Editorial
5 Jun 2022
Jika PH kemaruk sangat mahu mendapatkan semula kuasa pada PRU15 akan datang, meskipun dengan fitnah dan pembohongan, maka Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Rafizi Ramli mesti mendukung paradigma dan falsafah yang sekata dalam perjuangan PKR.
Mereka berdua mesti sedar tanpa persefahaman dan hala tuju yang sekata, PKR, apatah lagi PH, tidak akan dapat memenangi PRU15.
Kontradiknya Rafizi tidak dapat mengimbangi pendiriannya dengan Anwar sebagaimana pendirian Anwar yang mahu membentuk gabungan yang akan melibatkan Pejuang, PAS dan Warisan yang berpotensi untuk mengulangi tragedi ‘Langkah Sheraton.’

Bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa Rafizi Ramli lebih banyak menterjemahkan agenda tersembunyi dengan berdolak-berdalik daripada menyatakan cita-cita sebenarnya sebaik mengumumkan kembali ke arena politik.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilihat lebih banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir presiden parti sebagai lemah serta menyifatkan percutiannya daripada aktif dalam PKR sebelum ini disebabkan tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan.
Anwar berpegang pada ideologi untuk menyatukan semua parti pembangkang menentang UMNO-Barisan Nasional pada PRU15 nanti.
Kontradik dengan paradigma serta harapan Anwar itu, Rafizi menentang idea tersebut.

Rafizi bertegas bahawa ‘Langkah Sheraton’ pada Mac 2020 menunjukkan gabungan itu boleh dikhianati oleh parti komponen, sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Bersatu, khususnya pengkhianat bernama Muhyiddin Yassin.
Namun Rafizi tidak mahu Anwar bersikap dengan pendirian “idealistik” dalam usaha meraih sokongan parti pembangkang lain kerana PKR boleh berdiri sendiri sebagaimana perjuangan reformasi untuk menentang kezaliman dan rasuah.
Idealistik Anwar bukan pragmatik dan idealistik Anwar juga tidak realistik.
Kontradiknya, apa yang rakyat lihat sebagaimana berlaku pada PRN Melaka dan PRN Johor, PKR sudah mula bertelingkah dengan DAP dan Amanah apabila Anwar menolak penggunaan logo PH sebaliknya tegas menggunakan logo PKR secara solo.
Pendirian Anwar itu hendaklah dipertahankan dan inilah juga pendirian selari antara Anwar dan Rafizi yang harus dipertahankan.
Meskipun PKR kalah teruk, namun sekurang-kurangnya PKR telah menunjukkan ketegasannya menentang ‘khemah PH’ yang didominasi DAP.
Sekiranya dua pemimpin teratas PKR itu dapat menyelesaikan perselisihan mereka, maka sebarang isu lain yang timbul boleh diselesaikan dengan mudah.
Walau bagaimanapun DAP kini turut menjadi batu api supaya Rafizi menjadi jentera utama untuk mengenyahkan Anwar sebagai pemimpin tertinggi PKR.
Adakah senario dan harapan DAP ini juga menjadi impian akar umbi PKR, yang membawa kemenangan Rafizi dalam Pemilihan PKR 2022?

Paradoksnya apa yang rakyat lihat adalah perbezaan ketara antara pendekatan Rafizi Ramli yang popular sebagai ‘kaki fitnah PKR’ berbanding dengan Presiden parti, Anwar Ibrahim yang lebih suka diangkat sebagai pejuang kezaliman, keadilan dan menentang kronisme serta nepotisme sebagaimana terlihat dalam muslihat Mahathir.
Memburukkan lagi imej Rafizi dan PKR, terkini Rafizi telah disaman fitnah oleh CEO Sapura Energy meskipun baharu sahaja tampil semula pada pentas politik PKR.
Rafizi perlu berhati-hati dengan potensi tindakan Anwar untuk menghapuskan sesiapa sahaja yang boleh mencabar kedudukannya serta falsafahnya sebagai presiden parti.
Bagaimanapun, Rafizi biasanya akan mengalah kerana dia telah menunjukkan bahawa dia tidak tekal dengan pendiriannya kerana setelah mengundur dari dunia politik tetapi masuk semula setelah penglibatannya dalam dunia korporat gagal.
Sejauh manakah gabungan kepimpinan antara Rafizi dan Anwar akan kekal lama sedangkan pemimpin DAP seringkali mendesak supaya Anwar mengundur diri dan menyokong kehadiran semula Rafizi.
Adakah Rafizi merupakan tokoh pertaruhan DAP untuk menyingkirkan Anwar?
Paradoksnya juga, adakah Anwar masih belum serik dengan tohmahan rakyat dan pengundi terhadap fitnah dan pembohongan Rafizi sebelum PRU14 tempoh hari.
Meskipun PKR dan PH menang tetapi rakyat dan pengundi tidak lupa pada pembohongan, janji palsu dan fitnah yang menjadi agenda dan pendekatan retorik politik Rafizi.
Namun PRN Melaka dan PRN Johor telah membuktikan bahawa Anwar telah gagal untuk memenangi semula hati rakyat.
******
Tinggalkan Jawapan