Editorial
30 Jun 2022
Ahli politik, pemimpin NGO dan netizen membantah pelantikan YB Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Malaysia ke Indonesia kerana tiada ketrampilan dan gaya komunikasi yang buruk.
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendakwa rakyat amat tidak selesa dan curiga dengan keputusan Perdana Menteri DS Ismail Sabri yang telah melantik YB Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta negara ke Indonesia.
Keputusan melantik Tajuddin adalah tindakan yang tidak bijak, malahan ia perlu dibatalkan.

“Ini perlu difikirkan semula segera. Penurunan pendapat umum terhadap langkah Perdana Menteri dan kabinetnya tidak boleh diabaikan.
“Sehubungan itu, Patriot menuntut Perdana Menteri dan kabinetnya memikirkan semula dan segera membatalkan pelantikan itu,” kata Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Wong Hon Wai, menggesa PM DS Ismail Sabri Yaakob membatalkan pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Malaysia ke Indonesia kerana beliau tiada ketrampilan diplomatik untuk tugas itu.
YB Wong telah membuktikan beliau tidak layak memegang jawatan sebagai duta berikutan sidang media yang diadakan semalam serta kelakuannya yang ‘kurang menyenangkan’ di parlimen selama ini.
Tajuddin sememangnya sering dilihat berkomunikasi tanpa diplomasi di hadapan media dan juga di parlimen.
Lantas, bagaimanakah tokoh sebegini boleh diberikan kepercayaan untuk membawa imej Malaysia di luar negara sebagai wakil terpilih negara?
Wong menegaskan bahawa pelantikan jawatan awam haruslah berdasarkan kelayakan, pengalaman serta personaliti yang bersesuaian dan bukannya berdasarkan pertimbangan politik semata-mata.
Wong juga berpendapat, PM tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk menguatkan sokongan individu terhadap beliau, sedangkan Tajuddin tidak sesuai untuk tugas itu.
Ismail sebelum ini mempertahankan pelantikan Tajuddin sebagai Duta Malaysia dengan dakwaan bahawa ia telah dipersetujui oleh Presiden Indonesia Joko Widodo.



Sebelum ini dalam kes kemalangan LRT RapidKL yang membabitkan pertembungan dua tren di laluan Kelana Jaya, Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana telah menunjukkan taraf komunikasi dan diplomasinya yang amat rendah.
Ramai netizen telah memberikan kritikan yang pedas sehingga menyentuh soal agama dan bangsa Tajuddin dan melabelnya sebagai pemimpin politik yang ‘bodoh’.

Exco Pemuda Umno, Muhamad Muqharabbin, berkata kerajaan sewajarnya mengkaji semula pemilihan Tajuddin sebagai duta kerana terpalit dengan pelbagai kontroversi yang boleh merosakkan imej negara.
Muqaharabbin mengkritik tindak-tanduk dan sikap Tajuddin yang membuktikan dia tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT dan menyarankan agar dia tidak perlu dilantik menjadi duta di Indonesia.
Kualiti pendekatan diplomasi Tajuddin yang sedemikian juga telah merosakkan nama baik UMNO, dan wajarlah sekiranya dia digugurkan daripada kedudukan AMT UMNO.
*****
Tinggalkan Jawapan