Editorial
16 Mei 2022
Nampaknya masa depan Bersatu (PPBM) terus malap setelah kalah teruk di PRN Melaka, PRN Johor dan beberapa PRK sebelum PH tumbang pada 2020, dan kini ditolak oleh ‘khemah besar’ PH serta GPS Sarawak.
‘Khemah Besar’ PH yang diwujudkan hanyalah diperuntukan untuk gabungan parti-parti blok pembangkang. Lantas, PH menolak hasrat Bersatu untuk bersama mereka kerana Bersatu berada dalam blok kerajaan, apatah lagi Muhyiddin Yassin telah dilabelkan sebagai pengkhianat PH.

Kali ini Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendominasi kerajaan Sarawak dengan 93% kerusi DUN, dengan terang-terang menolak hasrat Muhyiddin untuk menumpang di Sarawak pada PRU15 nanti.
GPS telahpun mengisytiharkan bahawa ia akan meletakkan calonnya di semua 31 kerusi Parlimen Sarawak pada PRU15 nanti.

Pengerusi GPS TS Abang Johari Openg menegaskan beliau tidak akan memberikan laluan kerusi kepada mana-mana parti dari Semenanjung.
Meskipun daripada PRU14, Bersatu memiliki dua kerusi Parlimen iaitu di Puncak Borneo dan Saratok, namun Pengerusi GPS, Abang Johari Openg bertekad tidak akan memberi sebarang laluan kepada Bersatu.
Nampaknya apa yang dikatakan oleh Muhyiddin sebelum PRN12 Sarawak bahawa PN akan bekerjasama dengan GPS pada PRU15, adalah meleset sama sekali kerana ditolak mentah-mentah oleh GPS.

Pada 8 Mei, wakil Pengerusi GPS, lagi sekali menegaskan bahawa GPS berpendirian teguh dan kekal tidak berkompromi dengan Bersatu, manakala GPS akan bertanding di semua kerusi Parlimen di negeri itu.
Fazzrudin Abdul Rahman yang juga ADUN Tupong, bagi pihak Abang Johari Openg, berkata keputusan GPS untuk tidak memberi ruang kepada mana-mana parti dari Semenanjung itu tidak berubah, tetapi GPS akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menguasai kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin dilaporkan telah merayu Abang Johari, baru-baru ini, untuk mempertimbang calon Bersatu yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sarawak pada PRU15.
Dalam maklum balasnya, Fazzrudin menegaskan, usaha menuntut semula dan mempertahankan hak Sarawak adalah terjamin menerusi kemenangan GPS di kerusi Parlimen negeri ini tanpa perlu melibatkan mana-mana parti dari Semenanjung.
Rakyat Sarawak mahu GPS menentukan hala tuju Sarawak tanpa mana-mana campur tangan parti Semenanjung demi kestabilan politik.
Dengan kata-kata lain tindakan Muhyiddin dan konco-konconya pada ‘Langkah Sheraton’ telah menyebabkan ketidakstabilan politik negara yang memberikan dampak negatif terhadap Sarawak, sebaliknya hanya memenuhi tuntutan peribadi.
Fazzrudin merujuk kepada “krisis politik pada 2020”, dan beliau menegaskan “Kita sudah terlalu lama berada dalam kemelut politik dan dalam tempoh ketidakstabilan ini, pada tahap tertentu, melembabkan pembangunan ekonomi dan urus tadbir negara.”
Apa yang dilihat, krisis politik pada 2020 berlaku selepas kerajaan PH runtuh susulan Bersatu, dipimpin Muhyiddin, dan sekutunya, membentuk kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional.
Tindakan Sarawak adalah bijak dan tepat sekali kerana tidak mahu memberi ruang lagi kepada Bersatu untuk menumpang.
Dengan keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang diterjemahkan sebagai ‘pengkhianat’, pada PRU15, masa depan Muhyiddin dilihat amat kabur dan malap.

Sebelum ini, negara telah saksikan bagaimana Muhyiddin menggunakan SPRM untuk menekan ahli-ahli politik supaya melompat menyertai Bersatu sebagaimana didakwa oleh Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli yang kini sedang didakwa di mahkamah.
Selain Rozman Isli, dua lagi iaitu Ahli Parlimen Batu dari PKR, YB Prabakaran dan Ahli Parlimen Tangga Batu, YB Rusnah Aluai, telah mendedahkan bahawa mereka telah dipujuk supaya melompat ke parti Bersatu dengan habuan jawatan.

Pasti ramai lagi telah diugut, sebagaimana berlaku kepada YB Tengku Adnan Mansor yang mendakwa beliau dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas PRU14, jika sanggup melompat ke parti Bersatu.
Semua pendedahan itu membenarkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador tentang rasuah politik oleh puak Muhyiddin Yassin demi meramaikan jumlah katak-katak politik dalam ‘kerajaan katak’ PN.
Rakyat akan ‘tunggu dan lihat’ adakah tindakan Muhyiddin terhadap Rozman Isli akan berulang di Sarawak dengan keputusan Abang Johari Openg itu.
*****
Tinggalkan Jawapan