Editorial
31 Mei 2022
Dahulu kegilaan Anwar mempromosi angka-angka sokongan ahli parlimen dan jumlah SD (Statutory Declaration) terhadapnya menjadi amat lewah, tetapi akhirnya ia terdedah sebagai retorik politik yang gagal dan pembohongan politik semata-mata.
Beberapa bulan lalu, Muhyiddin Yassin juga menggunakan taktik politik yang sama untuk mempromosi ‘khemah besar’ ciptaannya bagi menarik sokongan terhadap dirinya dan Bersatu (PPBM) dalam missi untuk membunuh UMNO pada PRU15 nanti.
Muhyiddin bukan sahaja mahu blok pembangkang bergabung dengan parti Bersatu, malahan dia mahu semua presiden parti menyokongnya untuk diangkat sebagai PM lagi sekali.
Tingkah dangkal Muhyiddin itu telah didedahkan oleh Tun Mahathir dan kini, diulang tayang oleh Safie Apdal dengan cemuhan, seakan-akan Muhyiddin tidak sedar diri.
Seluruh rakyat Malaysia tahu dan sedar bahawa parti Bersatu sedang nazak, dan tiada jalan lain lagi untuk diselamatkan kecuali mengemis pada setiap presiden parti blok pembangkang supaya menyelamatkannya.

Di Pagoh Johor sekalipun bahagian dan Cawangan Bersatu sedang diserang virus pembunuh, apabila banyak cawangannya berkubur dan dibubarkan.
Presiden Warisan DS Shafie Apdal mendedahkan bahawa Muhyiddin telah menelefonnya, dan katanya, “Brother saya sudah ada 119 dan saya sudah berunding dengan Brother Anwar (Presiden PKR), saya sudah runding dengan Anthony Loke (SUA DAP). Ini dia cakap sama saya. Kita Warisan pun ada 119. Saya bagi tahu, Tan Sri , kau sudah cukup teruskan, saya tidak mahu ikut.”
Shafie membidas kenyataan Muhyiddin itu sebagai satu kenyataan hanya untuk memuaskan nafsu peribadi dan bukannya satu perjuangan menyatukan rakyat.
Selaras dengan pendiriannya, kenyataan Shafie diterjemahkan sebagai nafsu Bersatu untuk menjadi dominan dan mengawal politik Sabah, lantas menjadikan pemimpin politik Sabah sebagai keldai atau lembu yang dicucuk hidung.
Pada 2020, lanskap politik Malaysia juga dikejutkan dengan dakwaan DS Anwar Ibrahim bahawa dia mempunyai cukup angka sokongan untuk mengangkat dirinya sebagai PM.

Namun dakwaan Anwar itu meleset, apabila setelah parlimen dibubarkan terbukti sokongan terhadapnya adalah kecil untuk melayakkannya diangkat sebagai Perdana Menteri.
Nampaknya virus ‘Tiga Digit’ yang parah menyerang Anwar sebelumnya, telah menjangkiti Muhyiddin dan partinya kini sedang nazak, apabila selain daripada Zuraida Kamaruddin, ramai lagi yang akan meninggalkan Bersatu yang lebih dikenali sebagai ‘parti katak’.
******
Tinggalkan Jawapan