JIKA HAKIM KEBAL DARIPADA SEBARANG SIASATAN, MAKA KEADILAN AKAN MATI DAN KEZALIMAN AKAN BERKUASA

Editorial

6 Mei 2022

Amat ironi apabila Ketua Hakim Negara, YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap siasatan SPRM ke atas Hakim Nazlan Ghazali yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi dalam kes SRC yang dikaitkan dengan DS Najib Tun Razak.

Hakikatnya pada Nov 2019 tiga pengamal undang-undang Malaysia termasuk seorang hakim telah diheret ke Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, kerana tuduhan rasuah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40, sebagai upah untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan di bawah perenggan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada Mac 2019 pula, Mahkamah Sesyen Kuantan telah menjatuhkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta ke atas seorang bekas Majistret selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga.

Terkini, heboh tentang hakim dalam kes SRC yang melibatkan DS Najib, telah menerima rasuah daripada watak antagonis  bernama Jho Low yang masih bebas dan hidup senang-lenang melalui rasuah yang amat lewah.

Hakim Nazlan Ghazali, sebagaimana didakwa oleh penganalisis politik, Raja Petra Kamaruddin, telah menerima RM1.036 juta daripada Jho Low.

Dengan itu, pada 23 April lalu, SPRM telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan kemasukan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaunnya di MayBank.

Menurut Raja Petra, wang tunai RM1,036,127.40 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank Nazlan adalah sebahagian daripada RM2 juta yang diterima daripada Jho Low untuk “perkhidmatan yang diberikan”.

Nazlan sebelumnya adalah Peguam Counsel kepada Maybank, dan Maybanklah yang telah mencadangkan penubuhan SRC, bukannya DS Najib sebagaimana terkandung dalam kenyataan saksi bagi kes SRC berkenaan.

Lantas, ia telah menimbulkan konflik kepentingan penghakiman yang serius.

Nampaknya kontroversi yang menyelubungi hakim dalam kes SRC, bukan hanya mengenai konflik kepentingan Nazlan yang tidak diisytiharkan, malahan ia bertindih pula dengan kes sogokan RM1,036,127.40 yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun Maybank hakim yang menghakimi kes.

Patutlah ada tangan ghaib yang bersungguh-sungguh mahu Nazlan menghakimi kes SRC di Mahkamah Tinggi bagi menjatuhkan kerjaya politik DS Najib.

Dalam penghakimannya, Nazlan berkata Najib mencipta SRC sebagai cara untuk mencuri wang 1MDB tetapi sebaliknya terbongkar bahawa cadangan penubuhan SRC datang dari Maybank dan bukannya daripada DS Najib, dan bukti ini direkodkan dalam minit mesyuarat 1MDB.

Tarikh yuran “perkhidmatan yang diberikan” menjadikannya mustahil untuk Nazlan menafikan sebarang konflik kepentingan.

Malah menurut Raja Petra, Nazlan adalah sebahagian besar daripada gerakan merompak wang 1MDB yang melibatkan Jho Low, Jasmine Loo, Terence Geh dan Tim Leissner.

YAA Maimun berkata, “Adalah amat penting untuk ditekankan bahawa badan kehakiman adalah benteng pertahanan terakhir dalam demokrasi berperlembagaan dan tidak boleh ada kesangsian bahawa badan kehakiman telah dicemari.”

Kontradik dengan kenyataan Maimun, rakyat bukan mahu Nazlan terus dihukum tetapi rakyat hanya mahu dia disiasat seperti orang lain yang dituduh atas kesalahan jenayah rasuah.

Jika dia tidak bersalah atau tiada bukti yang dia bersalah selepas disiasat, maka imej, integriti dan reliabiliti badan kehakiman akan terus terbela.

Sebaliknya jika dia bersalah tetapi sebaliknya dia tidak boleh disiasat maka kredibiliti dan reputasi badan kehakiman akan terus dipersoal.

Dalam sistem kehakiman di luar negara, para hakim tidak terlepas daripada siasatan pihak berkuasa dan ada yang telah dipenjarakan kerana didapati bersalah.

Pada tahun 2014 di United Kingdom, seorang pegawai badan kehakiman dan hakim Constance Briscoe telah disiasat dan ditangkap kerana jenayah, dia telah diadili dan disabitkan kesalahan dengan hukuman 16 bulan penjara.

Pada tahun yang sama di Kazakhstan, seorang hakim Kuplash Otemisova telah disiasat, dituduh di mahkamah dan didapati bersalah. Dia telah dipenjara kerana membuat keputusan yang salah di mahkamah apabila dia melepaskan seorang ahli perniagaan.

Pada tahun 2011 di Amerika, hakim Mark Ciavarella Jr telah dipenjara selama 28 tahun kerana menerima rasuah.

Pada tahun 2009 di Australia, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Australia, Marcus Einfield telah disiasat polis dan disabitkan kesalahan dan dipenjara tiga tahun kerana menipu atas kesalahan memandu laju.

Jika YAA Maimun bertegas bahawa badan kehakiman adalah benteng pertahanan terakhir dalam demokrasi berperlembagaan, maka hakim hendaklah terbuka untuk siasatan.

Hakim Mahkamah Rayuan di Amerika, Damon Keith, berkata, apabila hakim dihalang daripada siasatan dan tidak boleh disiasat oleh pihak berkuasa dan hanya disiasat oleh rakan-rakan mereka sendiri di belakang pintu yang tertutup, maka demokrasi akan mati, dan badan kehakiman tidak akan lagi menjadi benteng pertahanan keadilan malah ia akan menjadi penyebab keruntuhannya.

Apa yang Damon Keith katakan itu telah tersebar di seluruh dunia termasuklah dalam sistem kehakiman ‘Common Law’ di England, yang menjadi asas sistem perundangan Malaysia.

Jika hakim tidak boleh disiasat oleh pihak berkuasa apabila mereka dituduh melakukan jenayah atau terus diandaikan tuduhan ke atas mereka adalah tohmahan semata-mata, maka ‘Rule of Law’ tidak akan dapat ditegakkan dan akan berakhir.

Jika ini berlaku, maka apa yang John Locke kata dahulu akan menjadi kenyataan, iaitu, ‘Wherever law ends, tyranny begins’ (Apabila undang-undang berakhir, di situlah bermulanya kezaliman).

Malaysia tidak boleh membiarkan gejala ini berlaku.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: