Editorial
12 Julai 2022

Setelah terbangkit isu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang seakan-akan cuba disembunyikan oleh Muhyiddin, barulah jelas bahawa rasa hormatnya terhadap rakan sekongkol, Presiden PAS, Hadi Awang adalah sifar.

Setelah timbul polemik, apabila Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa PAS menafikan dakwaan Bersatu mengenai perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri, baharulah terdedah perjanjian tersebut adalah di luar pengetahuan Hadi.

Isu pelantikan TPM terbongkar apabila Zuraida Kamaruddin yang baru beberapa bulan melompat masuk ke dalam Bersatu, mengisytiharkan dirinya keluar untuk bersama dengan Parti Bangsa Malaysia.
Di samping menuntut agar jawatan yang disandang oleh Zuraida sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi diserahkan kepada kepada Bersatu, Muhyiddin juga menuntut agar jawatan TPM juga direalisasikan dengan pelantikan orang-orang kanan Bersatu.
Perjanjian pelantikan TPM itu sekali gus mendedahkan pencabulan serta pembohongan Muhyiddin yang sebelumnya dalam Dewan Parlimen telah memperakui tiada sebarang syarat yang dikenakan atas lantikan DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sebagaimana surat kepada Yang DiPertua Dewan yang telah ditandatangani pada 17 Ogos 2021.

Lantas, dengan itu juga pendedahan Muhyiddin Yassin atas kapasitinya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional akan dengan sendirinya menyebabkan sokongannya terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah terbatal.
Semuanya sudah jelas terbongkar bahawa ada perjanjian sulit untuk TS Muhyiddin dan Bersatu menyokong DS Ismail Sabri sebagai PM, atau dengan kata-kata lain ada syarat dalam pelantikan Ismail Sabri yang sekali gus mencabuli surat perakuan kepada Yang DiPetua Dewan Rakyat.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu semalam, 11 Julai, dilaporkan berkata, Abdul Hadi perlu merujuk kepada Takiyuddin mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Muhyiddin, Takiyuddin ialah individu yang menggubal draf perjanjian berkenaan dan perjanjian dipersetujui di hadapan Ismail Sabri dan Annuar Musa.
Setakat ini, hanya Muhyiddin yang mendedahkan mengenai perjanjian tersebut manakala Ismail Sabri, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan masih berdiam diri mengenai isu berkenaan.
Namun perkara yang menodai ikatan setia kawan PAS-Bersatu adalah perjanjian pelantikan jawatan TPM antara Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin, tanpa dimaklumkan kepada Presiden PAS Hadi Awang.
Ia suatu rahsia yang mendedahkan bahawa Muhyiddin tidak langsung menghormati Presiden PAS itu sebagai rakan utama dalam PN.
Lantas, Hadi harus sedar bahawa rakan setia yang didewa-dewakannya itu, sehingga sanggup menolak Muafakat Nasional, adalah pembelot.
Malahan Muhyiddin telah dilabel oleh media sebagai ‘pengkhianat’ yang telah mengkhianati PH dan Dr. Mahathir dalam gerakan yang dinamakan Langkah Sheraton.
Nampaknya isu TPM ini lagi sekali membangkitkan keadaan yang tidak stabil dalam politik tanah air yang telah dimainkan oleh Muhyiddin Yassin.

Senario ‘tekan butang’ sebagaimana ugutan Muhyiddin terhadap DUN Johor tempoh hari seakan-akan berulang.
Maka lebih baiklah Muhyiddin terus menekan butang agar PRU15 dapat segera diadakan daripada menuntut jawatan TPM.
Sedangkan penggal parlimen yang penuh dengan kacau-bilau dan porak peranda yang telah menjejaskan ekonomi negara ditambah dengan pandemik Covid19 yang belum berkesudahan, sedang berada pada penghujungnya.
Apatah lagi MOU PN-Pembangkang juga telah tamat.
******
Tinggalkan Jawapan