Editorial
22 Jun 2022
Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan, Perdagangan dan Komoditi telah merasakan bahawa PPBM (Bersatu) tidak lagi relevan, lemah dan dipenuhi dengan katak-katak politik.
Lantas Zuraida telah meninggalkan PPBM dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang dilihat lebih relevan, multietnik dan tidak terpenjara dengan kandang ‘pribumi’ yang bertentangan dengan hakikat rakyat pelbagai etnik di Malaysia.
Malahan Zuraida diuar-uarkan akan dilantik sebagai Presiden PBM sedangkan kedudukan beliau dalam barisan kabinet Ismail Sabri akan dikekalkan, meskipun beliau sudah meninggalkan PPBM.

Sedemikian itu adalah tindakan yang bijak supaya Zuraida dalam mengekalkan momentum pengurusan dan pentadbiran dalam kementeriannya dan tidak digenjotkan dengan pelantikan menteri baharu.
Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin telah menggesa PM DS Ismail Sabri agar mengenyahkan Zuraida daripada barisan menteri kabinet, dan menyerahkan jawatan Menteri Perusahaan, Perdagangan dan Komoditi kepada PPBM kerana ia adalah kuota milik PPBM.
Namun adakah Ismail Sabri akan tunduk dengan kehendak Muhyiddin dan ugutan orang-orang kanan PPBM, bagi merealisasikan persepsi bahawa dia adalah kuda tunggangan Muhyiddin?
Persoalan yang lebih utama lagi, adakah Ismail Sabri akan melantik satu lagi katak politik untuk menggantikan Zuraida, sedangkan hakikatnya PRU15 sudah kian hampir kerana tempoh matang penggal ke 14 sesi parlimen juga sudah menghampiri penghujungnya.
Tempoh hari golongan PH amat gamat mendesak agar kerajaan ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’ Muhyiddin Yassin dibubarkan dan PRU15 diadakan segera.

Kegamatan menjadi lebih gamat apabila kerajaan Muhyiddin diterjemahkan sebagai ‘kerajaan katak’ yang mungkin diugut untuk melompat jika tidak mahu diheret ke mahkamah, serta laba jawatan menteri serta kedudukan dalam GLC kerajaan.
Hakikat ini telah dibuktikan oleh Ahli Parlimen Labuan, YB Rozman Isli dan ramai lagi sebagaimana telah berlaku terhadap DS Tengku Adnan, DS Ahmad Maslan, DS Azeez Rahim, Datok Mustapha Muhamad dan ramai lagi dari UMNO dan PKR.

Meskipun PPBM mempunyai 31 Ahli Parlimen tapi hakikatnya 26 daripada mereka adalah Ahli Parlimen yang telah melompat parti.
Lantas beranikah Muhyiddin Yassin bertindak ke atas DS Ismail Sabri, meninggalkan blok kerajaan, sebagai tindak balas sekiranya jawatan Menteri Perusahaan, Perdagangan dan Komoditi tidak diserahkan kepada orang PPBM.
Sekiranya itulah tindakan Muhyiddin dan konco-konco PPBM, maka itulah yang dinanti-natikan oleh rakyat, supaya PRU15 diadakan segera, supaya segala kemelut ekonomi, seperti kenaikan harga barang keperluan dapat dikawal dengan cara yang lebih efisien daripada pengurusan katak-katak politik.

Tapi pastinya Muhyiddin tidak berani bertindak, dia sedang kepanasan, kerjasama PPBM dengan PAS juga dilihat sebagai hambar dan tidak menjanjikan kemenangan pada PRU15, sebagaimana mereka kalah di PRN Melaka dan PRN Johor.
DS Ismail Sabri harus berani menunjukkan taring beliau kepada Muhyiddin, kerana apa-apa juga pelantikan menteri adalah kuasa prerogatif PM dan atas perkenan DYMM SPB YDP Agong.
*******
Tinggalkan Jawapan