MASA DEPAN POLITIK MB KEDAH AKAN LINGKUP DITENDANG KAKI BOLA

Editorial

30 Mei 2022

Pemain import profesional dari Korea Selatan, Jang Suk Won yang mengikat kontrak dengan pasukan Kedah FC, telah mengambil keputusan menamatkan kontraknya lebih awal.

Meskipun alasan yang diberikan adalah kecederaan dan rawatan serta pemulihan jangka panjang, namun medsos telah membangkitkan pelbagai polemik yang dikaitkan dengan Presiden Kelab FC, iaitu Datuk Muhammad Sanusi Md Nor yang juga merupakan MB Kedah.

Pengkritik dalam medsos lebih melihat penamatan kontrak Jang Suk Won lebih kepada masalah pengurusan pembayaran gaji yang tidak konsisten dalam kalangan pemain Kedah.

Di bawah kepimpinan Sanusi, prestasi pasukan itu dikatakan hambar kerana dikatakan ketandusan penaja yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan budi bicara dan kebijaksanaan presiden sendiri.

Namun sikap Sanusi yang kurang diplomasi dengan budi bahasa yang kasar dijadikan alasan oleh pengkritik dalam medsos sebagai alasan mengapa kurangnya sokongan penajaan kepada pasukan Kedah.

Malahan polemik yang dikaitkan dengan kata kesat MB terhadap kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak Malaysia telah membangkitkan kemarahan pihak tertentu, dan peminat bola sepak negara, meskipun Sanusi tidak menjelaskan siapakah ‘tokong’ yang dimaksudkannya.

Bagi pihak yang peka terhadap bahasa kolokial, besar kemungkinan Sanusi merujuk kepada ‘tokoh’ yang dianggap ‘tuhan’ oleh peminat bola sepak sebagaimana kaum Cina sering merujuk kosa kata ‘tokong’ sebagai tuhan mereka.

Sanusi mendakwa kewujudan ‘tokong’ telah memberi kesan kepada arena bola sepak negara untuk bermain secara adil dan bersih ketika beraksi.

Menurut Sanusi, bola sepak adalah sukan untuk semua, bukannya dikawal oleh individu sehingga menyebabkan adanya situasi yang memerlukan persetujuan daripada ‘tokong’ terbabit.

Katanya, “Bola sepak ini bukan untuk individu, sebelum perlawanan, bawa ‘banner’ besar tulis ‘fair play’ tetapi ada tokong, semua nak kena pi sembah dia, nak kena tanya dia dulu, jenuh la nak main bola macam ini,” katanya pada satu sidang akhbar.

Namun pihak pengkritik melihat pasukan pimpinan Sanusi lebih banyak bergelut dengan masalah kewangan dan gaji pemain.

Gaji pemain yang sering tertunggak, telah menjadi rungutan pemain Kedah, apatah lagi bonus kemenangan yang langsung tiada.

Kepimpinan Sanusi yang sedemikian dikatakan telah melupuskan semangat pemain dan ditanggapi sebagai pengurusan yang tidak profesional.

Kemelut kewangan pasukan Kedah terdedah apabila Sanusi mendakwa tindakan sesetengah pasukan meletakkan ‘gaji elit’ terhadap pemain boleh meruntuhan prestasi sukan popular itu.

Ini kerana penetapan gaji pemain tertakluk di bawah bidang kuasa pasukan masing-masing dan mereka berhak untuk meletakkan berapa sahaja gaji yang dirasakan wajar dengan prestasi dan aksi pemain.

Masalah terbangkit apabila pemain menerima gaji yang terlampau tinggi ketika bermain dengan kelab, tetapi tidak memberikan persembahan yang baik ketika bermain dengan pasukan kebangsaan.

Berbeza pula pandangan pihak yang arif dalam arena bola sepak yang melihat tidak wujud ‘gaji kayangan mengganggu ekosistem bolasepak’ dan tidak timbul pun isu gaji tinggi.

Pemain profesional wajar menuntut gaji yang setimpal dengan persembahan mereka. Jika pemilik kelab berpuas hati maka mereka boleh memberikan khidmat, jika tidak maka pemain berkenaan boleh ditolak.

Mungkin Sanusi tidak melihat bahawa setiap pemain tidak dapat kekal lama dalam arena bola sepak atas faktor umur dan risiko kecederaan.

Setakat manakah seseorang pemain profesional itu boleh bermain, sedangkan dalam usia 40 tahun persembahan mereka sudah merosot atas faktor umur.

Seseorang pemain profesional itu saban waktu menjadikan gelanggang bola sepak sebagai periuk nasi mereka dan tempat mereka mencari rezeki.

Sanusi telah yang telah beberapa kali dilabelkan ego oleh media dengan kenyataannya telah dilihat lebih berpolitik daripada menguruskan pasukan Kedah FC.

Ramai yang telah membangkitkan gaya pengurusan bola sepak Kedah yang dicemari oleh tungangan politik Sanusi sendiri.

Apabila orang politik yang langsung tidak ada kepakaran dalam pengurusan bolasepak, ditambah pula dengan kepentingan politik mengatasi bolasepak itu sendiri, maka akibatnya bolasepak Kedah FC merosot.

Sepatutnya bolasepak Kedah diuruskan oleh orang yang berkaliber dan faham bolasepak, bukannya ahli politik yang hanya tahu beretorik sahaja.

Isu ‘tokong’ bola sepak ini telah mendapat perhatian DYM TMJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengetuai kepimpinan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baginda telah mencabar Sanusi agar mendedahkan nama individu yang beliau gelar sebagai ‘tokong’ supaya pihak berkenaan boleh tampil membela diri.

Nampaknya masa depan politik Sanusi juga akan menerima terajang daripada golongan belia kaki bola di Kedah, sekiranya sebagai presiden kelab, dia gagal menjaga prestasi pasukan Kedah.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: