejuang dan siapakah pemimpin diktatornya yang sombong dan amat bijak memecah-belahkan perpaduan kaum Melayu, mengutuk DS Najib Tun Abdul Razak dengan tuduhan keturunan ‘Lanun Bugis’ sedangkan Tun Abdul Razaklah yang merupakan pengasas FELDA untuk menghapuskan kemiskinan kaum Melayu, dan memperbaiki taraf hidup mereka.
Bukan itu sahaja, malah Mahathir dan konco-konconya dalam DAP, dilihat memusuhi Raja-Raja Melayu dan mahu menghapuskan sistem beraja negara untuk dijadikan republik.
Kini Mahathir dan PETAI@Pejuang cuba menyampaikan mesej kepada peneroka FELDA bahawa dia amat sayangkan FELDA dan penerokanya, tapi hakikatnya dialah yang cuba merampas hak milik peneroka ke atas FELDA untuk ‘disembelih’ oleh pihak swasta, sebagaimana didakwa oleh PM DS Ismail Sabri.
Rakyat masih ingat apabila pada tahun-tahun 1980-an setelah Mahathir diangkat menjadi PM, perkara pertama yang dia lakukan ialah menswastakan hampir semua jabatan kerajaan seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekomunikasi Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Pos, Jabatan Air dan dengan dasar penswastaan wujudlah TV3, Universiti dan Kolej Swasta, hopital swasta yang mencekik darah, lebuh raya swasta dan macam-macam lagi yang telah diswastakan.
Malahan sebagaimana yang didakwa oleh DS Ismail Sabri, FELDA pun hendak diswastakan, untuk mengkayakan kroni-kroninya daripada taikun-taikun kapitalis, yang sememangnya sudah kaya.
Sebelum diswastakan, tidak pernah ada perkhidmatan air kumbahan (Indah Water Konsortium) kerana ia menjadi tanggunggung jawab Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia serta Alam Sekitar, kecuali demi mengkayakan kroni-kroni Mahathir.
Dasar penswastaan Mahathir telah mencekik leher rakyat dengan bil-bil perkhidmatan daripada badan kerajaan yang diswastakan serta meningkat saban masa.
Sejak awal ia diswastakan, IWK telah menghadapi masalah kewangan, apabila menanggung hutang sebanyak RM700 juta, lantas rakyatlah yang menjadi mangsa.
Mahathir jugalah yang meswastakan sistem lebuh raya dengan tol yang amat mencekik rakyat, sedangkan mobiliti rakyat dan aktiviti pengangkutan adalah untuk memacu ekonomi negara.
Mahathir telah menganugerahkan konsesi Lebuhraya Utara Selatan kepada UEM (yang kemudiannya membentuk PLUS) dan kemudian memberikan mereka pinjaman sebanyak RM1.6 bilion iaitu separuh daripada harga tender RM3.2 bilion.
Terkini di tengah-tengah lembah kelang terdapat lebih sepuluh lebuh raya bertol. Siapakah yang kaya dan siapakah yang dicekik?
Lihatlah bagaimana BN di bawah teraju DS Najib Razak telah membina lebuh raya Pan-Borneo tanpa tol.

Malah sebelum 2018, DS Najib dan BN telah berusaha menghapuskan tol di beberapa lebuh raya, misalnya Lebuh Raya Persekutuan.
Apakah alasan untuk Mahathir memberikan PLUS terma yang terlalu mahal yang termasuk kenaikan tahunan kadar tol dan peningkatan jumlah trafik yang dijamin?
Apakah asas Mahathir memberikan kontrak kepada Ekran Bhd untuk membina Empangan Hidroelektrik Bakun di Sarawak tetapi kemudian mengambil alih pembinaan empangan itu dengan menyelamatkan Ekran hampir RM200 juta untuk kerja yang tidak siap?
Mahathir juga telah mencekik leher rakyat apabila memaksa Tenaga Nasional Berhad menerima syarat yang amat tidak adil dan tidak wajar untuk membeli tenaga daripada pengeluar tenaga swasta (IPP)?

Mahathirlah juga yang telah menswastakan kedai perubatan kerajaan kepada Southern Task Sdn Bhd yang kemudiannya menaikkan harga ubat yang dilihat membebankan rakyat.
Adakah Mahathir menjadi pengasas kepada dasar ‘Kalau miskin, baiklah mati sahaja’ apabila kos perubatan meningkat dan harga ubat yang mahal?
Lantas tak usahlah Mahathir, anaknya Mukhriz dan PETAI@Pejuang hendak mendabik dada sebagai pihak yang sayangkan FELDA, sedangkan dia telah cuba mengkhinati dan mencekik leher peneroka dan cuba menabur pasir ke periuk nasi mereka.
******
Tinggalkan Jawapan