Rencana Sisipan
11 Julai 2022
PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta rakyat Kelantan terutama dalam kawasan Rantau Panjang menunjukkan kepadanya bentuk pembangunan yang kerajaan PAS negeri itu lakukan sepanjang lebih 30 tahun memerintah.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali teringin melihat dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh pemimpin PAS sama ada di peringkat Parlimen mahupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selepas sekian lama mewakili dan mendapat mandat rakyat, saya tengok habuk pun tak ada, kecuali bantuan beras lima hingga 10 kilogram, sardin dan mihun yang diagihkan ketika banjir atau Ramadan.
“Itu pun diberikan kepada penyokong PAS sahaja dan bantuan pula dari kerajaan, bukan daripada duit poket wakit rakyat itu sendiri.”
Ibrahim berkata, antara projek yang boleh dilihat secara nyata ialah bangunan pejabat PAS dan masjid parti itu yang dibina di kawasan yang agak luas di tepi-tepi jalan.
“Kalau dibuat semakan, tidak mustahil tanah itu ditukar kepada nama pemimpin PAS,” katanya.
Beliau turut mendedahkan perlakuan zalim kerajaan PAS ke atas kira-kira 300 peneroka di Bukit Tandak yang mana pengurusannya telah diberikan kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin parti itu.
Katanya, syarikat yang diberi secara runding terus dengan nilai RM4 juta itu difahamkan mempunyai nilai melebihi RM11 juta sedangkan kes mahkamah mengenai peneroka ini belum selesai lagi.
“Tetapi kerajaan negeri bertindak tanpa perikemanusiaan. Pokok getah ditebang oleh syarikat ini sehingga peneroka hilang pendapatan,” katanya.
Ibrahim turut menyindir kerajaan PAS Kelantan tidak mengambil serius dengan produk yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri seperti Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang tidak terurus
“Lihat saja Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, sakit mata memandang, keadaannya sama taraf dengan Pasar Munduk di negara jiran, Thailand.

“Bandar Rantau Panjang pula saling tak ubah seperti pekan koboi tahun 1800 di Amerika. Selalu dinaiki air dengan limpahan dari Sungai Golok setiap musim tengkujuh.
“Sungainya pula tidak terjaga dan ada banyak pangkalan haram yang menjadikan lubuk penyeludupan barang keperluan asas ke negara Thailand,” katanya.
Selama 30 tahun kerajaan PAS juga gagal menyelesaikan masalah air kotor dan aliran lembab di Kelantan, meskipun asyarikat yang menguruskan air Kelantan adalah syarikat lantikan kerajaan Kelantan sendiri.

Paling menyedihkan, kata beliau, bangunan kastam telah usang dan sepatutnya diganti dengan bangunan baharu pelbagai guna kerana daerah itu merupakan pintu masuk sempadan.
Beliau turut membandingkan usahanya ketika menjadi pemimpin di daerah Pasir Mas dengan membawa masuk Jambatan Salor tahun 1986 kemudian diusahakan supaya naik taraf kepada empat lorong bersama jejambat pada 2017 dan 2018.
Ibrahim juga membawa masuk Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Lubuk Jong, membangunkan Bandar Baru Pasir Mas dengan bangunan baharu yang kini menempatkan pejabat majlis daerah dan lain-lain.

“Jika tidak kerana usaha pemimpin kerdil bernama Tok Him, nescaya ianya tidak menjadi kenyataan. Tengoklah rekod bagaimana Tok Him menjaga kebajikan rakyat DUN Cetok, sewaktu dalam Bahagian Pasir Mas dahulu.
“Sebenarnya kawasan Parlimen Rantau Panjang mempunyai potensi sangat besar untuk dimajukan dan rakyat boleh bergantung hidup dengan selesa dan mewah jika dibangunkan dengan idea serta inovasi.
“Ini kerana kawasan sangat strategik dengan negara Thailand dan menjadi pintu masuk pelancong bukan sahaja dari Thailand tapi dari pelbagai negara,” katanya.
– Malaysiapost
Tinggalkan Jawapan