Editorial
29 Julai 2022
Di tengah-tengah keriuhan dan kelegaan majoriti ahli parlimen menyambut baik kelulusan RUU Anti-Lompat Parti, pihak Bersatu (PPBM) masih terhegeh-hegeh menuntut dan mengugut Perdana Menteri, Ismail Sabri supaya menunaikan janji untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan pemimpin utama Bersatu.

‘Janji’ melantik Timbalan Perdana Menteri itu dikatakan syarat persetujuan PN untuk melantik Ismail Sabri sebagai PM, sedangkan surat persetujuan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang ditangani memperakui tanpa syarat.
Sekiranya ia menjadi ‘janji’ mengapakah perjanjian itu tidak dimaklumkan dipersetujui oleh ahli parti-parti terbabit, seakan-akan ia menjadi rahsia, sedangkan ia boleh membatalkan persetujuan asal melantik Ismail Sabri sebagai PM.

Inilah sifat ‘liciknya’ Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat professional yang berjaya menjatuhkan Mahathir melalui ‘Langkah Sheraton’.
UMNO tidak tahu tentang perjanjian ‘pelantikan’ TPM tersebut, Presiden PAS mengakui ada perjanjian tetapi tiada kata putus, manakala SUA PAS, Takiyuddin Hassan pula mengatakan ia bukan’perjanjian’ tetapi sekadar MOU.

SUA Bersatu Hamzah Zainuddin pula cuba menggunakan nama PN sebagai penuntut kepada ‘janji’ pelantikan TPM itu daripada Ismail Sabri, sedangkan hakikatnya bukan PN yang tuntut tetapi Bersatu yang terhegeh-hegeh bertindak tidak relevan pada penggal ke-14 Parlimen ini yang sudah menghampiri penghujung.
SUA UMNO, Ahmad Maslan, pula mengakui bahawa pemimpin parti dan anggota Kabinet daripada UMNO tidak mengetahui dan tidak dimaklumkan mengenai perjanjian pelantikan itu, apatah lagi perkara itu tidak pernah dibawa, dan dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO.
Apa gunanya mahu melantik TPM sekiranya penggal Parlimen sudah menghampiri hujungnya, ibarat kata, “apa gunanya memasang layar jika perahu sudah sejengkal di pelabuhan”?
Jika UMNO tahu, sejak hilangnya majoriti sokongan terhadap Muhyiddin tempoh hari, lebih baiklah UMNO menyokong agar Parlimen dibubarkan sahaja.
Malah kelulusan RUU Anti Lompat Parti adalah signal bahawa penggal Parlimen ke-14 ini akan dibubarkan, dan pilihan raya akan diadakan untuk ‘reset’ semula kerajaan ‘tebuk atap’ yang telah berjaya menyingkirkan PH.

Seperkara lagi, pemimpin Bersatu, baik Hamzah mahupun Muhyiddin, tidak perlulah mengugut Ismail Sabri kerana kuasa melantik TPM adalah kuasa prerogatif PM, sama ada wujud ‘MOU rahsia’ atau tidak.
Pada penganalisis politik Akademi Nusantara, Prof Madya Azmi Hassan isu perjanjian pelantikan TPM adalah sarat dengan muslihat kerana perjanjian yang begitu penting tidak diketahui presiden PAS sedangkan dia adalah ketua parti yang membentuk PN.
Azmi menyimpulkan bahawa, “Ini menunjukkan betapa liciknya percaturan politik Muhyiddin dalam mengawal kerajaan persekutuan melalui Perdana Menteri… dan perjanjian rahsia bagaimana Ismail menjadi Perdana Menteri kerana sokongan Bersatu.”
Rakyat pasti muak dengan permainan politik sedemikian akibat pembentukan kerajaan yang terdiri daripada picisan-picisan kecil dalam gabungan yang membentuk majoriti.
Kerajaan yang pada mulanya dibina oleh operasi ‘tebuk atap’ oleh katak-katak politik yang sudah menghampiri penggujung hayat ini dengan lulusnya RUU Anti Lompat Parti, seharusnya dibubarkan sahaja.

Serahkan kepada rakyat melalui PRU-15 supaya ‘CPU’ politik yang cacamarba, celaru, dan penuh dengan virus ini dapat ‘diprogramkan semula’ agar kerajaan yang mantap dapat diwujudkan mengikut kehendak dan mandat rakyat.
*****
Tinggalkan Jawapan