JANGAN BIARKAN PENUNGGANG AGAMA BAIK DALAM PERNIAGAAN APATAH LAGI DALAM POLITIK

Editorial

9 Mei 2022

Bersandarkan prejudis bahawa rakyat Melayu-Islam jahil dalam hal agama, maka terlihat di sana-sini pihak yang ‘menunggang agama’ untuk muslihat politik dan perniagaan.

Sebelum ini tersebar dalam medsos bagaimana sebuah parti politik ‘memberi jaminan ke syurga sekiranya pemilih memilih mereka’ pada PRU.

Ia seperti mendukung kepercayaan bahawa parti politik sama taraf dengan agama di sisi  Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya pernah membidas sebuah parti politik, dengan hujahnya bahawa hanya Allah SWT yang berhak menawarkan ganjaran syurga dan bukannya parti politik.

Ini kerana katanya, parti politik Malaysia yang lahir daripada sistem demokrasi Barat hanyalah sebuah parti politik dianggotai oleh insan biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan sebarang kesilapan.

“Adakah parti itu sempurna sehingga melayakkannya menjanjikan syurga kepada para ahli dan pengundinya?

“Demi kekuasaan, mereka sanggup menjanjikan syurga. Adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT?

Kini tertular dan heboh pula golongan ‘penunggang agama’ dalam kalangan pengusaha dan peniaga yang menggunakan taktik ‘menjual makanan sunah’ kerana pengeluarannya diiringi bacaan doa dan zikir ketika proses pembuatannya, untuk melariskan produk mereka.

Ia bukan sahaja membabitkan pelbagai produk makanan dan minuman, kosmetik, dan perubatan tradisional, malah ada juga produk sedemikian didakwa menyembuhkan atau menghalang gangguan jin dan syaitan.

Promosi sedemikian sedang berleluasa walaupun perkara itu jelas bertentangan dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah, produk yang didakwa sebagai keluaran Muslim itu juga dijual dengan harga yang mahal iaitu boleh mencecah RM500 satu unit bergantung kepada berat dan pakej produk tersebut.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, mendakwa produk perniagaan seumpama itu perlu dipantau supaya masyarakat tidak terpedaya dengan taktik jualan yang dianggap sebagai ‘menunggang agama’.

Situasi hari ini seperti tiada pemantauan yang dilakukan oleh mana-mana pihak berkuasa, disebabkan itu, berlakunya lambakan produk sedemikian dalam pasaran.

Produk berkenaan juga turut dipromosikan menerusi media sosial, aplikasi sembang serta e-dagang secara meluas dalam usaha menarik perhatian pembeli.

Produk sedemikian jelas menunjukkan ‘over claim’ dan hanya menjual agama untuk menarik kepercayaan pengguna semata-mata, sedangkan fungsi dan keberkesanan produk itu boleh dipertikaikan.

Persatuan Ulama Malaysia pula menganggap, penjualan produk yang dilabel dan dipromosikan sebagai makanan penawar serta sunah, boleh mencetuskan kekeliruan dan mewujudkan unsur penipuan kepada pengguna.

Walaupun sudah ada fatwa melarang pelabelan dan penjualan sebarang jenis produk sedemikian tetapi masih banyak dijual menerusi pelbagai platform jualan.

Lantas, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor, menggesa pengusaha produk Muslim yang dilabel dan dipromosi sebagai makanan penawar, dan makanan sunah, supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Perkara itu boleh menyebabkan kekeliruan dan dikhuatiri boleh mewujudkan unsur penipuan kepada pengguna.

Mereka akan menganggap produk itu lebih berkat dan berkesan kerana dibacakan ayat al-Quran, doa serta zikir tertentu tanpa ada bukti yang sahih malahan dalil yang dipergunakan juga dipertikaikan kesahihahnya.

Selain itu, Mohd Roslan berkata, tindakan segelintir pengusaha menjual produk ‘makanan penawar’ atau makanan sunah pada harga terlalu tinggi dan tidak munasabah atas alasan untuk tujuan kebajikan juga menimbulkan persoalan tentang kesahihan tujuan serta niat penjualan produk berkenaan.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2015 sudah memutuskan penggunaan ayat ruqyah pada sesuatu produk bagi tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada untuk label atau pengiklanan, dan promosi.

Bagi pihak Majlis Fatwa, tiada sebarang produk boleh dilabel sebagai ‘makanan penawar’ atau dibacakan doa dan zikir kerana ia menyalahi peraturan dan hendaklah dihentikan kerana dibimbangi ia termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat al-Quran, suatu perbuatan yang ditegah ajaran Islam.

Penjualan produk seumpama itu kini banyak dilakukan pihak tertentu, yang berselindung di sebalik pusat pengajian agama dan penjagaan anak yatim serta asnaf dengan promosi jualan atas nama kebajikan, selain didakwa mendapat manfaat daripada doa yang dibacakan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula menegaskan penyalahgunaan dalil agama sedemikian boleh disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Dengan itu, syarikat dan pemohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tidak dibenarkan menggunakan terma ayat ruqyah, makanan sunah dan seumpamanya pada pelabelan, pengiklanan dan promosi produk yang dipohon bagi pengesahan halal.

******

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: