Editorial
25 Mei 2022
Amatlah jelasnya bahawa Hadi Awang telah termakan dengan muslihat Muhyiddin yang telah merancang kejatuhan DS Najib melalui kuasanya dalam SPRM, Peguam Negara, dan legasi kuasa Mahathir dalam badan kehakiman negara.
Konspirasi Muhyiddin terlondeh apabila bukti-bukti pembelaan kes SRC dan 1MDB ditolak oleh Mahkamah Rayuan sedangkan Mahkamah Amerika Syarikat dan ejen FBI mendapati tiada bukti untuk mensabitkan DS Najib.

Mukhriz Mahathir telah mengaku bahawa ayahnya Mahathir Mohamad, dan Muhyiddin Yassin telah merancang menjatuhkan DS Najib sejak 2014 lagi.
Dengan itulah pemerhati politik melihat, sebelum Muhyiddin mengkhianati PH, dia sudah sekian lama mengkhianati UMNO.
Hari ini, setelah sedikit demi sedikit konspirasi Mahathir (dan legasi kesinambungannya yang dikendung oleh Muhyiddin) untuk menjatuhkan DS Najib terbongkar, PAS seperti serba-salah, sedangkan terdapat kecenderungan pemimpin dan akar umbi PAS yang tegar menyokong Najib.

Terkini Muhyiddin seperti tidak yakin dengan ikatan ukhuwahnya dengan PAS setelah mereka kalah teruk di PRN Melaka dan Johor.
Secara tersembunyi tetapi akhirnya terdedah, Muhyiddin mahu dapatkan kerjasama daripada PH serta blok pembangkang yang lain.
Barulah kini, PAS rasa dikhianati Muhyiddin kerana dalam PH ada musuhnya iaitu DAP, Amanah, dan juga Anwar yang amat cenderung menyokong LGBT, pluralisme agama, malah simbol PKR sendiri adalah simbol ‘mata satu dajal’ sebagaimana dilihat oleh akar umbi PAS.

Dari sisi lain, UMNO dalam BN pada hakikatnya rasa selesa, kerana sindrom gabungan ‘poliparti’ dalam sesuatu gagasan politik sebagaimana berlaku dalam PH, dilihat tidak mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kestabilan ekonomi dan kestabilan sosial kerana perbezaan prinsip, ideologi dan matlamat.
Ia terbukti sebagaimana berlaku dalam PH, apabila DAP lebih mendominasi, sedangkan undi Melayu berpecah kepada Amanah dan PKR.
DAP juga cuba membutakan kaum Melayu dengan meletakkan satu-dua calon Melayu yang menjadi boneka mereka di kawasan dominasi Cina di bandar dan pinggir bandar.
Manakala ideologi politik antara mereka dalam gagasan ‘poliparti’ juga amat berbeza.
PN pimpinan Ismail Sabri juga merupakan contoh kerajaan yang amat tidak stabil kecuali dengan muslihat doktrin ‘keluarga Malaysia’ untuk meredakan keadaan.
Pada asasnya memang UMNO boleh bekerjasama dengan PAS, tanpa PAS mengganggu kerusi tradisi UMNO di Perlis, Kedah, PP, Perak, Melaka, Sabah dan Johor, dan PAS akan membantu UMNO di Selangor. Sebagai balasannya UMNO akan membantu PAS di Kelantan dan Trengganu.
Namun keegoan PAS terutamanya sebagaimana ditonjolkan oleh Hadi Awang, di PRN Melaka dan Johor amatlah menjengkelkan dan lebih memaparkan sikap tamak PAS, yang telah sekian lama berdiri sebagai pembangkang dan kemudian diperbodohkan oleh DAP dalam Pakatan Rakyat dan kini diperbodohkan pula oleh Muhyiddin Yassin.

PAS melalut dan khayal dengan jawatan Menteri dan GLC manakala Hadi Awang selesa dengan gaji buta sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri atas lantikan Muhyiddin, dan tidak boleh diganggu oleh Ismail Sabri.
Kini pemimpin PAS mahu membuat ‘pusingan U’ tetapi Hadi Awang tetap dengan egonya dan menjadikan ketaksuban akar umbi di Kelantan dan Terengganu sebagai deposit tetap PAS.

Jika ada yang mengkritik Hadi Awang, mereka akan ditendang keluar sebagaimana Datok Dr. Hassan Ali, DS Dr. Khairuddin Aman Razali dan kelompok professional dalam Amanah.
Ramai bersetuju supaya UMNO bersendirian semasa PRU15 nanti daripada bekerjasama dengan pihak ‘penunggang agama’ dan pemimpin yang taksub kepada keegoan Presiden PAS.

Setelah Muhyiddin gagal mewujudkan ‘khemah besar’ melalui ‘Langkah Carey’, apakah benar ada kecenderungan PAS untuk membentuk satu gagasan atas nama perpaduan ummah bagi menyatukan Pejuang, PKR, Amanah, BERSATU, Putra, Berjasa dan parti nyamuk lain yang mahu berdiri atas panji Islam ciptaan PAS?
Lagi sekali secara realiti dan pragmatik ia tidak semudah sebagaimana yang diimpikan PAS, apabila majoriti rakyat Melayu-Islam sudah sekian lama terhutang budi dengan UMNO, dan mereka sudah serik dengan PH dan rakan sekongkolnya seperti BERSATU, PKR, Amanah dan Pejuang.
UMNO-BN adalah parti yang tekal atau konsisten, tidak seperti PAS yang sering berhijrah dari satu kelompok ke kelompok yang lain. Pada 1973 PAS pernah bersama UMNO, tapi pada 1990 PAS menentang UMNO untuk bersama Semangat 46, pada 1999 PAS bersama dengan PKR untuk mencanangkan Reformasi dan sekali gus bersama PKR untuk menyertai Pakatan Rakyat sehingga 2013. Kemudiannya pada 2019 untuk menentang ratifikasi ICERD PAS kembali bersama UMNO-BN dan kini bertenggek pula dengan Perikatan Nasional.
Daripada pentas politik terkini, Mahathir dilihat sebagai musuh utama kaum Melayu, Hadi Awang pula sebagai penunggang agama, Muhyiddin adalah pengkhianat, Anwar sebagai pejuang LGBT dan Pluralisme agama, manakala Mat Sabu adalah penganut Syiah.
Lantas adakah realiti mewujudkan gagasan atas paksi ‘Perpaduan Ummah’ yang cuba digerakkan PAS pragmatik dan realistik?
*******
Tinggalkan Jawapan