Editorial
17 Jun 2022
Adakah SPRM dan Jabatan Hutan Terengganu akan hanya mendiamkan diri apabila banjir besar tempoh hari telah mendedahkan hanyutan ribuan batang balak di Tasik Kenyir, Terengganu.
Bagi kerajaan PAS Terengganu, pastinya ia bukan kerja-kerja pembalakan yang haram, tetapi pembalakan yang halal, atau setidak-tidaknya ia adalah skandal pembalakan kontraktor lantikan kerajaan BN terdahulu.
Berapa media arus perdana telah menggesa agar pihak berkuasa dan Jabatan Perhutanan Negeri menyiasat longgokan dan ribuan batang balak yang terperangkap di Tasik Kenyir.
Anehnya sebagaimana yang didedahkan oleh ADUN Telemong, Datok Rozi Mamat, kawasan hutan simpan dan Taman Negara di daerah Hulu Terengganu termasuk kawasan Tasik Kenyir bukan berada dalam zon pembalakan.

Jika sekiranya ia bukan dalam zon pembalakan, bagaimanakan batang-batang balak yang amat berharga itu boleh berkumpul dalam Tasik Kenyir?
Mungkin hujah ‘sindrom penafian’ yang paling bijak ialah, batang-batang balak itu adalah akibat bencara banjir dan ribut taufan yang amat kuat sehingga pokok-pokok balak itu tumbang dan dihanyutkan ke Tasik Kenyir.
Namun bertambah aneh lagi apabila batang-batang balak itu tidak seperti tumbang kerana ribut tetapi telah dipotong lurus dan cantik, menunggu masa untuk diproses di pusat pemprosesan kayu balak.
Walau bagaimanapun Rozi mahu fenomena batang-batang balak itu disiasat untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang yang sebenarnya telah berlaku.
Pada suatu ketika dahulu, akhbar rasmi PAS, Harakah, pernah melaporkan bahawa Presiden PAS, Hadi Awang mendakwa bahawa PAS Terengganu berjaya mengutip hasil balak dengan banyaknya kerana mengeluarkan hasil balak melalui tender terbuka.

Namun pemerhati dalam medsos membidas bahawa kenyataan Hadi itu adalah sesuatu yang tidak benar.
Sejak PAS memerintah mana ada satu kawasan pun hutan tanah kerajaan yang mengeluarkan balak melalui tender terbuka?
Semuanya yang berpuluh-puluh ribu ekar itu diberikan kepada kroni-kroni atau proksi-proksi PAS yang setuju untuk memberi habuan kepada parti PAS.
Hutan Simpan pula dikeluarkan tender secara tender kilat, tender runding atau tender tertutup atau sembunyi-sembunyi untuk proksi dan kroni, yang hanya diketahui oleh pihak yang rapat sahaja dengan pimpinan PAS negeri.
Apakah Kerajaan Pas Terengganu ingin menafikan bahawa setiap orang yang ingin memohon kawasan balak di tanah kerajaan perlu merujuk kepada Pegawai Khas pemimpin tinggi tertentu terlebih dahulu?
Pegawainya inilah yang akan menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak. Lembaga hasil hutan yang dipengerusikan oleh MB sendiri hanya mengesahkan sahaja untuk kelulusan bagi pemohon-pemohon yang ditetapkan.
Perlu diingat, walaupun cukai balak dari tanah kerajaan dinaikkan empat kali ganda, itu hanya merupakan 30% sahaja dari nilai sebenar balak yang dikeluarkan manakala 70% lagi masuk tabung PAS dan pelesen yang merupakan kroni atau proksi.

Bekas SUK dan jabatan Perhutanan Negeri pernah menasihatkan kerajaan negeri supaya semua kawasan balak dari hutan tanah kerajaan dikeluarkan secara tender terbuka seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, tetapi tidak diendahkan kerana mementingkan tabung parti, jika tender terbuka macamana parti nak dapat duit?
Masalahnya, jika pihak lain yang melakukan seperti yang PAS buat akan dituduh terima rasuah, menyalahgunakan harta rakyat, bila PAS sendiri buat dikatakan sumbangan. Sumbangan apa, belum lulus lagi dah beri syarat.
Tidaklah pelik kalau ada veteran PAS yang bertanya pada Hadi Awang tentang isu minta wang jika nak lulus kawasan balak dijawabnya bahawa dalam darurat tak apa, lagipun PAS perlukan dana untuk menghadapi pilihanraya dan meneruskan perjuangan Islam (kononnya).
****
Tinggalkan Jawapan