Editorial
11 Jun 2022
Semalam heboh dalam media tentang pendedahan bekas Peguam Negara PH, Tommy Thomas bahawa Dr Mahathir telah menggunakan mahkamah untuk memusnahkan masa depan musuh politiknya Anwar Ibrahim dalam krisis Mahathir-Anwar 1998.
Dengan pendedahan itu, DS Najib Razak mendesak agar Tommy menjelaskan pendedahannya itu kerana ia dikaitkan dengan pencabulan doktrin pengasingan kuasa demokrasi, apabila kuasa eksekutif mempergunakan bidang kuasa yang dia ada untuk menggunakan badan perundangan dan kehakiman negara.
Adakah dengan strategi dan modus operandi yang sama, DS Najib juga kini sedang dalam proses penganiayaan Mahathir?

Pencabulan doktri pengasingan kuasa ini serius kerana dengan kuasanya, Mahathir telah berjaya menyumbat Anwar ke penjara dan ia juga boleh diterjemahkan sebagai suatu ‘penganiayaan’ terhadap musuh politiknya dengan kuasa eksekutif yang ada padanya ketika itu.
Pada Rabu, 8 Jun, China Press menerbitkan temu bual dengan Bekas Peguam Negara Tommy Thomas, dan dia telah mendakwa Anwar dipenjarakan oleh Mahathir kerana yang dia “berasa terancam oleh kedudukan Anwar”.
Melalui FB-nya DS Najib mempersoalkan adakah Tommy “mengatakan bahawa Mahathir suka memanipulasi sistem kehakiman dan mahkamah untuk memangsakan musuh politiknya? Tolong jelaskan, Tommy.”
Thomas dilantik sebagai Peguam Negara oleh Mahathir pada 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan dan kekal dalam jawatan itu sehingga Mac 2020, apabila kerajaan PH tumbang.
Tommy sendiri telah mengaku bahawa pelantikannya sebagai Peguam Negara adalah merupakan ‘lantikan politik,’ bukan berdasarkan merit.
Malah ramai pemerhati dan penganalisis melihat bahawa pelantikan Tommy adalah untuk menyelamatkan ‘Lim Guan Eng’ kerana sebelumnya dia adalah peguam bela Lim Guan Eng dalam kes rasuah pembelian banglo, di samping dipergunakannya untuk mendakwa musuh politik Mahathir.
Setelah PH berkuasa, SPRM terkejut apabila Lim Guan Eng dibebas dan dilepaskan begitu sahaja.

Tommy berkata, “Mahathir, berasa dia diancam oleh Anwar, lantas dia menggunakan mahkamah untuk menghalangnya.”
Bagaimanapun jelas Tommy, walaupun telah menjalani hukuman penjara, Anwar masih tidak mempunyai “hak automatik untuk menjadi Perdana Menteri”.
Walau bagaimanapun timbul juga bidasan, mengapakah Tommy Thomas tidak memulakan siasatan ke atas Mahathir jika beliau percaya Dr Mahathir telah menggunakan mahkamah, sedangkan dia adalah Peguam Negara?
Namun persoalan ini telah dijawab oleh Tommy kerana dia adalah lantikan politik yang dikuasai Mahathir sendiri, bersama-sama konconya DAP dan juga PKR yang dipimpin Anwar.

Haniff Khatri Abdulla mendakwa, “Sekiranya dia percaya perkara itu berlaku, bukankah menjadi tanggungjawab utamanya sebagai peguam negara untuk menubuhkan jawatankuasa penyiasat untuk meneliti perkara itu?
Soalan dangkal Haniff Khatri sedemikian sudah terjawab sendirinya apabila Tommy mendakwa dia adalah lantikan politik Mahathir sendiri – adakah keldai yang dicucuk hidungnya boleh menendang tuannya sendiri?
Dengan pendedahan bekas Peguam Negara itu, nampaknya Mahathir juga telah menggunakan mahkamah untuk ‘membunuh’ kerjaya politik DS Najib Razak.
Ia boleh dilihat apabila tuduhan terhadap DS Najib Razak terlaksana seelok-elok PH berkuasa dan Tommy adalah Peguam Negara, meskipun PAC telah memutuskan bahawa dalam kes SRC DS Najib tidak terkait apatah lagi untuk dituduh sebagai bersalah.
Hari ini, banyaklah kepincangan telah terdedah, apabila bekas Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa, Mahathirlah orang pertama yang telah mencampuri urusan badan Kehakiman.

Malahan setelah PH tumbang, bekas Ketua Polis Negara TS Hamid Bador juga telah mendedahkan campur tangan eksekutif ke atas PDRM.
Manakala dalam kes Ahli Parlimen Labuan, YB Rozman Isli telah mendedahkan bagaimana Muhyiddin Yassin bekas orang kanan Mahathir dalam PPBM telah mengugutnya supaya melompat ke parti PPBM.
Adakah kenyataan Tommy Thomas itu berasas, manakala legasi Mahathir sekarang ke atas badan Kehakiman Negara masih kukuh apabila Hakim Nazlan yang telah menjatuhi hukuman ‘bersalah’ ke atas DS Najib telah terlibat dengan wang sogokan sedangkan dia adalah General Counsel MayBank yang membuktikan terdapatnya ‘konflik kepentingan’ dalam kes yang dihakiminya?

Secara misteri, Hakim Mahkamah Tinggi yang sepatutnya menghakimi kes SRC, iaitu Hakim Datok Sophian Abdul Razak telah sekonyong-konyong diganti dengan cara ‘unceremoniously’ dan tempatnya telah diambil alih oleh hakim Nazlan secara misteri.
*****
Tinggalkan Jawapan