Editorial
30 April 2022
Amat ironi sekali apabila pemimpin NGO dan parti politik Malaysia cuba membantah keputusan Mahkamah Singapura yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap penjenayah dadah warga Malaysia.
Tertuduh didapati bersalah atas kesalahan mengedar heroin di republik itu pada 2009 apabila ditahan dengan dadah jenis heroin seberat hampir 43 gram semasa cuba memasuki Singapura.
Alasan pembantah hukuman berkenaan bahawa tertuduh adalah OKU boleh diklasifikasikan sebagai ‘subjudis’ terhadap keputusan hakim mahkamah yang telah menjatuhi hukuman mati terhadap tertuduh.
Berlagak gila, dirasuk hantu, tekanan psikologi dan sebagainya adalah taktik lapok ‘escapisme’ tertuduh terutamanya golongan puak yang amat terkenal dengan ‘putar-belit’ mereka.
Secara tidak langsung, ia memberi implikasi bahawa keputusan hakim berkenaan adalah tidak adil sedangkan segala proses yang memastikan tertuduh adalah waras semasa melakukan kesalahan adalah positif.
Anehnya di Malaysia, pembunuhan anggota Bomba, Adib Mohd Kassim yang cuba menyelamatkan mangsa rusuhan di Kuil Hindu Seafield, Subang Jaya, seperti terabai apabila tertuduh dibebaskan begitu sahaja.

Pada 2019 tiga pengamal undang-undang Malaysia termasuk seorang bekas hakim telah diheret ke mahkamah kerana tuduhan rasuah di Kuala Kubu Bharu.
Pada Mac lalu, Mahkamah Sesyen Kuantan telah menjatuhkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta ke atas seorang bekas majistret selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, kira-kira dua tahun lepas.

Malah hari ini heboh tentang hakim dalam kes SRC yang melibatkan DS Najib, telah menerima rasuah daripada watak antagonis bernama Jho Low yang masih bebas dan hidup senang-lenang melalui rasuah yang amat lewah.

Sistem kehakiman di Singapura pernah mendapat ranking 17 terbaik di dunia bagi kedaulatan undang-undang dalam kalangan 139 negara di dunia sebagaimana dalam Indeks Kedaulatan Undang-undang 2021 yang disusun oleh Projek Keadilan Dunia (WJP), sebuah kumpulan penyokong bebas berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dalam kalangan negara-negara kawasan Pasifik, Singapura berada di tempat ke-4 daripada 15 negara.
Dalam senarai ranking WPJ itu, Malaysia pula mendapat ranking ke-54 daripada 139 negara.
Ironinya di Malaysia, bekas Ketua Polis Negara dan bekas Ketua Hakim Negara telah memperakui bahawa terdapat campur tangan badan eksekutif dalam badan kehakiman negara yang mencabuli doktrin pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi.
Ini bermakna sistem kehakiman dan kedaulatan undang-undang Malaysia amat memalukan pada kaca mata masyarakat dunia, tetapi anehnya ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang cuba mengkrtik sistem perundangan negara jiran.

Malahan dalam SPRM sendiri terdapat pengkhianat yang merompak wang bahan bukti kes, manakala PDRM telah mengambil tindakan terhadap ramai anggotanya yang telah salah guna kuasa, rasuah dan penglibatan dalam kes dadah.

Lebih menjengkelkan apabila Menteri Dalam Negeri telah mengakui melantik ‘budak-budak kita’ untuk mengetuai PDRM sebagai satu tindakan yang amat bertentangan dengan keluhuran undang-undang.
Jika gajah di hadapan mata kita abaikan, kuman di seberang pula yang dikisahkan, maka jelaslah hipokritnya orang-orang kita yang cuba menjaga tepi kain orang.
*****
Tinggalkan Jawapan