Dr. Mamat Desa
15 Mei 2022
Seperti yang dilihat pada landskap politik terkini, konsep ‘khemah besar’ yang cuba dibawa oleh Presiden PPBM (BERSATU) Muhyiddin Yassin pada pertemuan yang dinamakan sebagai ‘Langkah Carey’ telah gagal dan dilongkangkan oleh PH dan Pejuang.

Pastinya PH tidak mahu bersekongkol dengan idea yang dibawa oleh Muhyiddin kerana kelak sebagaimana Perikatan Nasional, dia akan mendakwa dirinya sebagai dominan, lantas yang lain, PKR, Pejuang dan AMANAH terpaksa menjadi keldainya. Malahan dia mahu dirinya diangkat sebagai Perdana Menteri.
Namun apa yang menjadi halangan utama ialah sejarah pengkhianatan Muhyiddin pada Feb 2020 melalui ‘Langkah Sheraton’ bersama-sama balacinya Azmin Ali, yang masih tegar dalam dendam dan kebencian PKR, AMANAH dan DAP.
Langkah Sheraton telah menyingkirkan Mahathir, dan sekaligus Muhyiddin berjaya mengangkat dirinya sebagai Perdana Menteri.

Dari sisi lain, pengundi majoriti Melayu-Islam juga pastinya masih menyimpan kebencian mereka yang amat sangat terhadap kebiadapan DAP semasa mereka mendominasi PH selama 22 bulan, malah Mahathir sendiri telah mendedahkan kerakusan dan kebiadapan orang kuat DAP, Tony Pua, sehingga dia terpaksa ditolak dalam pemilihan CEC DAP yang baru lalu.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim juga tidak mahu bersekongkol dengan Muhyiddin kecuali Muhyiddin bersedia menjadi keldai PH, dan begitulah juga dengan Presiden AMANAH, Mat Sabu yang melihat Muhyiddin sebagai pengkhianat PH yang amat jijik.
Rakan Muhyiddin dalam PN iaitu PAS yang ditunggangnya sehingga PAS sanggup mengetepikan piagam Muafakat Nasional bersama UMNO, juga amat membenci DAP.

PAS seakan-akan menyetujui ‘fatwa’ Mufti Pahang, bahawa DAP adalah ‘Kafir Harbi’ yang harus ditentang, meskipun bukan melalui peperangan bersenjata.
Lantas, ‘Langkah Carey’ Muhyiddin gagal dan dilongkangkan begitu sahaja.
Kemudian terpantul pula ‘Khemah Besar’ saranan PH untuk bergabung dengan mana-mana parti blok pembangkang yang sudi.
Namun, dengan tuntasnya idea ‘Khemah Besar’ itu menolak BERSATU dan PAS kerana mereka bukan dari blok pembangkang.
Malahan atas alasan yang dinyatakan tadi, Muhyiddin adalah pengkhianat, manakala PAS yang kini menjadi kuda tunggangan BERSATU adalah musuh AMANAH.

Tidak ada ertinya ‘Khemah Besar PH’ itu sekiranya gagal menarik PAS yang boleh dijadikan umpan untuk memenangi hati pengundi majoriti Melayu-Islam.
‘Khemah Besar PH’ sebagaimana kewujudan PH dalam kerajaan 22 bulan, adalah didominasi oleh DAP yang ditanggapi sebagai musuh umat Islam.
Manakala DAP juga tidak akan sekali-kali menerima PAS sebagai rakan sekongkol, setelah mereka menubuhkan AMANAH bagi menggantikan PAS.

Dari platform inilah terbentuknya ‘Muafakat Baharu’ yang mungkin dijenamakan sebagai ‘Muafakat Ummah’ atas saranan PAS, dengan agenda bahawa Melayu-Islam harus bersatu untuk memulihkan jurang perpaduan nasional, jurang ekonomi masyarakat bandar dan luar bandar serta kecelaruan politik akibat daripada lemahnya kuasa politik umat Islam.
Namun dengan hakikat pendirian dan hala-tuju PAS yang olang-aling apabila membina setia kawan dengan UMNO pada 1973, kemudiannya meninggalkan UMNO untuk bersama Semangat 46 pada 1990, dikiuti kesetiaannya kepada PKR pada 1999, lantas memasuki khemah besar PH pada untuk bersekongkol dengan DAP dan meninggalkan kepimpinan Melayu-Islam UMNO, kemudian kembali kepada UMNO pada 2019 untuk membentuk Muafakat Nasional (MN), tetapi akhirnya pada 2020 mencabuli Piagam MN untuk bersama pula dengan Perikatan Nasional kerana laba dan jawatan menteri yang sebelum ini tidak pernah mereka mimpikan sejak berpuluh tahun menjadi pembangkang.

Wawasan yang muluk-muluk Muafakat Ummah sebagaimana yang dibentangkan oleh Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin, adalah lebih kepada kepentingan PAS yang kini sedar bahawa mereka telah ditipu oleh PPBM (Bersatu) pimpinan Muhyiddin yang lebih cenderung kepada pembentukan gabungan bersama dengan PH yang di dalamnya terdapat DAP.
Dalam Muafakat Ummah ini PAS membina paksi bahawa mereka mahu melawan pemimpin rasuah sedangkan mereka buta bahawa banyak dakwaan rasuah terhadap UMNO adalah dakwaan terpilih yang digerakkan oleh tangan ghaib demi menguburkan UMNO.

Sebaliknya PAS seperti menutup mata dengan strategi melantik ‘budak kita’ oleh Menteri KDN dalam PDRM, serta campur tangan politik untuk menguasai badan kehakiman negara, lantas menutup sebelah mata pada kes BestariNet, kes rasuah Hakim Nazlan, kes rasuah keluarga bekas Gabenor BNM, kes air kotor di Kelantan, kes penderhakaan terhadap DYMM Agong dalam isu Ordinan Darurat dan banyak lagi.

Jesteru, apa yang dapat dilihat, tidak lain dan tidak bukan, Muafakat Ummah lebih menjurus kepada strategi ‘satu-lawan-satu’ untuk menentang UMNO sebagaimana yang menjadi agenda Muhyiddin dan PH pada PRU15 nanti.
Ia juga sebagai gula-gula untuk menarik sokongan pengundi majoriti Melayu-Islam di kawasan Melayu yang membentuk 80% daripada seluruh kawasan parlimen dan DUN dan secara tidak langsung cuba melupakan kewujudan 30.3% kaum bukan-Melayu dalam komposisi populasi negara.
Lantas, sasaran utama Muafakat Ummah adalah untuk membina gabungan baharu Melayu-Islam daripada parti PKR, BERSATU, PEJUANG, WARISAN, AMANAH, MUDA, PUTRA, BERJASA serta parti picisan Melayu yang lain.
Ia pastinya akan mengangkat Hadi Awang atau tokoh yang lebih muda dalam PAS sebagai nakhoda utama kepada idea ‘Muafakat Ummah’ lantas menolak Anwar Ibrahim, Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mat Sabu, mahupun Shafie Apdal.
‘Muafakat Ummah’ akan mengetepikan DAP dan pastinya dari aspek ini akan mendapat sokongan Anwar Ibrahim kerana mutakhir ini pun PKR mahu mengajar DAP kerana kebiadapan pemimpinnya yang mahu menyingkirkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang, malahan mahu mencampuri urusan dalaman PKR supaya Anwar disingkirkan.

Manakala pemimpin AMANAH seperti Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub sentiasa berlapang dada untuk menerima PAS, dan orang kuat PKR, Saifuddin Nasution yang dijangka akan menduduki kerusi Timbalan Presiden PKR juga membuka dada untuk menerima BERSATU serta pengkhianat PH, Muhyiddin Yassin.
Sayangnya akan berlaku beberapa kelompongan dan membangkitkan pelbagai persoalan setia kawan antara mereka.
Antara lain, ia tidak akan memberi apa-apa dampak kepada DAP kerana DAP sememangnya menguasai kawasan majoriti Cina dengan hanya sedikit tentangan daripada MCA, MIC dan GERAKAN.
Walaupun Muafakat Ummah ini menolak DAP, namun mereka secara tidak langsung akan membina keselesaan kepada DAP untuk terus mendominasikan kawasan bandar dan pinggir bandar.
DAP akan terus mengambil kesempatan mengelabui mata pengundi Melayu-Islam dengan meletakkan calon Melayu yang akan menjadi bonekanya di kawasan pinggir bandar, dan akan lebih tegar menjenamakan Muafakat Ummah ini sebagai ‘Taliban Malaysia’.

Lantas jurang perpaduan nasional akan lebih parah, apabila bangsa DAP, MCA, GERAKAN dan MIC akan menguasai kawasan majoriti Cina dan bukan-Melayu.
Parti picisan seperti MUDA yang dilihat sebagai keldai DAP, akan mendapat laba kerana MUDA boleh mendapat ikhsan daripada kawasan majoriti Cina daripada DAP sebagaimana di PRN Johor, manakala ia juga akan mendapat sokongan Muafakat Ummah di kawasan majoriti Melayu.
Persoalannya, adakah PAS akan tunduk memberi ruang kepada AMANAH dan mengorbankan kawasan tradisinya baik Parlimen mahupun DUN kepada AMANAH?
Di manakah Muafakat Ummah mahu meletakkan PEJUANG yang juga mahu merebut kawasan majoriti Melayu sebagaimana terlihat pada PRN Johor?
Dimanakah PN mahu meletakkan parti GERAKAN yang pastinya akan hanya ada kebolehpasaran di kawasan majoriti Cina, kecuali GERAKAN dibuang terus daripada PN?
Adakah penyokong PKR akan mudah melupakan pengkhianatan Muhyiddin pada tragedi Langkah Sheraton serta tipu muslihat Mahathir dalam isu menurunkan kuasa kepada Anwar?
Adakah Pejuang dan Mahathir juga akan mudah melupakan pengkhianatan Muhyiddin, yang saban kali telah menjadi rungutan Mahathir?

Adakah masing-masing boleh berkompromi apabila dalam hati halus Anwar Ibrahim, Muhyiddin, Mahathir, dan Shafie Apdal, masing-masing mendambakan kerusi Perdana Menteri?
Akhir sekali, mahukah Hadi Awang menerima peliwat, atau jika tidak, kaki semburit, diangkat sebagai Perdana Menteri atau Hadi sendiri yang mendambakan kerusi Perdana Menteri itu?
*****
Tinggalkan Jawapan