VIDEO – MUSANG KING PEMBUNUH RAKYAT BALING

Editorial

8 Julai 2022

Kawasan tadahan hujan di Baling pada hakikatnya telah dirosakkan oleh projek tanaman durian Musang King oleh pihak yang tamak haloba untuk mengaut keuntungan tanpa menilai akibat negatif kepada ekosistem alam sekitar.

Penebangan hutan sejak 2018 untuk memberi laluan kepada ladang durian skala besar seluas 30,000 ekar di cerun bukit, telah menyebabkan hakisan teruk kerana penggondolan hutan di kawasan tinggi.

Malahan pihak pemaju tanaman Musang King itu dengan megahnya mengisytiharkan bahawa itulah projek tanaman ‘Durian Musang King terbesar dunia’ dengan tanaman 550,000 pokok.

Sepatutnya penggondolan hutan digantikan dengan tanaman balak atau tanaman gantiannya yang sesuai mengikut Jabatan Perhutanan di kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar Hutan Simpan Gunung Inas di Baling itu.

Namun tindakan melindungi ekosistem kawasan tinggi di Baling itu, tidak diendahkan oleh kerajaan negeri (tanpa mengira parti mana) kerana ghairah dengan tanaman komersil Musang King yang menjanjikan laba lumayan.

Akibat penggondolan hutan sehingga ke puncak Gunung Inas yang bersempadan dalam tiga daerah iaitu Baling, Kulim dan Pengkalan Hulu, Perak itu, dapat dilihat jelas dari arah Jalan Kupang-Gerik.

Malangnya akibat pembalakan dan penggondolan hutan simpan itu telah mengakibatkan sungai yang menjadi sumber air graviti 3,000 penduduk Kampung Iboi musnah sama sekali apabila air bertukar keruh sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Projek Musang King, Malik Arshad, tidak menolak pembangunan atau projek yang mahu dilaksanakan di situ tetapi pemaju perlu lebih bertimbang rasa.

Kerja-kerja penggondolan hutan kawasan gunung itu telah mengakibatkan banyak kesan buruk kepada penduduk sekitarnya. Selain pencemaran sungai, bekalan air graviti kegunaan harian penduduk di kawasan lembah selama lebih 40 tahun termasuk untuk minuman dan masakan, tercemar hingga tidak dapat digunakan lagi.

Sebuah gabungan NGO alam sekitar atas nama BEACHH telah berulang kali memberi amaran mengenai penebangan hutan di sekitar Baling, Kedah yang menjadi punca aliran deras kepala air sekaligus merosakkan kediaman penduduk di kawasan rendah.

Namun malangnya amaran tidak pernah diendahkan oleh pihak berkuasa.

Sumber air bersih penduduk Gunung Inas telah dicemari bukan sahaja dengan kelodak dan lumpur tetapi juga dengan racun perosak dan baja yang digunakan untuk durian.

Meskipun terdapat kolam mendapan air antara kawasan yang digondolkan dan sungai namun ia tidak dibina mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar.

Tidak terdapat tumbuhan pelindung tanah yang mencukupi seperti tumbuhan menjalar di antara celah-celah pokok durian.

Akibatnya aliran air mendadak ketika hujan lebat dan mengakibatkan lambakan dan deruan kepala air dalam kapasiti yang amat besar telah melanda kawasan kampung dan memusnahkan rumah penduduk.

Banjir Kampung Iboi meragut tiga nyawa dan menyebabkan ratusan orang kehilangan tempat tinggal dan beribu-ribu lagi terjejas akibat pemotongan air.

Susulan banjir Baling, selain pentadbiran Menteri Besar Sanusi Md Nor yang dikritik, terdapat juga pihak yang menuding pentadbiran Mukhriz Mahathir antara 2013 dan 2016 kerana meluluskan projek ladang durian berkenaan.

Adalah jelas bahawa bencana alam ini tidak sepenuhnya bersifat semula jadi melainkan adalah kesan langsung aktiviti pembangunan yang tidak lestari, tidak terancang dan dipacu ketamakan wang ringgit.

Projek penanaman durian besar-besaran telah dimulakan oleh PAS di tanah bukit berkeluasan 52 ekar di Hutan Simpan Gunung Irau berhampiran Kupang yang selama ini menjadi kawasan tadahan hujan dikatakan menjadi punca utama bencana banjir terburuk ini. Projek tersebut dinamakan ‘Ladang Rakyat’.

Menteri Besar Kedah telah memberi alasan bahawa bencana banjir yang berlaku adalah kerana hujan lebat dengan kadar yang luar biasa dan tiada bukti saintifik untuk menyatakan projek Ladang Rakyat yang diluluskan PAS pada 2019 tersebut adalah punca banjir.

Namun anehnya pada tahun lalu beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa projek Ladang Rakyat tersebut adalah salah satu punca banjir sekali gus menuding jadi kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Apa yang dikesalkan ialah tiada tindakan diambil meskipun penggondolan hutan baik untuk tanaman durian, mahupun tanaman gantian pokok hutan telah mengganggu ekosistem dan tadahan air merobah sistem aliran semula jadi sungai di sekitar.

Sehingga kini, tidak ada sebarang ketegasan ditunjukkan untuk mengambil inisiatif membuka siasatan yang telus, mengkaji punca dan mengubah polisi serta garis panduan pembangunan hutan.

Musim akan berganti, namun bencana alam dengan hujan lebat sebagaimana yang berlaku pada 4 Julai itu pasti akan berulang kembali setelah sungai penuh dengan mendapan dan aliran air deras kawasan gunung meluru ke hilir kerana tanah sudah tergondol.

Sampai bilakah rakyat akan terus menanggung kesengsaraan sedemikian dengan kematian yang menyanyat hati?

****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: