Editorial
26 Jun 2022
Secara kasarnya ia bermula dengan pendekatan diktator yang digunakan oleh Dr Mahathir apabila dialah PM pertama yang mencampuri urusan badan kehakiman negara, sebagaimana didakwa oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Namun setelah dia gagal melepaskan dendamnya pada DS Najib apabila Najib dikatakan gagal mengangkat anaknya Mukhriz Mahathir sebagai Naib Presiden UMNO, serta menghalang dasar kronisme dan nepotismenya, maka dengan rakusnya melalui PH, Mahathir menggunakan segala mekanisme badan perundangan dan kehakiman negara untuk memusnahkan DS Najib.
Persepsi rosaknya badan kehakiman negara, menjadi hangat apabila pemimpin DAP, Lim Guan Eng terlibat dalam kes Pembelian Banglo Murah dan kes rasuah Terowong Bawah Laut.

Pertamanya PH melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang sebelumnya adalah peguam bela Lim Guan Eng dalam kes ‘Pembelian Banglo Murah’ itu.
Amat menjengkelkan kerana sudah terang lagi bersuluh terdapat ‘konflik kepentingan’ Lim Guan Eng apabila melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, yang kemudiannya apabila Tommy Thomas dedahkan bahawa pelantikannya adalah pelantikan politik, baharulah Mahathir mahu membidas bahawa pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah satu kesilapan besar PH. Ia mendedahkan lakonan drama Mahathir dan PH.
Selari dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, pelantikan Latheefa Koya menggantikan Syukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan pelantikan Tun Tuan Hajah Maimun sebagai Ketua Hakim Negara juga membangkitkan pelbagai persoalan.
Kenapakah Ahli Majlis Tertinggi PKR dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, sedangkan dia adalah orang kuat pada lanskap politik PKR?
Kemudian Mahathir juga melantik TS Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara, sedangkan Hamid sudahpun bersara daripada PDRM.
Kini terbongkar isu Hakim Nazlan yang mempunyai kepentingan ketika menjawat jawatan sebagai ‘General Legal Counsel’ MayBank manakala dialah juga yang menjatuhi hukuman bersalah terhadap DS Najib dalam kes SRC International di Mahkamah Tinggi.
Bukan itu sahaja, Nazlan juga dikaitkan dengan dana 1MDB RM1.04 juta yang disogok oleh Jho Low.
Isu jijiknya badan kehakiman apabila mereka cuba mempertahankan Hakim Nazlan, sedangkan kes hakim dijatuhi hukuman kerana rasuah bukanlah isu baharu.

Badan kehakiman mahu para hakim diangkat sebagai maksum dan tidak boleh ditiduh meskipun terdapat bukti pembabitan mereka dengan rasuah, apatah lagi ketika Nazlan belum lagi dilantik sebagai hakim.
Malahan pelantikan Nazlan untuk menghakimi kes DS Najib di Mahakamah Tinggi juga merupakan satu misteri kerana hakim yang asal adalah Datok Sophian Abdul Razak.
PH amat peka dengan kes Najib, sedangkan Peguam Negara PH yang sebelumnya adalah Peguam Bela Lim Guan Eng dalam kes rasuah ‘Pembelian Banglo Murah’ tidak pula menjadi persoalan kepada mereka.
Kemudian satu persatu isu kerosakan badan kehakiman terdedah apabila mereka melengah-lengahkan siasatan kes penglibatan suami bekas Gabenor Bank Negara dalam kes rasuah yang melibatkan RM100 juta dana 1MDB.

Pendakwaraya, Gopal Sri Ram yang menjadi pendakwa kepada kes SRC yang cuba dikaitkan dengan DS Najib juga telah didapati menerima bayaran guamannya daripada dana 1MDB kerana mewakili Semarak Konsortium pada 2013.
Namun mengapa tiada tindakan diambil terhadapnya?
TS Hamid Bador juga telah mendedahkan bagaimana ahli politik diugut oleh pemimpjn PH dan bekas pemimpin PH, manakala DS Hamzah Zainuddin pula mengakui melantik ‘budak-budak kita’ dalam PDRM.
Kes Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli adalah kes yang terang-terangan membuktikan ugutan politik sememangnya berlaku untuk mendesak mereka melompat parti.
CEO Goldman Sachs yang terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Amerika Syarikat telah memperakui bahawa terdapat ahli politik Malaysia yang telah menerima sogokan daripada mereka untuk mengenakan DS Najib.
Namun SPRM tidak juga mahu mendedahkan siapakah mereka ini?
Terkini setelah PH tidak berkuasa lagi, terdedah pula bagaimana Lim Guan Eng dan Presiden MUDA, Syed Saddiq diheret ke mahkamah kerana kes rasuah dan AMLA.
Timbul juga persoalan besar dalam kes sogokan UKSB terhadap DS Ahmad Zahid Hamidi, kerana mengapakah dia seorang sahaja yang diheret ke mahkamah sedangkan Muhyiddin yang berbohong bahawa pada tarikh sogokan RM1.3 juta dari UKSB itu dia sedang dirawat di luar negara, tidak pula didakwa di mahkamah.
Adakah Shafie Apdal, Khairy Jamaluddin, DS Reezal Merican Naina Merican, DS Hishammuddin Hussein, DS Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman tidak diheret ke mahkamah kerana mereka diugut supaya menyokong Muhyiddin Yassin yang sebelumnya adalah Menteri Dalam Negeri ketika PH berkuasa?

Lebih menjengkelkan apabila bukti baharu pihak pembelaan dalam kes SRC telah ditolak mentah-mentah oleh hakim Mahkamah Rayuan.
Terkini, untuk memberikan keadilan yang mutlak kepada DS Najib, pihak pembela mahu melantik Queen’s Council sebagai pemerhati dan pembela kepada DS Najib.
Pada lanskap kehakiman negara yang dikatakan telah rosak dan kerana terdapatnya konflik kepentingan hakim yang menjatuhi hukuman terhadap DS Najib, terdapat desakan supaya kes SRC digugurkan atau dibicarakan semula.
Inilah isu yang menjadi ‘National Embarrassment’ kepada negara dan bukannya watak DS Najib yang dijaja dan dicanang sebagai ‘perompak’, ‘kleptokrat’ dan ‘kluster mahkamah’.

PH harus bertanggungjawab ke atas kerosakan badan kehakiman negara sekarang, terutamanya bekas pemimpin tertua mereka, Mahathir Mohamad yang menjadi dalang kepada semua kerosakan ini!
Senjata utama untuk menyelamatkan diri bagi seorang diktator adalah mempergunakan badan kehakiman negara supaya dapat dikongkongnya dan terpisah daripada doktrin ‘pengasingan kuasa’ sebagaimana menjadi prinsip demokrasi.
******
Tinggalkan Jawapan