Editorial
22 Mei 2022
Dua hari lalu, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa PH dan PN perlu berunding untuk bekerjasama pada PRU15, sekiranya tidak mahu ‘kluster mahkamah’ menang PRU15 nanti.
Namun hakikatnya sebagai penganalisis politik kami percaya bahawa sekiranya BN-UMNO menang, maka kuasa Muhyiddin ke atas badan kehakiman, PDRM yang dikatakan ramai ‘budak dia’ sebagaimana perakuan Menteri KDN, dan kuasa ‘tangan ghaib’ dalam SPRM akan cair dan hilang.
Lantas kemenangan BN-UMNO akan merisikokan kedudukan Muhyiddin yang mungkin akan berubah menjadi ahli ‘kluster mahkamah’.
Secara ‘reverse psychology’ Muhyiddinlah pada hakikatnya yang akan menjadi ‘kluster mahkamah’ dengan maklumat rasuah dan salah guna kuasa yang kini disembunyikan.
Adakah Muhyiddin lupa dengan beberapa pendedahan media bahawa PH menolak PN dan sekaligus PPBM dalam gagasan mereka.

Malah Sarawak telah secara terbuka menolak Bersatu, manakala PAS seperti hilang keyakinan terhadap Bersatu dan mahu ikatannya dengan UMNO diperkukuhkan semula melalui MN.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mahu SPRM campur tangan dan menyiasat Muhyiddin Yassin yang didakwa ada kaitan dengan YTL Communications Sdn Bhd, khasnya berhubung projek 1BestariNet.
Gesaan Ahli Parlimen DAP itu dibuat ekoran pendedahan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mendakwa semasa pentadbiran PH, Muhyiddin telah mendesak Maszlee supaya meletakkan jawatan berhubung isu kontrak dengan YTL dengan Kementerian Pendidikan.
Santiago memberitahu pihak media kerana projek 1BestariNet itu diklasifikasikan sebagai gagal.
Pendedahan Maszlee menunjukkan wujud kepentingan peribadi Muhyiddin, yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri, yang hakikatnya sedar dia tidak boleh mewakili perniagaan atau menjadikannya alasan untuk mendesak rakan Kabinetnya meletak jawatan.
Sementara itu, kumpulan antirasuah menggesa SPRM menjelaskan mengapa siasatannya terhadap Muhyiddin Yassin diberikan status ‘Tiada Tindakan Lanjut’ atau NFA.
Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan mendakwa, butiran lanjut perlu didedahkan untuk meyakinkan orang ramai yang mengharapkan lebih ketelusan daripada kerajaan.
Mohan berkata, mendedahkan lebih banyak butiran mengenai siasatan itu akan membantu SPRM menguruskan persepsi orang ramai dan menunjukkan bahawa ia telah melakukan segala-galanya dalam kuasanya untuk menyiasat kes itu.

Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY), Teh Hoong Keat juga telah membuat laporan SPRM berhubung rakaman suara mirip Muhyiddin Yassin yang mendedahkan konspirasi untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen menerusi tawaran jawatan menteri atau pengerusi syarikat GLC.
Tidak ada keraguan bahawa tawaran dan penerimaan jawatan seperti menteri dan jawatan GLC adalah satu bentuk suapan yang sama seperti rasuah mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan.

Peguambela & Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berpendapat sekiranya tawaran dibuat atas kapasiti sebagai anggota pentadbiran, perkara tersebut juga boleh dilihat sebagai suatu pelanggaran kepada seksyen 23 akta tersebut.
Menurut Zainuddin, isu tawaran Perdana Menteri ini sememangnya boleh ditafsir ada inducement atau dorongan oleh seseorang yang ada kepentingan dan ada kuasa sekali gus boleh jatuh di bawah Akta SPRM.
Sementara itu pengakuan Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli dari parti Warisan, bahawa dia telah diugut supaya melompat ke parti Bersatu oleh ‘orang Muhyiddin’ adalah sesuatu yang mendedahkan tindakan rasuah dan salah guna kuasa oleh Muhyiddin Yassin.

Adakah pendedahan ini sebagai sebahagian daripada apa yang telah didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara TS Hamid Bador tentang campur tangan eksekutif kerajaan terhadap badan perundangan?
Adakah ini juga menjadi modus operandi terhadap kes-kes yang kini dalam perbicaraan di mahkamah?
Lantas ‘kluster mahkamah’ yang dicanangkan oleh Muhyiddin adalah hasil skandal dan konspirasi untuk menganiaya musuh politiknya.
Oleh itu, Muhyiddin tidak usahlah hendak mendabik dada tentang ‘kluster mahkamah’, sedangkan ia hanyalah dakwaan terpilih yang amat jijik dan hina dalam kesucian intergriti SPRM mahupun badan kehakiman negara.
Rakyat sedang tunggu dan lihat ketibaan hari kebenaran itu apabila Muhyiddin pula yang akan menjadi ahli kluster mahkamah!
*******
Tinggalkan Jawapan