FORMULA RAFIZI AKAN BAWA KEKALAHAN PKR DI PRU15 – INVOKE

Editorial

9 Julai 2022

Rafizi Ramli telah memenangi Pemilihan PKR 2022, bagi jawatan Timbalan Presiden yang meletakkan suaranya sebagai orang kedua dalam PKR yang paling signifikan dan amat berpengaruh.

Malahan kajian Invoke telah mendapati bahawa populariti Presiden PKR, Anwar Ibrahim telah jatuh merudum, yang juga diterjemahkan bahawa Rafizi akan lebih dominan dalam PKR.

Antara strategi PRU15 yang amat ketara yang mahu dibawa oleh Rafizi atau lebih popular dikatakan formula Rafizi ialah ‘PKR bertanding secara solo’ pada PRU15 nanti.

Ia mempunyai rasional yang amat signifikan, jika tidak masakan Rafizi berani membawa idea sedemikian. Antara lain, dengan berdiri secara solo, PKR boleh bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen untuk meletakkan calon-calonnya, sebagaimana UMNO-BN bertindak pada setiap PRU.

Bekerjasama dalam PRU dengan parti komponen adalah amat merugikan PKR bagi kawasan yang ‘mudah-menang’, malahan itulah kawasan yang dituntut oleh rakan-rakan komponen dalam PH dan ada yang memberi muka kepada MUDA.

Lebih merugikan PKR terpaksa menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk memenangkan calon parti komponen yang mungkin diterjemahkan oleh Rafizi sebagai tidak menguntungkan.

PKR berkempen untuk DAP, kontradiknya ramai dalam kalangan pemimpin DAP mendesak supaya Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya.

PKR telahpun bereksperimen di PRN Johor untuk bertanding secara solo dengan menggunakan logonya sendiri dan bukannya logo PH, tapi kesannya PKR kalah teruk dan dilihat setaraf dengan Amanah dan MUDA.

Lantas, formula Rafizi meleset sebagaimana dibuktikan oleh kajian ‘Invoke Solutions’ atau ‘Invoke’ apabila akan berlaku ‘Butterfly Effect’ (Kesan Rama-Rama) iaitu teori yang membuktikan bahawa sesuatu tindakan yang tidak popular boleh memberi kesan yang amat besar, kepada seluruh organisasi.

Kesan rama-rama juga percaya bahawa fenomea dunia adalah saling terkait, sehingga satu kejadian kecil boleh mempengaruhi sistem kompleks yang lebih besar.

Mungkin mudah untuk diterjemahkan sebagai ‘seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit,’ atau ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga.’

PKR sememangnya menolak konsep ‘Khemah Besar’ yang disarankan oleh pemimpin Amanah, Sallahuddin Ayub, manakala Muhyiddin Yassin dari PN pula bersungguh-sungguh melobi untuk bersama membentuk gagasan baharu dengan PH kerana PN ketandusan jentera pilihan raya.

Sebagaimana tegasan Ketua Pemuda PKR, “Dari sudut pandang kepentingan parti, tidak melampau sekiranya dikatakan PKR adalah parti yang paling rugi dalam PRU14. Kita tidak boleh benarkan sumber PKR dibazirkan sekali lagi. Saya lebih gemar memperkuatkan ‘khemah kita’, iaitu komponen parti dalam PH itu sendiri.”

Bagaimanapun Rafizi lebih radikal apabila dia menegaskan “sudah tiba masanya parti itu bermula dari bawah bagi memenangi hati pengundi daripada terus berunding dengan parti lain untuk menawan Putrajaya.”

Dengan itu kemenangan Rafizi dalam Pemilihan PKR 2022 akan membunuh sebarang peluang untuk ‘Khemah Besar’ pembangkang menjelang PRU15, dan memberi peluang cukup tinggi untuk BN mencapai kemenangan besar sebagaimana dapatan Invoke Solutions (Invoke) dalam rumusan kaji selidik berkenaan.

Idea ‘Khemah Besar’ muncul selepas keputusan dua pilihan raya negeri (PRN) – iaitu Melaka dan Johor – menunjukkan BN menguasai majoriti dua pertiga walaupun mendapat kurang daripada 45% undi popular.

Jika pola pengundian PRU15 nanti sama seperti apa yang berlaku di Johor dan Melaka, ada kemungkinan besar untuk BN mencatat keputusan sama hasil daripada perpecahan undi pembangkang.

Graf asal dipetik dari MalaysiaKini

Dalam isu sokongan orang ramai terhadap PKR di peringkat Nasional, Invoke mendapati 35% responden setuju untuk menyokong PKR berbanding 19% yang enggan, manakala 46% lagi tidak membuat keputusan.

Dapatan Invoke juga menunjukkan bahawa sokongan terhadap PKR akan merosot jika PKR menentang PH.

Namun terdapat sentimen yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin PKR agar parti itu menjauhkan diri daripada PH sebagaimana saranan Rafizi.

Graf asal dipetik dari MalaysiaKini

Tinjauan dalam kalangan ahli PKR menunjukkan 45% menyokong agar parti itu bertanding sendirian, manakala 34% menentangnya, dan 18% tidak pasti.

Penyatuan parti-parti yang menentang BN-UMNO pada PRU15 untuk membentuk ‘Khemah Besar’ telah mewujudkan kekusutan apabila Pejuang mahu membentuk ‘khemahnya’ sendiri, manakala PAS tekal mahu bersama PN, sedangkan PKR, DAP dan Warisan menolak idea tersebut.

Pastinya pola pertembungan lima gagasan besar iaitu PH+MUDA, PN, Warisan, Pejuang, dan BN-UMNO akan berulang sebagaimana pola PRN Melaka (tanpa Pejuang) dan PRN Johor.

Ia akan terus membawa kemenangan kepada BN-UMNO.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: