Editorial
29 Jun 2022
Baru-baru ini TS Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bahawa “Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan terutama ketika negara berdepan isu membabitkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.”
Malangnya rakyat, NGO dan pemerhati politik tidak nampak apakah sumbangan MPN kepada negara berhubung kesejahteraan dan keselesaan rakyat apabila Muhyiddin dilantik untuk mengetuai MPN dengan jawatan bertaraf menteri sejak September 2021?
Dengan itu, pada lanskap politik terkini, Muhyiddin telah digesa supaya meletak jawatan apabila MPN gagal mengawal kenaikan harga barangan harian.
Perkara yang lebih hangat diperkatakan ialah jawatan yang sedang disandang oleh Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri tiada dalam peruntukan perlembagaan.
Rakyat rasa ditipu apabila kerajaan membazirkan wang negara dengan jawatan-jawatan yang tiada dalam Perlembagaan, tetapi melantik orang-orang politik tertentu yang disifatkan sebagai ‘makan gaji buta’.
Ia seolah-olah jalan pintas secara muslihat untuk Muhyiddin mendapat akses kepada kuasa kerajaan.
Kini dengan nama Muhyiddin terpalit dengan kes Zahid Hamidi apabila seorang saksi menyebut nama Muhyiddn sebagai salah seorang penerima rasuah dari UKSB sebagai sogokan untuk projek dan kontrak tertentu, kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN terus dipertikaikan.

Jika pendakwaan terhadap Zahid adalah atas terma ‘rasuah’, maka secara teknikal, apa yang Muhyiddin terima seperti disebut oleh saksi, juga adalah rasuah.
Malangnya sistem perundangan negara yang terdahulunya berada di bawah kuasa PH, hanya mengheret Presiden UMNO itu ke mahkamah tetapi tidak pula Muhyiddin serta beberapa lagi yang dipersepsikan sebagai ‘ahli parlimen yang telah diugut’.
Dengan itu amatlah wajar sekiranya Muhyiddin keluar daripada barisan kabinet Ismail Sabri sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri, apatah lagi alasan yang dijaja oleh Muhyiddin berkenaan tarikh-tarikh sogokan itu telah dibuktikan oleh rekod media sebagai tidak benar.
Bukan sahaja Muhyiddin perlu meletakkan jawatan, malahan seluruh organisasi MPN perlu dibubarkan setelah dilihat tiada apa-apa peranan yang tuntas untuk memulihkan negara yang dilihat amat sesak sekarang ini.

Pembubaran MPN dan peletakan jawatan Muhyiddin menjadi lebih relevan apabila kabinet PN sekarang ini dilihat amat lewah dari aspek kuantiti yang membazirkan dana negara.
MPN dilihat tidak perlu dan tidak efisien dalam hal membantu memulihkan negara, sebaliknya hanyalah sebagai gajah putih yang menjadi tugu hiasan sahaja.
Kumpulan NGO, Gerakan Reset Malaysia (Reset), iaitu gabungan 116 NGO juga kesal dengan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN dan menuntut Majlis Raja-Raja agar memperkenankan penstrukturan semula MPN itu dengan segera.

Ketua Sekretariat Reset, Nurul Ashikin Mabahwi berkata “Muhyiddin telah pun gagal ketika jadi pengerusi MPN sebelum ini, jadi kita tak nampak sebab kenapa kita perlu letakkan seorang pengerusi yang telah pun gagal sebelum ini mentadbir negara sewaktu pandemik Covid19 sebagai pengerusi MPN sekali lagi.”
Rakyat kecewa kerajaan pada hari ini hanya memikirkan jawatan dan kuasa politik, sedangkan kerajaan perlu lebih memikirkan nasib 35,754 ahli keluarga yang kehilangan nyawa akibat Covid-19 berbanding jawatan dan kuasa politik mereka.
Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN dengan jawatan bertaraf menteri adalah sesuatu yang cukup mengecewakan sedangkan MPN yang dicadangkan pada awalnya adalah terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing dan mereka berkhidmat secara percuma.
MPN ditubuhkan pada Julai tahun lalu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar, tapi malangnya dalam hal kenaikan harga barang keperluan harian, MPN seperti tidak langsung berfungsi.
Pemimpin politik, seperti PKR juga mempersoalkan pelantikan Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

SUA PKR, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, Muhyiddin, ketika memegang tampuk pemerintahan negara telah gagal menguruskan negara dalam menghadapai pandemik Covid19 sama ada daripada segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan.
Dengan itu, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN amatlah mengecewakan.
Beliau juga bertanggungjawab melaksanakan Ordinan Darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid19 tetapi wabak tersebut menjadi lebih serius dan telah meletakkan Malaysia dalam senarai sepuluh negara paling teruk dilanda pandemik itu di dunia.
“Pengakhiran darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga pihak Istana Negara sendiri menegur tindakan kerajaan Muhyiddin yang mengelirukan Parlimen dan ini membawa kepada kejatuhan beliau,” kata Saifuddin Nasution setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin pada Ogos tahun lalu.
Saifuddin juga mendakwa, pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar, kerana beliau masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.
*****
Tinggalkan Jawapan