Editorial
14 Julai 2022
Apabila Muhyiddin Yassin mencari talian hayat bagi survival politiknya serta parti Bersatu pimpinannya, untuk membentuk ‘Khemah besar’, Mahathir dari Pejuang menolak, Shafie Apdal dari Warisan juga menolak, namun Anwar serba-salah kerana teruja dengan visi untuk mengangkatnya sebagai PM.
Walaupun Muhyiddin mahu dirinya diangkat lagi sekali sebagai ‘Perdana Menteri’, namun Mahathir dan Shafie Apdal membidasnya, tetapi dengan Anwar, Muhyiddin terpaksa membawa retorik politik yang berbeza.
Versi dan konsep ‘khemah besar’ yang dipersembahkan oleh Muhyiddin kepada Anwar adalah berbeza kerana demi survival politiknya, Muhyiddin sanggup menerima Anwar sebagai PM dan dirinya sebagai TPM.
Muhyiddin seperti tidak sedar diri, dengan label ‘pengkhianat PH’ yang dikenakan pada dirinya, setelah dia berjaya menumbangkan PH dan Mahathir melalui Langkah Sheraton.

Mahathir dengan tegasnya membidas Muhyiddin bahawa Pejuang tidak akan menyokong individu yang telah gagal sebagai PM.
Khalayak media tahu bahawa kenyataan Mahathir itu dilemparkan kepada Muhyiddin kerana dia sendiri mahukan jawatan PM meskipun usia sudah menjangkau 97 tahun yang selalu tercungap-cungap menarik nafas ketika berucap.

Presiden Warisan, Shafie Apdal juga mendedahkan bahawa Muhyiddin telah datang menemuinya untuk membentuk ‘khemah besar’ namun Presiden Warisan itu konsisten dengan prinsipnya dan tidak mahu mengulangi ‘Langkah Sheraton’ apabila kerajaan PH tumbang kemudian diambilalih oleh PN yang dipersepsikan sebagai ‘kerajaan tebuk atap’.

Meskipun rakyat melihat BN-UMNO menang dalam PRN Melaka dan PRN Johor dengan gemilangnya, tetapi bagi Anwar sekiranya berlaku pertembungan satu-lawan-satu, keputusan PRN Melaka dan PRN Johor akan berbeza apabila diteliti jumlah undi kepada BN-UMNO berbanding parti lawannya.
Kerana teruja dengan jawatan PM, Anwar sanggup berada dalam khemah besar untuk bersama-sama dengan mana-mana parti kecuali Pejuang pimpinan Mahathir tetapi tidak mustahil untuk bersama PAS dan Bersatu.
Kecenderungan Anwar inilah yang membentuk kem ‘pro-khemah besar’ dalam PKR.
Kontradiknya DAP dan Amanah juga bersetuju untuk PH berada di bawah khemah besar, asalkan PAS dan Bersatu diketepikan.
Berbeza pula dengan Mahathir kerana dia tidak mahu berada dalam khemah besar yang akan didominasi oleh Anwar dan tanpa ada Muhyiddin.

Kehadiran semula Rafizi dalam PKR turut membawa paradigma baru dan dia sengaja mahu berdiri dengan formula baharu, agar dia dilihat sebagai pemimpin radikal PKR, meskipun hala tuju dan misinya berbeza dengan Anwar.
Lantas, dengan itu Rafizi mahu mengangkat mana-mana calon Pemilihan PKR 2022 yang ‘anti-khemah besar’ sebagai calon PRU15, dan dengan itu juga terbentuk pasukan pemimpin PKR yang ‘pro-khemah besar’.
Sekaligus ia kelihatan seperti Rafizi cuba menentang visi Anwar yang melihat pembentukan khemah besar bersama parti di luar PH, akan dapat merealisasikan cita-cita terpendamnya yang sekian lama untuk diangkat sebagai PM.
Rafizi telah melontarkan kenyataan terbuka kepada media bahawa dia dan pasukannya menolak konsep ‘khemah besar’ apabila dia menyenaraikan 20 calon Majlis Pimpinan Pusat PKR pilihannya yang selari menyokong visinya.

Golongan yang ‘pro-khemah besar’ dalam PKR begitu juga Amanah dan DAP telah terpukul dengan kenyataan Rafizi itu.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan pendirian Rafizi yang diterjemahkan bertentangan dengan Presiden PKR, pada hal konsep ‘khemah besar’ sudah dimuktamadkan semasa perbincangan Majlis Presiden PH sebelum ini di Port Dickson.
Khemah besar adalah keputusan yang dibuat oleh PH demi membentuk kerjasama semasa PRU15 untuk mengalahkan BN-UMNO.
Guan Eng membidas Rafizi, “Itu dinyatakan oleh DS Anwar sewaktu pemukiman di Port Dickson. Itu faktanya. Kalau nak buat keputusan yang berlawanan, bermakna dia melawan Anwar.”
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub juga mengkritik pendirian Rafizi bahawa tiada sebab untuknya menolak konsep khemah besar kerana ia adalah persetujuan bersama dalam PH.
Salahuddin membangkitkan persoalan kenapa Rafizi menolak kerjasama dalam khemah besar sedangkan matlamatnya adalah untuk mengangkat Anwar sebagai PM?
Dengan itu jugalah tersimbah pandangan bahawa dengan kehadiran semula Rafizi, PKR pada ketika ini sedang menghadapi krisis dalaman yang akan memporak-perandakan parti.
Jika Rafizi berjaya memperbodohkan rakyat semasa PRU14, apalah susahnya bagi dia memperbodohkan pemimpin PKR.
******
Tinggalkan Jawapan