APEK DAP DISIASAT KERANA TELAHAN RUMAH PM DAN PARA MENTERI AKAN DIBAKAR

Editorial

21 Mei 2022

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan telah memulakan siasatan ke atas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang meramalkan tragedi pemberontakan rakyat Sri Lanka akan berlaku di Malaysia pada hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke-100 iaitu 2057 sebagaimana disebit dalam ‘Ciapan’ (Tweet) miliknya.

Walaupun pihak PDRM tidak menyebut nama Lim Kit Siang sebagai pemilik ‘Ciapan’ tersebut, namun khalayak media tahu bahawa kandungan ciapan itu adalah intipati wacana Kit Siang dalam blognya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata tangkapan skrin Ciapan itu telah tersebar sejak Khamis yang berbunyi “Adakah rumah Perdana Menteri dan para Menteri Malaysia akan dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lalu?”

Ayat serupa digunakan sebagai tajuk utama catatan blog yang diterbitkan oleh Kit Siang semalam.

Kit Siang kemudiannya menafikan bahawa dia menyokong keganasan dengan membandingkan Malaysia dengan Sri Lanka, yang telah mengalami huru-hara politik akibat krisis ekonomi yang paling teruk pernah berlaku di negara itu.

Wacana Kit Siang telah mendapat kritikan dan diterjemahkan sebagai satu hasutan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Kit Siang cuba berdalih bahawa dia hanya memberi amaran bahawa Malaysia perlu belajar daripada pengalaman berterusan di Sri Lanka itu.

Meskipun  kenyataan Kit Siang itu meruapakan satu andaian tetapi ia telah membangkitkan ‘keresahan awam’ yang merupakan satu kesalahan dalam Seksyen 268 Kanun Keseksaan dalam hal ‘mengganggu ketenteraman awam’.

Kit Siang membuat andaian tersebut berdasarkan pemberontakan rakyat yang berlaku di Sri Lanka kerana kemelesetan ekonomi yang teruk, sehingga menyebabkan penunjuk perasaan membakar rumah Perdana Menteri dan para Menteri di negara itu.

Kata Kit Siang, “Adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan Menteri-Menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?

“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?

“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai ‘permata’ yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?” tanya Kit Siang dalam blognya.

Sri Lanka ketika ini berhadapan dengan pemberontakan rakyat dan menjadikan ahli politik di negara tersebut sebagai sasaran kemarahan berikutan keadaan ekonomi yang meruncing.

Kit Siang juga telah mengulas mengenai status Sri Lanka yang diisytiharkan muflis oleh badan penarafan dunia selepas negara tersebut gagal membuat bayaran ke atas dua bon, malah telah kehabisan wang untuk membeli bahan bakar.

Walau bagaimanapun Kit Siang bukanlah pakar ekonomi yang ada kredibiliti untuk menterjemahkan fakta ekonomi negara.

Pastinya rakyat masih ingat ketika PH berkuasa, bagaimana teruknya anak Lim Kit Siang mengendalikan ekonomi negara ketika menjadi Menteri Kewangan selama 22 bulan.

Lim Guan Eng tanpa segan silu mengakui salah titik perpuluhan dalam membuat laporan berkenaan angka baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Jumlah tersebut bukan RM1.486 bilion sebaliknya hanya RM148.6 juta.

Malahan kerajaan PH menjaja fakta-fakta yang meleset serta pembohongan bahawa negara akan muflis untuk menakut-nakutkan rakyat dan membangkitkan keresahan awam selari dengan dakwaannya yang menyamakan Malaysia dengan situasi ekonomi Sri Lanka.

Sebagaimana dijelaskan oleh pakar ekonomi negara, Sri Lanka sedang menghadapi krisis yang teruk pada ketika ini disebabkan kekurangan dana dalam mata wang asing untuk membayar hutang dengan negara asing.

Biarpun nisbah hutang Malaysia berbanding KDNK naik mencanak selepas PRU14 angkara PH dan PN kepada 62% pada akhir tahun 2021 tetapi hanya 2.5% (sekitar RM25 bilion) daripada hutang RM1 trilion Malaysia adalah dalam bentuk mata wang asing.

Bon samurai kerajaan PH dalam bentuk Yen Jepun juga telah meningkatkan hutang mata wang asing negara yang cuma RM15 bilion sebelum PRU14.

Inilah perbezaan paling ketara berbanding Sri Lanka apabila nisbah hutang kerajaan mereka telah cecah 100% di mana lebih 50% daripada hutang mereka adalah dalam bentuk mata wang asing.

Sedangkan lebih 97% daripada hutang kerajaan Malaysia adalah dalam mata wang Ringgit, lantas Malaysia tidak terdedah kepada keadaan di mana negara kekurangan dana mata wang asing untuk membayar hutang kepada peminjam asing sebagaimana dihadapi Sri Lanka.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: