PEREKACIPTA MANIFESTO ‘KERTAS TISU TANDAS’ PH NYANYOK DALAM USIA MUDA

Editorial

7 Julai 2022

Manifesto PH pada PRU14 telah menjadi isu panas apabila janji-janji ‘bulan-bintang’nya tidak tercapai, lantas dikatakan ia bukan ‘kitab suci’ untuk merasionalkan kegagalan pencapaiannya.

Perekacipta manifesto tersebut adalah pemimpin muda hingusan PPBM, Wan Saiful Wan Jan yang kini berkompang mengatakan bahawa DS Ahmad Zahid dan DS Najib Tun Razak sebagai dalang perosak kestabilan politik negara.

Adakah dalam usia mudanya ini, dia sudah mula nyanyok kerana DS Najib dan DS Zahid tiada langsung kuasa untuk mengganggu-gugat kestabilan negara melainkan barisan kabinet PN yang tidak efisien, malahan merekalah pemimpin-pemimpin PPBM yang sama dalam kerajaan ‘gagal’ yang hanya mampu bertahan selama 17 bulan.

Lainlah sekiranya Wan Saiful mensasarkan kritikannya terhadap Lim Kit Siang yang sering menjajakan persepsi bahawa negara akan muflis sebagaimana Sri Langka, sehingga menyebabkan pelabur asing curiga untuk melabur di Malaysia.

Sama seperti bapanya Lim Guan Eng juga sering menjaja bahawa negara akan muflis, untuk merasionalkan kekikiran kerajaan PH terhadap rakyat.

Malahan sudah puluhan kali, sejak sebelum peristiwa berdarah 13 Mei, Kit Siang sering melaung-laungkan dan melabelkan Malaysia sebagai ‘failed state’ untuk menakut-nakutkan rakyat sebagai strategi mewujudkan ketidakstabilan negara.

Namun dalam konteks negara hari ini, soal politik pimpinan gagasan ‘multiparty’ PN yang berbeza ideologi sesama mereka, adalah antara punca utama mengapa politik PN tidak stabil.

Lihat sahaja kegoyahan PN hari ini adalah berpunca daripada kemelut kenaikan harga barang, sedangkan menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam urusan ekonomi adalah kesemuanya pemimpin PPBM yang terdahulunya merupakan musuh PH dari beberapa parti yang telah melompat ke PPBM sebagai katak politik.

Wan Saiful gagal melihat titik permulaan kepada ketidakstabilan negara yang berpunca daripada ‘Langkah Sheraton’ yang dikepalai oleh ikonnya sendiri iaitu Muhyiddin Yassin, dan menjadikan dia berjaya merampas kuasa daripada Perdana Menteri PH, Dr Mahathir Mohamad.

Tidakkah dia lihat bagaimana Ordinan Darurat dan PKP ‘separuh masak’ telah meletakkan Malaysia dalam senarai 10 negara teratas di dunia yang gagal mengatasi serangan pandemik Covid sehingga ekonomi rakyat menjadi parah. Lantas mengapakah pula DS Najib dan Zahid yang dijadikan alasan dangkal?

Apabila PH melantik Mahathir untuk memimpin negara, sedangan PPBM ketika itu adalah melukut di tepi gantang dengan hanya 12 kerusi parlimen, di situlah hakikatnya bermula segala kepincangan dan ketidakkestabilan politik negara.

Mahathir sendiri mengaku dia hanyalah PM boneka. Boneka siapa? Tidak lain dan tidak bukan adalah boneka DAP yang mendominasi PH.

Untuk mengatasi kemelut jumlah ahli parlimen yang terlalu kecil sedangkan dia perlukan kuasa yang besar di parlimen Mahathir terpaksa menggunakan kuasanya untuk mengugut ahli parlimen lain dengan dakwaan terpilih dan laba melalui rasuah politik, dan hakikat ini diperakui sendiri oleh Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador.

Strategi inilah yang menjadi legasi kepada Muhyiddin untuk memperkukuhkan kedudukannya di Putra Jaya. Hakikat ini dibuktikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli dalam afidavitnya di mahkamah.

Lantas dalam 31 ahli parlimen PPBM hanya 5 sahaja yang dilihat tulen sedangkan yang lain adalah katak-katak politik daripada PKR, UMNO dan parti picisan lain.

Lantas, bagaimanakah kepimpinan Muhyiddin selepas ‘Langkah Sheraton’ mampu membina kestabilan politik, sedangkan banyak bahagian PPBM di seluruh negara terbubar.

Malahan di negeri Sembilan seluruh bahagian PPBM telah berkubur.

Kini PPBM cuba berlagak sebagaimana seekor cicak mahu memerintah sekor harimau yang telah sekian lama menguasai negara.

Wan Saiful usahlah bercakap tentang ‘kleptokrat’ dan ‘kluster mahkamah’, sedangkan pemimpin ikonik PPBM, Muhyiddin Yassin juga sedang dalam radar SPRM dengan pendedahan saksi daripada UKSB yang telah menerima rasuah RM1.3 juta.

Hendaklah diingat bahawa kes 1BestariNet, dan perbelanjaan dana RM600 bilion ketika PN berkuasa juga kini menjadi tekanan terhadap Muhyiddin dalam survival politiknya yang sedang menuju penghujung jalan.

Wan Saiful, janganlah mamai di siang hari bagaikana orang nyanyok kerana dalam tujuh siri PRK dan dua PRN di Melaka dan Johor, PPBM dan PN telah kalah teruk.

Kini gabungan parti PN terkial-kial bertekak sama ada mahu menggunakan logo PN atau logo PAS semasa PRU15 nanti. Kenapakah tidak sahaja menggunakan logo PPBM supaya Wan Saiful mahupun Muhyiddin Yassin sedar hakikat penerimaan rakyat terhadap parti cicak yang telah menjadikan negara amat tidak stabil?

*****

Tinggalkan komen

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑