Rencana Sisipan
10 Jun 2022
Angin bertuip kencang, tentang usaha dalam PAS untuk menyingkirkan kuasa politik anak-anak Almarhum Nik Aziz.
Demikianlah isu sembang yang viral di warong dan kedai kopi di Kelantan terutama ketika sesi makan nasi berlauk pagi.
Dari Pasir Puteh hinggalah ke Rantau Panjang, semuanya berkisar bagaimana keluarga Nik Aziz bakal diketepikan di dalam lingkaran politik PAS.
Hanya Nik Abduh sahaja yang tinggal. Seorang lagi saudaranya Nik Omar sudah lama dicantas dari PAS.
Beliau dipecat dan menyertai PAN di bawah pimpinan Mat Sabu. Tapi sebagaimana dibuktikan oleh KDN suatu ketika dahulu, Mat Sabu adalah penganut Syiah. Masakan anak Almarhum Nik Aziz boleh bersekongkol dengan penganut Syiah?

PAS pula terkenal dengan parti yang kuat berdendam. Kini PAS mula menyisihkan Nik Abduh, yang merupakan ahli Parlimen Bachok, apabila anak kepada bekas mursyidul am, Almarhum Nik Aziz ini, dilihat begitu kuat menyokong kerjasama antara UMNO-PAS.
Kemudian barulah pemimpin utama PAS bersetuju UMNO-PAS diikat dengan ikatan Muafakat Nasional yang akhirnya PAS membuat keputusan menyertai Muhyiddin Yassin dan tinggalkan UMNO BN.
Adakah Haji Hadi tidak mahu bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional kerana, idea kerjasama dengan UMNO ini adalah idea Nik Abduh?

Walaupun Nik Abduh adalah pemimpin yang senior dalam parti PAS namun nama beliau tidak berada dalam senarai tokoh-tokoh Pas yang diangkat sebagai Jemaah Menteri mahupun Timbalan Menteri ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, dan sekali lagi tidak tersenarai sebagai pilihan dalam senarai Menteri Kabinet ketika Ismail Sabri menjadi PM.
Wakil PAS yang berada dalam kerajaan hanyalah mereka yang rapat dengan Hadi Awang sahaja. Sebagai ‘penyedap rasa’, Nik Abduh sekadar dilantik sebagai pengerusi GLC. Malah ketika pemilihan agung PAS, Nik Abduh telah kalah teruk.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin At Takiri pula sudah dihukum bila ‘melawan’ arus dan kini berdiri sebagai Ahli Parlimen bebas.

Berlainan pula dengan anak Hadi Awang, apabila sudah mula kedengaran bahawa dia akan diangkat menjadi MB Terengganu berikutan Menteri Besar sekarang tidak menunjukkan prestasi yang baik serta terlalu banyak masa di KL.
Anehnya kelemahan MB Kelantan dengan isu air kotor yang sudah menjadi kudis berpuluh tahun, tidak pernah dipersoalkan oleh pemimin PAS. Adakah mereka mahu pertahankan dia supaya Nik Abduh terus tenggelam?
Di Terengganu, bukan sahaja setakat rakyat, ahli dan pemimpin PAS Terengganu juga mula meluat dengan MB Terengganu sekarang yang dikatakan suka bersenang-lenang di rumahnya di Bangi?

Tapi apa bezanya dengan Hadi Awang yang diangkat sebagai Duta Khas bertaraf Menteri, tetapi dialah yang paling kuat ponteng sidang parlimen. Entah apa yang dibuatnya sebagai Duta Khas, tidak ada siapa ambil tahu.
Dengar khabar di dunia Arab, pemimpin-pemimpin Arab pun benci dengan Hadi Awang tetapi diterima hebat oleh pemimpin Syiah Iran.
Anak Hadi Awang yang juga Adun di Terengganu menang besar di Pemilihan Pemimpin PAS Pusat baru-baru ini. Bersamanya yang turut menang besar adalah dari kem Hadi Awang itu sendiri.
Rakyat di negeri yang dikuasai PAS masih tidak dapat merasai apa-apa selain semakin terhimpit dengan kehidupan dan tertekan kerana ekonomi negeri juga semakin merosot.

Tapi tidak hairanlah rakyat di negeri yang dikuasai PAS seperti Kelantan dan Terengganu amat taksub dengan pemimpin. Sebab itulah negeri mundur macam mana sekali pun, pemimpin PAS hanya goyang kaki.
Selain itu wakil rakyat dan exco PAS pula sedang lewah menikmati kehidupan mewah, rakyat kekal dengan 1001 permasalahan yang semakin membebankan.
Mereka asyik menyusun dinasti, anak mana yang bakal ganti bapa sebagai wakil rakyat pada penggal seterusnya. Mereka merasakan akan menang besar lagi.
****
Tinggalkan Jawapan