Editorial
9 Mei 2022
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad bersetuju dengan tindakan SPRM menyiasat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas prinsip bahawa pihak berkuasa seperti SPRM hendaklah diberikan kebebasan untuk sebarang siasatan jenayah rasuah, sebagaimana kebebasan tanpa sebarang campur tangan ke atas badan kehakiman negara.

Kebebasan yang diberikan kepada badan kehakiman tidak bermakna bahawa kebebasan itu termasuk kebebasan melakukan jenayah dan bebas daripada sebarang siasatan.
Dalam artikel beliau, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad telah menyatakan pandangan dengan panjang lebar tentang tindakan SPRM menyiasat Hakim Nazlan.
Malahan Tun Abdul Hamid berpendirian bahawa siasatan terhadap Nazlan adalah berdiri atas paksi perlembagaan dan tiada kena-mengena dengan pelanggaran doktrin pengasingan kuasa.

Anehnya terdapat segolongan pengawal undang-undang yang cuba menyerang SPRM dalam siasatan rasuah ke atas Nazlan sebagaimana dilaporkan oleh penganalisis politik Raja Petra Kamaruddin bahawa Nazlan telah menerima sogokan RM1.036 juta daripada Jho Low.
Malahan Nazlan sebagai Counsel Judge kepada MayBank sebelumnya telah terlibat dalam rancangan bank berkenaan menubuhkan SRC, tetapi sebaliknya DS Najib yang menjadi sasaran tuduhan.

Khalayak media tidak termakan dengan serangan Anwar Ibrahim ke atas SPRM dengan hujah-hujah dangkal sedangkan dia lupa semasa PH berkuasa, banyak aduan rasuah ke atas para hakim telah disiasat oleh SPRM yang ketika itu diterajui oleh Latheefa Koya.
Apatah lagi Anwar sebagaimana 20 tahun dahulu masih terhegeh-hegeh berjuang untuk menduduki kerusi Perdana Menteri, sedangkan khalayak melihat DS Najib amat popular dalam kalangan rakyat.
Sebaliknya terbangkit persoalan, apakah agenda Anwar dan konco-konco PH yang menentang siasatan ke atas Nazlan, sedangkan mereka sering melaungkan perjuangan menentang rasuah?
Konco PH dalam Bar Council serta pejuang Bersih terus melatah kononnya siasatan ke atas Nazlan mencabul kesucian badan kehakiman yang harus dilindungi, lantas mereka akan berdemonstrasi di jalan raya menentang SPRM, namun rakyat nampak dan sedar semuanya kerana ketua SPRM kini bukan pihak yang bersekongkol dengan PH.
Mereka lupa sudah ada banyak precedence apabila hakim didakwa oleh SPRM mahupun PDRM dan didapati bersalah kerana rasuah di mahkamah.
Tun Abdul Hamid juga turut memberikan hujah beliau sebagai pakar undang-undang menentang pandangan Bar Council yang wewenang mengklasifikasikan siasatan ke atas Nazlan sebagai intimidasi terhadap badan kehakiman.
Sebaliknya bagi Tun Hamid, tindakan dan pendirian Bar Council itu adalah satu tindakan masuk campur dalam urusan SPRM bagi menentang rasuah.
Hakikatnya Bar Council sepatutnya memperjuangkan kebebasan dalam urusan penyiasatan kes-kes jenayah rasuah bukan sahaja terhadap badan kehakiman tetapi lebih kepada badan yang menyiasat seperti SPRM.
Dalam sistem kehakiman di luar negara, para hakim tidak terlepas daripada siasatan pihak berkuasa dan ada yang telah dipenjarakan kerana didapati bersalah.
Di United Kingdom, hakim Constance Briscoe telah disiasat dan ditangkap kerana jenayah, dia telah diadili dan disabitkan kesalahan dengan hukuman 16 bulan penjara.
Di Amerika, hakim Mark Ciavarella Jr telah dipenjara selama 28 tahun kerana menerima rasuah.
Di Australia, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Australia, Marcus Einfield telah disiasat polis dan disabitkan kesalahan dan dipenjara tiga tahun kerana menipu atas kesalahan memandu laju.
Bagaimanakah SPRM mahupun PDRM mahu menegakkan keluhuran undang-undang sekiranya awal-awal lagi kerja-kerja penyiasatan disekat?
Bagi Tun Hamid kekebasan badan kehakiman atau kebebasan seorang hakim itu bukan bermakna ia bebas daripada melakukan rasuah.
Tingkah-laku Ketua Hakim Negara, YAA Tun Maimun Tuan Mat mengeluarkan kenyataan menentang siasatan SPRM sebelum siasatan selesai adalah sesuatu yang tidak wajar bagi Tun Hamid.
Adakah tindakan Ketua Hakim negara itu sebagai tindakan masuk campur ke atas urusan SPRM dan amaran kepada Peguam Negara untuk menolak sebarang kes rasuah Nazlan?

Dari awal lagi rakyat melihat kesangsian terhadap pelantikan Nazlan daripada Mahkamah Sivil ke Mahkamah Tinggi untuk menghakimi kes DS Najib, dan kemudiannya dipindahkan pula ke Mahkamah Sivil.
Adakah ini juga sebahagian daripada konspirasi kuasa tangan-tangan ghaib yang mahu menyelamatkan golongan dalam badan kerajaan seperti keluarga bekas Gabenor BNM dan beberapa tokoh lagi, sebagaimana didedahkan oleh bekas CEO Goldman Sachs di Mahkamah New York?

Tun Maimun juga mendakwa badan kehakiman adalah benteng pertahanan keadilan terakhir, tetapi kontradiknya dia menghalang siasatan jenayah SPRM ke atas ahli-ahli benteng tersebut dan mahu siasatan tertutup oleh badan kehakiman sendiri.
Bertentangan dengan kenyataan jitu Hakim Mahkamah Rayuan di Amerika, Damon Keith, apabila hakim dihalang daripada siasatan oleh pihak berkuasa dan hanya disiasat oleh rakan-rakan mereka sendiri di belakang pintu yang tertutup, maka demokrasi akan mati, dan badan kehakiman tidak akan lagi menjadi benteng pertahanan keadilan malah ia akan menjadi penyebab keruntuhannya.

Jika ini berlaku, maka pandangan ahli falsafah Inggeris dan pakar teori politik, John Locke bahawa “apabila undang-undang berakhir, di situlah bermulanya kezaliman” dan hakikat ini sedang menjadi kenyataan di Malaysia.
*****
Tinggalkan Jawapan