Editorial
7 Julai 2002
Adakah ibu-bapa dan PIBG di Tanah Merah wajar menyalahkan Kementerian Pendidikan atau pemimpin politik yang sudah terdesak mencari sokongan?
Sungguh menghairankan kenapakah majlis yang dikatakan sebagai Mesyuarat Agung PIBG Berkelompok Daerah Tanah Merah, bertukar menjadi Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN)?

Majlis Mesyuarat Agung PIGB Berkelompok itu sebagaimana dicatatkan dalam surat-surat jemputan kepada ibu-bapa, langsung tidak menyebut tentang agenda Pelancaran PN, tetapi hakikatnya ia bertukar menjadi perhimpunan politik.



Isunya bukanlah hadiah-hadiah ‘mewah’ melalui tawaran cabutan bertuah dengan kepelbagaian juadah pada majlis tersebut, tetapi ia adalah satu pembohongan dan penyelewengan fungsi serta agenda Mesyuarat Agung PIGB itu sendiri oleh pihak Kementerian Pendidikan.

Dengan kata-kata lain, sekolah-sekolah serta ribuan ibu-bapa kepada pelajar-pelajar telah diperggunakan oleh pihak Kementerian Pendidikan demi agenda politik melalui tipu-muslihat dan strategi ‘crowd puller’ atau ‘tarikan awam’.
Amatlah memalukan apabila kehadiran ibu-bapa pada Majlis Mesyuarat PIBG Berkelompok atas nama PIBG itu kemudiannya dicanangkan dan dikompang sebagai sambutan hebat ke atas Pelancaran PN.
Adakah kehadiran yang dikatakan berjumlah 30,000 itu signifikan untuk diangkat sebagai fakta ‘korelasi statistik’ sokongan rakyat terhadap PN?
Sungguh memalukan jika ada media yang mengangkat persepsi dan korelasi ‘bodoh’ sedemikian kerana pada hakikatnya parti PPBM yang mendominasi PN sedang tercungap-cungap nazak apabila banyak bahagiannya di seluruh negara telah dibubar.

Kenapa sebegitu nekadnya usaha membohongi ibu-bapa, sedangkan surat jemputan langsung tidak menyebut tentang agenda Pelancaran parti politik PN yang dipengerusikan oleh tokoh yang telah popular dilabelkan sebagai ‘pemimpin gagal’ malahan ‘pengkhianat’?
Adakah dengan itu majlis tersebut akan menjadi ‘precedent’ (pendulu) kepada majlis-majlis lain yang boleh mempergunakan PIBG daerah sebagai strategi ‘tarikan awam’ untuk memenuhi agenda tersembunyi pemasaran politik dan apa juga?
Tiada perkara lain yang akan menjadi persepsi rakyat dan juga pemerhati politik, selain agenda parti politik yang sudah ketandusan sokongan sehingga sanggup membohongi ibu-bapa dan mempergunakan sekolah sebagai platform menyerapkan ideologinya.


Rakyat amat marah tempoh hari apabila DAP cuba mempergunakan sekolah sebagai saluran penyerapan ideologi komunisme melalui komik yang akan meracuni pemikiran generasi muda, meskipun DAP yang mendominasi sfera politik negara ketika itu.
Tapi nampaknya kini di bawah PN kementerian membenarkan pula PIBG dipergunakan untuk penyerapan ideologi politik melalui Majlis Pelancaran parti.
*****
Tinggalkan Jawapan