Editorial
16 Julai 2022
Hari pertama Kongres PKR 2022, telah dicemari dengan air mata Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang tercetus akibat musuh dalam selimut PKR.
Kongres yang diadakan setelah selesainya Pemilihan PKR 2022, turut dinodai oleh kekecohan, setelah beberapa kejadian pergaduhan ketika proses pemilihan parti yang dilihat sudah menjadi budaya samseng ahli-ahli PKR.

Siapakah musuh dalam selimut PKR sebagaimana yang didakwa oleh Wan Azizah itu?
Inilah yang membangkitkan persoalan kerana Wan Azizah tidak mendedahkan secara terang-terangan dan berani kepada ahli-ahli kongres yang hadir.
Lantas ia memantulkan polemik kerana ada media yang merujuk kepada Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR yang telah mengalahkan Rafizi Ramli pada pemilihan sebelumnya.
Mengapakah pula Azmin Ali menjadi musuh dalam selimut sekiranya dia sudah sekian lama meninggalkan PKR dan kini bahagia bersama Bersatu (PPBM), malah telah diangkat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri?
Walau bagaimanapun baru-baru ini Azmin dikhabarkan telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin PKR dalam isu pembentukan khemah besar yang cuba dibawa oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menegaskan tidak ada sebarang kerjasama antara PKR dan Azmin yang dilihat sebagai penyokong kepada pengkhianat, iaitu Muhyiddin Yassin dalam kes Langkah Sheraton yang telah menumbangkan PH.
Malahan, Setiausaha PN Selangor, Muhamad Hilman Idham menafikan pertemuan dan perbincangan Azmin Ali dengan mana-mana pemimpin PKR seperti dilaporkan media.
Pada hakikatnya Wan Azizah mencemuh pihak yang telah kalah dalam Pemilihan PKR 2022, yang kemudiannya dilihat bergerak sebagai musuh dalam selimut.
Sekiranya Azmin tidak lagi berada dalam selimut PKR, lantas siapakah pihak yang telah kalah itu yang kini cuba bertindak sebagai musuh dalam selimut?
Tokoh politik PKR yang dipersepsikan sebagai konco kuat Azmin ialah MB Selangor, Amirudin Shaari. Namun Amirudin Shari telah menang selesa di Gombak dalam pemilihan yang baharu sahaja tamat.
Dengan itu Amirudin bukanlah sasaran kritikan Wan Azizah.
Lantas, tokoh yang paling tepat yang menjadi sasaran Wan Azizah sebagai musuh dalam selimur ialah Farhash Wafa Salvador yang telah dikalahkan di Gombak oleh Amirudin dalam rebutan jawatan Ketua Cabang.
Farhash yang merupakan bekas Ketua PKR Perak itu telah mempersoalkan ke manakah hilangnya 26,000 pengundi PKR semasa pemilihan yang baharu tamat itu.
Farhashlah juga orangnya yang dikatakan telah membangkitkan konflik dalaman kerana dialah antara pemimpin tertinggi PKR yang amat radikal, malah ditanggapi sebagai ‘mafia’ PKR kerana beberapa kes pergaduhan sebelum ini.

Kata Wan Azizah, “Saya biasa kalah dalam hidup tapi tak bermaksud saya memusuhi,” katanya yang kelihatan amat sedih dan kecewa dengan konflik dalaman parti itu.
Meskipun tidak menyebut secara terperinci insiden yang dimaksudkan itu, tetapi kenyataannya itu dibuat selepas terdapat pertikaian berhubung keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
“Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan parti, tinggallah.. tak apa. Tapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam. Jangan hancurkan apa yang kita sama-sama bina,” katanya.

Farhash telah membantah keputusan kekalahannya dalam pemilihan dan mendesak agar diadakan audit forensik ke atas keputusan pemilihan tersebut kerana mendakwa kiraan undi telah ‘dimanipulasi’.
Bagi Farhash sistem pengundian dalam talian juga telah membuktikan mekanisme pengundian dan pengiraan undi itu lemah yang menimbulkan persoalan mengenai ketelusan.
Farhash yang juga bekas pembantu presiden PKR, DS Anwar Ibrahim mendakwa, undi yang dikira oleh jawatankuasa pemilihan parti diumumkan tanpa sebarang bentuk semak dan imbang.
Selain daripada Farhash Salvador terdapat juga pemimpin wanita PKR yang telah kalah seperti ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail, yang turut mempersoalkan keputusan awal yang mengumumkan dirinya sebagai pemenang dan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan.

Keputusan Pemilihan PKR 2022 telah menyaksikan 13 pemimpin ‘ternama’ PKR yang gagal memenangi jawatan yang ditandingi mereka.
Antara senarai pemimpin berkenaan adalah G Manivanan, Farhash Wafa Salvador, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Chan Ming Kai, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Selain daripada Farhash, tokoh yang dilihat agak radikal ialah Abdullah Sani Abdul Hamid dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Abdullah Sani adalah Ahli Parlimen Kapar, yang juga bekas Naib Presiden PKR, manakala Shamsul Iskandar adalah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Melaka.
Lantas, tunggu dan lihatlah apakah langkah ‘musuh dalam selimut’ PKR berikutnya yang pastinya akan terus bertindak, kerana selama ini mereka adalah pemimpin PKR yang hebat dan disanjung tinggi oleh ahli-ahli parti.
******
Tinggalkan Jawapan